Friday, August 24, 2007

Profil penduduk dan bahasa

BAB 1


PROFIL BAHASA-BAHASA MASYARAKAT MALAYSIA


1.1 Pengenalan

Malaysia tidak serupa dengan jiran-jirannya. Penduduknya lebih heterogen kalau dibandingkan dengan Thailand, Filipina dan Indonesia. Umumnya da tiga kaum besar yang berlainan etnik, budaya dan agama hidup di negara ini, iaitu: Melayu, Cina dan India. Ini menyebabkan kita membuat generalisasi yang penduduk Malaysia menuturkan tiga bahasa sahaja, satu bagi setiap kaum: Melayu bertutur bahasa Melayu, Cina bertutur bahasa Cina dan India bertutur bahasa India. Walau bagaimanapun, sebagai yang akan terlihat di dalam perbincangan yang berikut, bahawa, keadaannya tidaklah semudah itu. Ada benarnya orang Melayu bertutur bahasa Melayu, tetapi keadaannya tidaklah demikian dengan orang Cina dan India.
Bahasa Melayu adalah lingua franca Malaysia. Bahasa Melayu itu dituturkan oleh kaum Melayu dan kaum lain untuk perhubungan di dalam dan di antara kaum. Walaupun kaum-kaum ini terpisah dari segi kebudayaan, geografi dan ekonomi, mereka masih perlu berhubung antara satu sama lain dalam aktiviti harian mereka. Generasi baru pula mempunyai peluang yang lebih besar untuk berhubungan melalui sistem pendidikan kebangsaan yang umum bagi semua kaum. Satu lagi perkembangan baru ialah bahawa kelas pertengahan yang kian menjadi penting semakin mempunyai peluang yang lebih besar untuk berhubungan dan bergaul baik di dalam atau di luar konteks pekerjaan. Walau bagaimanapun, kelas menengah ini lebih gemar menggunakan bahasa Inggeris daripada bahasa Melayu. Jadi kewujudan mereka mungkin tidak begitu membantu memesatkan perkembangan bahasa Melayu. Namun demikian, penggunaan bahasa Melayu itu semakin menunjukkan perkembangan yang sihat dari segi bilangan penutur dan perkembangan daerah. Kefasihan mereka bergantung pada keperluan mereka di dalam menggunakan bahasa Melayu dan juga umur mereka. Kaum bukan Melayu yang tergolong kepada generasi tua, mungkin mempunyai hubungan yang terhad dengan penutur-penutur bahasa Melayu. Kebanyakannya hanya mampu bertutur di dalam bahasa Melayu pasar atau kacukan yang sangat terhad. Tetapi generasi yang lebih muda telah belajar bahasa Melayu dengan lebih sistematis dan berkesan di sekolah-sekolah dan melalui pergaulan yang lebih meluas. Kefasihan bahasa Melayu mereka telah menjadi lebih tinggi. Mereka mampu menggunakan bahasa Melayu bukan saja untuk perhubungan dan pergaulan, tetapi juga untuk fungsi-fungsi rasmi.

Demi untuk mengatasi masalah inilah maka selepas pergaduhan kaum pada tahun 1969, maka istilah bahasa Malaysia telah timbul. Ia adalah berasaskan bahasa Melayu, dan ini berlaku secara spontan sebagai hasrat bersama rakyat Malaysia untuk membentuk satu identiti baru. Ini akan disentuh lagi dalam perbincangan berikutan. Istilah bahasa Malaysia itu akan digunakan seterusnya di dalam buku ini.

1.2 Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Vernakular

Setelah disentuh sedikit mengenai bahasa-bahasa penduduk Malaysia menurut kaumnya, bolehlah pula kita melihat keseluruhan bahasa masyarakat yang kompleks ini. Istilah kaum sengaja digunakan untuk menunjukkan keseragaman unsur-unsur lain seperti agama, adat yang wujud di dalam masyarakat tersebut. Sebenarnya kaum-kaum itu dibezakan menurut bahasanya sebab unsur-unsur lain itu walaupun sangat berbeza, tetapi tidaklah menjadi perbezaan penting. Telah dikatakan bahawa ramai orang memegang pandang umum iaitu setiap kaum itu memutuskan satu bahasa. tetapi pemerhatian yang lebih rapat terhadap setiap kaum akan mendedahkan keadaan yang sangat berbeza. Setiap kaum sebenarnya mempunyai subkaum, dan setiap satunya menuturkan bahasa yang berlainan. Dengan itu kita dapat mengatakan bahasa-bahasa yang dituturkan di Malaysia adalah seperti di bawah. Untuk pengetahuan lanjut lihatlah Asmah Hj. Omar 1975: 12-28, 1982, 1985.

Bahasa-Bahasa Malaysia Semenanjung

Bumiputera
Cina
India
Lain-Lain
Melayu (termasuk Melayu Indonesia)
Jakun
Semai
Negrito
Hokkien
Kanton
Hakka
Teochew
Hainan
Kwongsai
Hokchiu
Hengchua
Hokchia
Tamil
Telugu
Malayalam
Gujarati
Oriya
Marathi
Punjabi
Benggala
Hindi
Urdu
Thai
Inggeris
Arab
Portugis


Bahasa-Bahasa di Malaysia Timur: Sabah

Bumiputera
Cina
India
Lain-Lain
Dusun/Kadazan
(Rungus, Kadazan, Lotud)
Murut (Murut, Sumambua
Bajau
Illanun
Melayu (termasuk Melayu Indonesia)
Paitan
Suluk
Bisayah
Lun Dayeh
Hakka

Kanton
Hokkien

Teochew
Hainan

Tamil
Urdu
Inggeris


Bahasa-Bahasa di Malaysia Timur: Sarawak

Bumiputera
Cina
India
Lain-Lain
Iban
Melanau
Melayu (termasuk Melayu Indonesia)
Bisayah
Kadayan
Kayan
Kenyak
Kelabit
Narom
Penam
Bidayuh (Bedayah, Biatah)
Lun Bawang
Kanton
Foochow
Hakka
Henghua
Hokkien
Hainan
Teochew
Tamil
Inggeris


Perkara yang jelas daripada jadual-jadual di atas ialah bahawa bahasa-bahasa di Malaysia memang banyak. Walaupun demikian Malaysia telah berjaya memilih satu bahasa perantaraan untuk berhubungan, iaitu bahasa Melayu yang dinamai semula sebagai bahasa Malaysia, iaitu Bahasa Kebangsaan Malaysia. Pemakaian bahasa Inggeris tidak seluas yang difikirkan oleh ramai orang. Memang benar bahasa Inggeris menduduki tempat yang istimewa di Malaysia. Bahasa Inggeris telah menjadi bahasa rasmi di Malaysia sebelum merdeka dan selama sepuluh tahun selepas itu. Sebenarnya, masih ada pemakaiannya yang bertahan kuat di dalam sektor swasta dan beberapa jabatan kerajaan seperti kehakiman, perubatan, dan ketenteraan walaupun hingga ke hari ini, dan oleh itu pengekalan kelas menengah yang terus menggunakannya sebagai bahasa perhubungan umum dan sosial. Tetapi, penduduk umum tidaklah menuturkannya. Pendek kata tatkala Malaysia (Malaya) merdeka pada tahun 1957, bahasa Inggeris hanya dituturkan oleh 10% penduduk Malaysia (Angkatan Sasterawan 50: 1962). Peratusan ini mungkin tidak jauh berubah sebab penduduk Malaysia pun bertambah. Tetapi, kemungkinannya ialah, walaupun jumlah mungkin bertambah, tetapi peratusannya mungkin menurun. Walau bagaimanapun, bahasa Inggeris sangatlah penting di Malaysia sebagai bahasa perdagangan dan teknologi. Malah bahasa Inggeris amatlah penting sebagai bahasa penyalur kemodenan. Tetapi ia tidaklah dituturkan oleh semua orang. Mungkin inilah perbezaan penting di antara bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris.


1.3 Bahasa Bumiputera dan Bahasa Perhubungan Luas

Bahasa Malaysia adalah bahasa yang lebih luas tersebar dan dituturkan di antara kaum-kaum bumiputera. Ia adalah di antara lingua franca atau LWC (Language of Wider Communication) sama ada di Malaysia Barat atau Timur. Perasaan ini telah diwarisinya sejak berkembangan empayar Melayu Seriwijaya di sekitar tahun 600 SM. Catatan pelayaran atau perdagangan orang China dan Sepanyol telah membuktikan hal ini.
Tidak syak lagi bahawa bahasa Melayu adalah satu daripada bahasa terpenting di dunia; bahasa Melayu dituturkan oleh hampir 180 juta penutur di Asia Tenggara ini dan menjadi bahasa Kebangsaan empat negara, iaitu: Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam. Memanglah Indonesia mengandungi jumlah penutur yang teramai iaitu penduduknya lebih daripada 150 juta orang walaupun tidak semuanya menuturkan bahasa tersebut sebagai bahasa kandung. Malaysia pula mempunyai seramai 15 juta penduduk dan di samping itu penduduk Singapura dan Brunei Darussalam juga perlu diambil kira. Di sekitar dunia bahasa Melayu ini pula terdapat lebih kurang 3 juta penutur di Thailand Selatan, 2 juta di Filipina Selatan, dan jumlah-jumlah kecil di Kampuchea, Sri Langka, dan tidak harus dilupakan penduduk Pulau Cocos, walaupun kecil dari segi jumlah, tetapi besar ertinya dari segi penyebaran wilayah.
Walaupun demikian, bahasa Inggeris itu tidaklah semakin hapus, Cuma peringkat kefasihannya merosot bagi setengah-setengah kaum. Walau bagaimanapun, melalui dasar baru pelajaran yang termaktub dalam Dasar Ekonomi Baru telah mewajibkan bahasa Inggeris di sekolah-sekolah untuk memberi peluang yang lebih besar kepada ramai orang, tetapi penguasaannya terhad. Ia tidak lagi merupakan monopoli penduduk bandar dan yang kaya. Tetapi bahasa Inggeris itu tidaklah pula merebak ke luar bandar. Biasanya mereka yang datang dari luar bandar akan menetap di bandar kerana urusan tugas dan kemudahan lain.

Peringkat kemahiran dalam bahasa Inggeris itu berbeza-beza dari kemampuan yang menandingi penutur kandung, hingga kepada bahasa Inggeris campuran (Pidgin, Broken English). Memang benar bahasa Inggeris telah bertambah dari segi penuturnya, tetapi peluasan kawasannya tidak berlaku. Dan adalah wajar juga dikatakan peratusannya juga tidak bertambah. Bahasa Inggeris tidak pernah berkembang ke luar bandar.

Bahasa Arab pula digunakan di dalam bidang agama dan tidak pernah digunakan untuk bahasa perhubungan melainkan untuk kelompok yang terhad. Sebenarnya bilangan penuturnya pun tidak banyak. Tetapi bahasa Arab ini amat penting bagi orang Melayu yang beragama Islam kerana ia adalah bahasa agama. Semua orang Islam termasuk yang bukan Melayu perlu menguasai sedikit bahasa Arab dan mempelajari ayat-ayat al-Quran demi kepentingan agama Islam yang mereka anuti. Mereka biasanya boleh membaca tulisan Arab dengan ketepatan yang agak tinggi walaupun dengan tidak mengetahui maknanya. Walau bagaimanapun mereka tidak mempunyai kemahiran untuk bertutur dalam bahasa ini. Dengan meningkatnya keghairahan terhadap agama Islam, maka darjat bahasa tersebut di negara ini juga telah meningkat. Penubuhan Universiti Islam Antarabangsa pada tahun 1984 yang menggunakan bahasa Arab sebagai sebahagian daripada bahasa pengantarnya, akan menjadi suatu motivasi yang kuat untuk pihak tertentu mempelajari bahasa Arab.


1.4 Bilangan Penutur-Penutur Bahasa

Malaysia terdiri daripada Semenanjung Malaysia dan negeri Sabah dan Sarawak, kesemuanya seluas 130,000 batu persegi. Sabah dan Sarawak terletak di utara dan barat Pulau Borneo. Menurut banci tahun 1970, penduduknya adalah seperti tercatat dalam jadual pada halaman berikut.

Untuk melihat komposisi masyarakat ini dengan lebih jelas maka kita akan melihat penduduk-penduduk di Semenanjung, Sabah dan Sarawak secara berasingan.

Masyarakat-Masyarakat Menurut Bahasa di Malaysia

No.
Masyarakat
Bilangan
Peratus
1.
2.
3.
4.
5.
6.
7.
Melayu
Cina
India
Dayak (Iban&Melanau)
Kadazan (Dusun)
Masyarakat bumiputera lain
Masyarakat kaum lain-lain
4,886,942
3,555,879
942,944
386,260
184,512
350,174
145,628
46.8
34.1
9.0
3.7
1.8
4.0
1.4

Jumlah
10,452,309
100.00


1.4.1 Masyarakat Penutur-Penutur Bahasa di Semenanjung
Dalam banci 1970 penduduk Malaysia di Semenanjung berjumlah 8,810,348. Dari jumlah ini 53% adalah kaum Melayu, 35% Cina, 10% India dan Pakistan dan selebihnya terdiri daripada kaum-kaum minoriti lain. Ini dapat dilihat dalam jadual di bawah. Kaum-kaum lain yang kecil itu ialah Thai, Arab, Serani dan Orang Asli.


Masyarakat Bahasa di Semenanjung

No.
Masyarakat
Bilangan
Peratus
1.
2.
3.
4.
Melayu
Cina
India + Pakistan
Lain-lain
4,685,830
3,122,350
932,629
69,531
53.2
35.4
10.8
0.8

Jumlah
8,810,348
100.00

(i) Melayu

Daripada 4,685,838 orang Melayu di Semenanjung itu, 93% daripadanya adalah Melayu bumiputera dan 6.3% adalah kaum daripada Indonesia, dan 1.5% terdiri daripada orang-orang Asli seperti Jakun, Negrito, Senoi, (I.S. Carey: 1963).

Kelompok-Kelompok Masyarakat Melayu

No.
Masyarakat
Bilangan
Peratus
1.
2.
3.
Melayu
Indonesia
Bumiputera lain
4,392,203
222,698
70,937
97.3
4.8
1.5

Jumlah
4,685,838
100.00

Dari segi bahasa, orang-orang Melayu itu dapat dikatakan menuturkan bahasa Melayu yang agak seragam, iaitu bahasa Melayu, melainkan orang-orang Asli yang terdiri daripada banyak kelompok bahasa kecil yang lain-lain. Ini adalah cirinya yang paling penting berbeza daripada masyarakat Cina dan India yang setiap satunya menuturkan banyak bahasa yang berlainan.

(ii) Cina
Dari segi perangkaan kaum Cina adalah kaum kedua terbesar di kalangan penduduk Malaysia. Mereka tinggal kebanyakannya di kawasan perbandaran dan lombong. Kepercayaan umum menganggap kaum Cina ini menuturkan banyak dialek yang berlainan. Kelainan di antara satu dialek dengan yang lain itu adalah besar, sehinggakan dialek-dialek itu tidak difahami antara satu dengan lain. Ini merupakan ciri dialek-dialek Cina dari negara asal yang berbeza dari satu daerah ke daerah lain. Misalnya bahasa Cina di Beijing menggunakan sistem empat tona dan yang di Selatan menggunakan sistem sebelas tona. Kalau tidak kerana sistem tulisannya yang menggunakan ideogram yang sama, maka mereka tidak dapat memahami antara satu sama lain. Sebenarnya dari segi linguistik, dialek-dialek tersebut adalah bahasa-bahasa yang betul-betul berasingan. Ada empat golongan besar di antara kaum Cina di Semenanjung, yang lainnya adalah kumpulan kecil-kecil. Golongan Hokkien ialah yang terbesar dengan 34% dan Hakka 22%, Kanton 20% dan Teochew 12%. Golongan-golongan lain adalah kecil-kecil dan ini dapat dilihat dalam jadual berikut.
Ada satu kesalahfahaman umum, iaitu mereka menganggap kaum Cina itu terdiri dari satu kelompok saja. Sebenarnya, ini tidak berlaku. Mereka terpisah dan andaian yang mengatakan mereka menuturkan satu bahasa itu adalah tidak tepat. Golongan-golongan yang terpisah ini kerap mempunyai bahasa, budaya dan profesion yang berlainan. Bilangan mereka dapat dilihat di dalam jadual berikut:

Kelompok-Kelompok Bahasa Cina

No.
Masyarakat
Bilangan
Peratus
1.
2.
3.
4.
5.
6.
7.
8.
9.
10.
Hokkien
Hakka (Khek)
Kanton
Teochew
Hainan
Kwongsai
Hokchiu
Henghua
Hokchia
Kelompok-Kelompok lain
1,068,803
690,821
617,588
387,048
145,758
77,577
57,095
16,924
9,038
51,697
34.2
22.1
19.8
12.4
4.7
2.5
1.8
0.5
0.3
1.7

Jumlah
3,122,350
100.00

Ada satu lagi bahasa Cina yang tidak disebut setakat ini iaitu Mandarin. Bahasa Mandarin dituturkan oleh semua masyarakat Cina yang mengikuti sistem pendidikan Cina yang disampaikan melalui bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah Cina. Walau bagaimanapun, bahasa Mandarin jarang menjadi bahasa keluarga, walaupun ini telah mula menjadi satu hasrat dan kebiasaan di kalangan generasi muda, lebih-lebih lagi di kalangan kelas menengah.

(iii) India
Orang-orang India ialah kaum yang ketiga terbesar di antara penduduk Malaysia. Orang India juga tidak merupakan satu masyarakat yang homogen seperti yang kerap dianggap. Ada banyak kaum orang-orang India yang terpisah oleh banyak bahasa yang berlainan, malah lebih banyak daripada bahasa-bahasa Cina. Ini dapat dilihat di dalam jadual di bawah.

Kelompok-Kelompok Bahasa India

No.
Masyarakat
Bilangan
Peratus
1.
2.
3.
4.
5.
6.
7.
8.
9.
10.
11.
Tamil
Malayalam
Telugu
Hindi
Urdu
Benggali
Punjab
Singhalis
Gujerati
Marathi
Oriya
754,256
41,794




136,399
80.9
4.5




14.6

Jumlah
942,944
100.00

Di antara kaum India ini, golongan masyarakat Tamil adalah yang terbesar, iaitu 80% daripada jumlahnya. Kedua ialah kaum Malayalam 4.5% dan lainnya terdiri daripada orang-orang Pakistan dan Sri Langka. Di antara orang-orang Pakistan ini bahasa yang dituturkannya ialah Urdu, Hindi, dan Benggali dan masyarakat Sri Langka pula menuturkan bahasa Sinhalis dan Tamil. Di antara masyarakat India yang lain, terdapat bahasa Telugu, Gujerati, Marathi, Oriya, dan Punjabi. Setiap satunya adalah kecil bilangan penuturnya, tetapi jumlah kaum India seluruhnya agak besar juga.

(iv) Lain-Lain
Di samping tiga masyarakat pendata yang besar ini terdapat beberapa masyarakat minoriti yang lain. Setiap satunya menuturkan bahasa masing-masing. Pertama, ialah kaum Thai yang menuturkan bahasa Melayu dan tinggal di kawasan sempadan. Kedua, ada satu kumpulan kecil masyarakat keturunan Portugis di Melaka yang masih menuturkan suatu bahasa kacukan yang berasaskan bahasa Portugis dan Melayu. Ketiga, terdapat pula suatu kumpulan kecil Arab yang mengekalkan bahasanya, terutama sekali di Pulau Pinang (dan Singapura) dan di institusi-institusi yang mengajar bahasa Arab. Akhirnya, pemerintah penjajah Inggeris telah meninggalkan segolongan kecil masyarakat keturunan Inggeris dan Eropah yang biasa dikenali sebagai Senari, yang masih menggunakan bahasa Inggeris di kalangan keluarga masing-masing. Mereka kebanyakannya tinggal di bandar-bandar besar terutamanya Pulau Pinang.

1.4.2 Masyarakat Bahasa di Sabah
Banci terakhir Sabah 1970, menunjukkan bahawa Sabah mempunyai penduduk seramai 633,204 orang. Ini telah banyak bertambah sekarang, tetapi kadar peratusnya mungkin tidak banyak berubah. Daripada jumlah ini Kadazan (Dusun) merupakan yang terbesar dengan 28% daripada jumlah tersebut. Kaum bumiputera yang lain adalah juga banyak seperti: Murut, Bajau, Paitan, Suluk, Bisayah dan Illanun. Di samping itu terdapat juga masyarakat pendatang Filipina dan Indonesia. Keseluruhannya berjumlah 36%. Kaum Cina adalah yang kedua terbesar dengan 21% daripada jumlah tersebut. Kaum Melayu agak kecil seramai 3%. Selainnya ialah campuran masyarakat Eropah dan keturunannya. Ini dapat dilihat dalam jadual berikut.



Masyarakat Bahasa Sabah

No.
Masyarakat
Bilangan
Peratus
1.
2.
3.
4.
5.
Kadazan
Bumiputera lain
Cina
Melayu
Lain-lain
184,512
234,201
139,509
18,365
76,677
28.2
35.9
21.4
2.8
11.7

Jumlah
653,264
100.00

1.4.3 Masyarakat Bahasa di Sarawak

Banci tahun 1970 juga menunjukkan bahawa Sarawak mempunyai penduduk seramai 975,918 orang. Penduduk Sarawak terbahagi kepada masyarakat-masyarakat seperti: Iban, Dayak, Melanau, 40%, Cina 30%, dan Melayu 10%. Selebihnya ialah masyarakat bumiputera lain 10% dan kaum-kaum lain 10%. Ini dapat dilihat di dalam jadual di bawah.

Masyarakat Bahasa Sarawak

No.
Masyarakat
Bilangan
Peratus
1.
2.
3.
4.
5.
Dayak
Cina
Melayu
Bumiputera lain
Kaum-kaum lain
386,918
294,020
182,709
103,194
9,735
40
30
10
10
10

Jumlah
975,918
100.00


1.5 Pola Pemerolehan Bahasa

Kebanyakan orang Malaysia akan memperoleh kemahiran di dalam bahasa Melayu (bahasa Malaysia) sekurang-kurangnya dalam bentuk bahasa pasar. Orang-orang Melayu memperoleh sebagai bahasa kandung dan diperkukuh secara formal di sekolah. Walau bagaimanapun, bahasa Malaysia baku masih belum begitu berkembang lebih-lebih lagi dalam bentuk pertuturan. Bahasa Malaysia baku itu memang sudah wujud, cuma penguasaan oleh penutur-penutur bahasa Malaysia masih berkembang.
Masyarakat bukan Melayu memperoleh kemahiran bahasa Malaysia melalui dua cara. Pertama ialah melalui perhubungan dalam keperluan harian di dalam suatu masyarakat berbilang bahasa, dan biasanya bahasa Malaysia dipilih sebagai bahasa perantara. Oleh itu mereka terpaksalah mempunyai kemahiran yang mencukupi, untuk membolehkan mereka berhubungan dengan berkesan, sekurang-kurangnya dalam bentuk bahasa pasar. Kebiasaannya, mereka akan menggunakan struktur bahasa kandung masing-masing seperti Hokkien atau Tamil dan menggunakan kosa kata bahasa Malaysia, dan ada kalanya bercampur Inggeris (Abdullah Hassan, 1969).
Bahasa-bahasa lain yang dituturkan di Malaysia juga dikuasai dengan cara yang lebih kurang sama. Seseorang kanak-kanak akan memperoleh bahasa ibu bapa mereka dari keluarga masing-masing dan mempelajari lebih daripada satu atau dua bahasa lain secara formal lain di sekolah. Oleh yang demikian seseorang bukan Melayu itu akan mempelajari lebih daripada satu bahasa, iaitu: bahasa kandungnya dan bahasa Malaysia di sekolah, atau bahasa Mandarin dan bahasa Inggeris. Oleh itu, Malaysia mempunyai satu fenomena linguistik yang unik. Setiap orang Malaysia berkemungkinan menguasai lebih daripada satu bahasa, dan ada yang menguasai dua, tiga atau empat bahasa. Malah ini telah memberi Malaysia suatu keadaan yang sangat unik, dan menyebabkan fenomena pertukaran kod berlaku dengan berleluasa sebagai strategi perhubungan mereka.
Oleh keadaan beginilah, maka bahasa Malaysia itu terpilih, sebagai bahasa kebangsaan Malaysia, dan perlu dirancang dan dibina serta diperkembang dengan rapi. Setakat ini, perkembangannya agak sihat, dan buku ini akan memberi perhatian terhadap aspek-aspek perancangan bahasa Malaysia yang telah dijalankan itu dengan lebih terperinci.

No comments: