Sunday, August 12, 2007

14. Bahasa dan Pemikiran

PERTEMUAN BUDAYAWAN SERANTAU BIMP-EAGA

Hotel Promenade, Kota Kinabalu
11-14 September 2000

Peranan Bahasa Dalam Pemikiran Minda Asli Demi Penerusan Kebudayaan Intelek Melayu

Abdullah Hassan, Ph.D.
Profesor Komunikasi
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia


PENDAHULUAN
Bahasa ialah teras kebudayaan. Kebudayaan Inggeris adalah berteraskan bahasa Inggeris; kebudayaan Jepun adalah berteraskan bahasa Jepun dan kebudayaan kebangsaan negara kita mestilah berteraskan bahasa kebangsaan negara ini, iaitu Bahasa Melayu.
Bahasa bukan hanya sekadar memberikan identiti kepada bangsa dan budaya para penuturnya, iaitu sebagaimana yang biasanya disangka. Ia bukan sekadar memberikan jatidiri sesuatu bangsa. Ia lebih jauh daripada itu. Bahasa ialah pembetung yang di dalamnya terkandung konsep-konsep, nilai-nilai dan idea-idea yang diwarisi oleh bangsanya. Bahasa juga menentukan pemikiran, dan oleh itu nasib serta survival sesuatu bangsa bergantung pada bahasanya.
Bahasa ialah alat yang menyimpan perhedaharaan atau himpunan memori sesuatu bangsa. Oleh itu, bahasa ialah kenderaan yang memindahkan suatu kebudayaan dari satu generasi kepada generasi akan datang.

HIPOTESIS SAPIR-WHORF
Sapir dan Whorf adalah dua orang tokoh ternama yang mengemukakan pendapat mereka berkenaan pengaruh bahasa pada cara bagaimana manusia memahami alam fizikalnya. Menurut mereka, manusia bukan hanya hidup dalam dunia konkrit semata-mata, dan manusia juga tidak hidup sendiri dalam dunia aktiviti sosial, iaitu yang sebagaimana biasanya disangka. Sebaliknya manusia tertakluk kepada belas kasihan bahasa yang menjadi media pengucapan ekspresif bangsanya.
Menurut mereka, adalah satu ilusi apabila kita menyangka manusia menyesuaikan diri dengan realiti tanpa menggunakan bahasa, dan adalah tidak benar bahawa bahasa tidak lebih daripada alat komunikasi semata-mata yang dengan tidak secara sengaja kita gunakan untuk menyelesaikan masalah-masalah komunikasi antara manusia dan alat berfikir yang spesifik. Mereka mengatakan apa yang kita fahami sebagai "dunia sebenar" ini pada dasarnya adalah "realiti" yang kita bina secara tidak kita sedari berdasarkan bahasa yang kita gunakan. Kita melihat, mendengar dan mengalami realiti seperti halnya sekarang, semuanya kerana bahasa yang kita gunakan. Struktur bahasa kita telah awal-awal lagi menentukan bagaimana kita seharusnya memahami realiti.
Secara ringkasnya, Sapir dan Whorf mengatakan, dengan menggunakan bahasa-bahasa yang berbeza masing-masing penuturnya mengalami realiti yang berbeza-beza. Ini kerana tiap-tiap bahasa, melalui perbendaharaan kata dan hukum-hukum nahunya telah menentukan bagaimana pengguna bahasa-bahasa itu seharusnya memahami dunianya. Oleh yang demikian, dua orang penutur bahasa yang berlainan akan menyaksikan alam yang satu ini sebagai dua manusia yang berlainan dan memahami alam secara yang berlainan pula.
Berdasarkan hipotesis ini, apabila sesuatu bangsa menukar bahasanya, maka bangsa itu bukan hanya menukar alat komunikasinya, tetapi bangsa itu juga menukar persepsinya
berkenaan dirinya dan persepsinya tentang alam kelilingnya, dan akibat daripada perubahan persepsi itu bangsa tersebut akan mengubah nilai-nilainya dan seterusnya mengubah perilakunya.

HIPOTESIS MALIK BENNABI
Malik Bennabi ialah seorang tokoh sejarah dan sosiologi Algeria yang terkenal pada abad ini. Beliau banyak menulis tentang kesan penjajahan bahasa yang berlaku selepas tamatnya penjajahan politik di negara-negara Islam. Menurut beliau, kebanyakan negara-negara bekas tanah jajahan Eropah terus mengekalkan kehadiran bahasa penjajah masing-masing, sehingga mewujudkan gejala bilingualisme di kalangan elit intelektual, politik dan pentadbiran negara-negara itu.
Di dalam bukunya Masalah Idea dalam Dunia Islam beliau mengatakan "...bilingualisme akan mencipta kesan-kesan yang sangat bertentangan dengan kebudayaan kebangsaan." Secara ringkasnya Malik Bennabi mengatakan penggunaan bahasa-bahasa bekas penjajah di kalangan masyarakat-masyarakat Islam telah mencipta gejala-gejala baru yang bersifat struktural dalam minda dan budaya masyarakat-masyarakat Islam, iaitu terciptanya idea-idea yang asing kepada budaya peribumi.
Menurut beliau gejala bilingualisme mengenakan pengaruhnya kepada elit intelektual masyarakat Islam melalui bahasa pengantar universiti. Pada peringkat tersebut idea-idea asing diimport dengan tepat seperti yang dilakukan oleh Ali Abdul Razik, bekas penuntut Al-azhar yang kemudian melanjutkan pengajiannya di Universiti Oxford. Melalui karyanya "Islam Dan Prinsip-Prinsip Pemerintahan" Razik mengatakan Islam hanyalah suatu ajaran agama, spiritual dan moral, dan ia tidak ada kaitan dengan soal-soal politik dan pemerintahan. Memang demikianlah idea Barat yang sebenar, dan begitulah ia diterjemahkan dengan tepat oleh Razik dan diimport ke dalam dunia pemikiran Islam.
Di dalam sesetengah masyarakat Islam, bilingualisme mencipta perpecahan yang luas dan mendalam. Perpecahan itu berlaku di semua peringkat, atas, pertengahan dan bawah. Di dalam masyarakat-masyarakat itu terdapat dua elit, satu elit berbahasa kolonial dan satu elit berbahasa peribumi. Di peringkat bawah terdapat dua masyarakat yang juga menuturkan dua bahasa yang berbeza, satu bahasa kolonial dan satu bahasa peribumi, dan kedua-duanya tidak dapat hadir bersama dalam satu budaya.
Menurut Malik Bennabi, apabila kita mengucapkan pemikiran-pemikiran kita dengan menggunakan bahasa asing, pemikiran kita itu boleh menjadi buta budaya sendiri, malah ada kalanya boleh membenci dan mengkhinatinya.

IDEA INDUK
Menurut Malik Bennabi lagi, idea-idea di dunia ini boleh dibahagikan kepada dua jenis. Pertama ialah idea-idea induk yang diwarisi oleh satu generasi daripada generasi yang terdahulu, kedua ialah idea-idea praktikal, yang diciptakan oleh tiap-tiap generasi untuk menangani situasi-situasi khusus pada zamannya sahaja. Idea-idea induk adalah teras aktiviti masyarakat dan ia terkandung dalam sistem etikanya, manakala idea-idea praktikal terkandung di dalam teknik-tekniknya. Idea-idea induk memberi panduan-panduan terhadap proses penciptaan idea-idea praktikal.
Menurut beliau lagi, dalam sesebuah masyarakat, terdapat idea-idea yang mentransformasi manusia, dan terdapat idea-idea yang mentransformasi objek-objek. Idea-idea yang mentransformasi manusia ialah idea-idea induk, manakala idea-idea yang mentransformasi objek-objek, iaitu benda-benda ialah idea-idea praktikal.

MASYARAKAT DAN IDEA
Mengikut Malik Bennabi, sesuatu bangsa gagal membangun bukan kerana ia tidak memiliki sumber-sumber pembangunan seperti tanah dan sumber alam, tetapi sebaliknya kerana bangsa itu ia tidak mempunyai banyak idea. Faktor kekurangan idea tergambar apabila bangsa itu tidak berupaya menggunakan sumber-sumber yang ada padanya, dan tidak berupaya pula mencipta sumber-sumber baru. Kekurangan idea juga tergambar pada cara-cara bagaimana sesuatu bangsa itu menyatakan masalah-masalah yang dihadapinya, atau malah pada cara bagaimana ia tidak berupaya langsung untuk menyatakan apakah masalah-masalah tersebut, dan ini berlaku apabila bangsa tersebut hilang semangat untuk menangani masalah-masalah itu.
Sesuatu bangsa tidak berupaya mencipta banyak idea apabila semangat kreativitinya pupus. Idea-idea adalah alat untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi oleh bangsa itu dari masa ke masa. Cara ia menyatakan masalah menentukan bagaimana masalah itu dapat atau tidak dapat diselesaikan. Tanpa kreativiti, cara masalah itu dinyatakan pun tidak kreatif, oleh itu masalah tersebut tidak dapat diselesaikan secara kreatif. Kegagalan itu menyebabkan bangsa itu hilang semanagat untuk terus berdaya usaha bagi mencari penyelesaiannya. Padahal kemajuan sesuatu bangsa ditentukan oleh berapa banyak masalah yang berjaya diselesaikan oleh bangsa tersebut.

BAHASA DAN MINDA ASLI
Minda asli ialah minda yang berupaya mencipta idea-idea asli, iaitu idea-idea yang belum pernah didengar atau dicipta semelumnya. Tetapi idea yang bersifat asli sahaja belum cukup. Idea-idea itu hendaklah sesuai dengan keadaan dan berguna kepada masyarakat. Idea untuk membunuh rumput dengan cara menanam lalang di tempat di mana rumput tumbuh mungkin merupakan suatu idea asli, tapi ia belum tentu sesuai apatah lagi berguna.
Setiap bangsa memiliki minda asli masing-masing, tetapi minda asli tersebut dapat hilang apabila minda itu dikuasai oleh bahasa asing. Bangsa Melayu mempunyai minda asli tetapi minda asli itu hilang apabila minda Melayu dikuasai oleh bahasa Inggeris. Inilah yang berlaku kepada kreativiti bangsa India apabila mereka menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengucapan intelektual mereka. Bandingkan dengan kejayaan bangsa Jepun mengekalkan kreativiti minda aslinya apabila mereka terus menggunakan bahasa mereka sebagai bahasa pengucapan intelektual mereka.
Apabila sesuatu bangsa menggunakan bahasa asing sebagai alat pengucapan intelektualnya, maka minda bangsa itu akan menjadi sambungan sahaja kepada minda asal bahasa asing tersebut. Sebagai contoh, minda cerdik pandai India yang kini menggunakan bahasa Inggeris sebagai alat pengucapan intelektual mereka, adalah minda sambungan sahaja kepada minda Inggeris. Sebagai minda sambungan minda India tidak dapat melebehi prestasi minda Inggeris. Sebagai minda sambungan ia sebenarnya merupakan suatu minda tawanan dan tidak akan berdaya melepaskan dirinya daripada belenggu minda Inggeris itu. Minda tawanan tidak berupaya mencipta maka oleh itu ia akan hanya menjadi konsumer sahaja kepada produk-produk mental dan fizikal keluaran minda asli.
Sewaktu kami menuntut di Britain, kami berjiran dengan keluarga Inggeris dan keluarga dari Afrika. Keluarga Afrika itu dilayan dengan buruknya oleh keluarga Inggeris. Satu hari kami menegur perbuatan keluarga Inggeris itu dengan mengatakan bukankah keluarga Afrika itu nanti akan pulang ke negeranya dan menjadi orang penting. Bagaimana nanti jikalau apa yang dialami itu membuat dia tidak mahu membeli barang-barang dari Inggeris untuk negaranya lagi? Maka dijawab oleh keluarga Inggeris itu dengan angkuhnya bahawa hal itu tidak mungkin terjadi kerana selagi orang Afrika itu menggunakan bahasa Inggeris dia tidak ada pilihan lain kecuali menggunakan idea-idea orang Inggeris dan terus membeli barang-barang Inggeris.

BAHASA DAN PERPADUAN
Bilingualisme menyebabkan tragedi dan kesengsaraan yang tidak terperikan kepada masyarakat yang menjadi mangsanya. Memang ada teori politik yang mengatakan apabila sesebuah negara bekas tanah jajahan mempunyai banyak bahasa-bahasa peribumi, jalan yang paling selamat untuk menyatupadukan semua rakyat ialah memilih bahasa bekas penjajah sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar sistem pendidikannya, kerana dengan mengambil bahasa asing tidak ada mana-mana pihak yang berasa bahasanya teraniaya, meskipun apa yang mereka tidak sedari ialah semua bahasa-bahasa peribumi mereka adalah teraniaya oleh bahasa asing, tapi pada mereka itu tidak apa.
Teori ini dicuba, dan masih terus dicuba di India, Filipina, Nigeria, Kenya, Ghana dan lain-lain. Ternyata, selepas setengah abad teori itu diuji, yang ada hanyalah bukti-bukti negatif. Jauh dari bersatu padu, India makin berpecah belah dan melahirkan Pakistan, kemudian Bangladesh, kini Kashmir dan Punjab menuntut kebebasan. Keadaan di negara-negara lain tidak jauh bezanya. Hingga kini bunyi bedil terus kedengaran antara kaum-kaum peribumi itu di mana-mana saja bahasa bekas penjajah dijadikan bahasa rasmi.
Bandingkan keadaan ini dengan Indonesia yang menguji teori lain iaitu, apabila terdapat 1,485 bahasa dan bahasa-bahasa itu pula yang tersebar di 23,000 pulau, bahasa yang dapat menyatupadukan seluruh rakyat itu ialah salah satu daripada bahasa kumpulan peribumi yang terkecil. Maka di Indonesia, dipilih bahasa yang dituturkan oleh suatu suku kaum yang tinggal sepanjang Sungai Jambi di Sumatera, yang jumlahnya tidak lebih daripada dua ratus ribu orang. Bahasa mereka disebut Bahasa Melayu dan kemudian ia dinamakan Bahasa Indonesia. Seolah-olah ia memiliki kuasa sakti, bahasa kecil itu mampu menggenggam puluhan ribu pulau dan ribuan suku kaum menjadi satu kesatuan negara dan bangsa.
Pergolakan politik sekarang bukannlah akibat bahasa. ia ditimbulkan oleh isu-isu lain yang bukan dalam ruang lingkup perbincangan kertas ini.

BILINGUALISME DALAM MASYARAKAT MELAYU
Perpecahan yang diakibatkan oleh bilingualisme di kalangan orang-orang Melayu menunjukkan buktinya pada perkara-perkara seperti sistem perundangan, sistem pendidikan dan lain-lain sistem. Di satu pihak ada mahkamah sivil yang berupa idea induk asing dan bulat-bulat diimport dari Inggeris, manakala di satu pihak lagi ada sistem mahkamah syariah yang berupa idea induk Islam-peribumi.
Demikian juga, di satu pihak ada satu sistem persekolahan kebangsaan yang berupa idea induk asing, dan di satu pihak lagi ada sistem persekolahan agama. Perpecahan dalam sistem pendidikan ini berlaku hingga ke taraf universiti di mana fakulti pengajian Islam terpisah daripada fakulti-fakulti lain, dan malah ada Universiti Islam yang terasing daripada universiti-universiti lain. Inilah yang dikatakan oleh Malik Bennabi bahawa bilingualisme mengimport idea-idea yang bertentangan dan tidak dapat diterima oleh budaya nasional.

BAHASA IBUNDA PINJAMAN
Di kalangan masyarakat Melayu hari ini jumlah keluarga Melayu yang mengambil bahasa Inggeris menjadi bahasa ibunda bagi anak-anak mereka semakin hari semakin ramai. Fenomena yang serupa juga berlaku dalam masyarakat Cina dan India. Kedua-dua suami dan isteri di dalam keluarga-keluarga ini menguasai bahasa Inggeris dan perkataan pertama yang mereka ajarkan kepada anak-anak mereka adalah perkataan-perkataan Inggeris. Di dalam keluarga-keluarga ini bahasa Inggeris adalah bahasa ibunda kepada anak-anak mereka meskipun bahasa itu pada asalnya ialah bahasa pinjaman. Oleh yang demikian, kepada anak-anak keluarga Melayu seperti ini bahasa ekspresif mereka adalah bahasa Inggeris.

BAHASA EKSPRESIF
Bahasa ekspresif ialah bahasa yang digunakan oleh penggunanya untuk menyatakan pemikiran, idea-idea, emosi dan nilai-nilai. Fungsi ekspresif itu tercapai melalui pencapaian darjah penguasaan dan kefasihan yang sangat tinggi. Untuk mengetahui apakah bahasa ekspresif seseorang, ada beberapa petanda seperti apakah bahasa yang digunakan apabila seseorang itu terperanjat; apakah bahasa yang digunakan semasa dia marah-marah, mencarut dan memaki; apakah bahasa dalam mimpinya dan apakah bahasa doanya dalam saat-saat ia mengalami kesedihan dan kecemasan. Apabila di dalam keadaan-keadaan seperti itu dia menggunakan bahasa Inggeris, maka bahasa itu ialah bahasa ekspresifnya.

BAHASA PENGUCAPAN INTELEKTUAL
Cadangan para pemimpin negara ini yang mahukan supaya bahasa Inggeris dijadikan bahasa ekspresif peringkat intelektual dalam bidang sains dan teknologi adalah didasarkan pada andaian bahawa bahasa adalah alat komunikasi semata-mata. Pandangan seperti itu adalah juga berdasarkan andaian bahawa sains dan teknologi adalah suatu hal yang bebas budaya. Ini adalah andaian yang ahli-ahli sains dan pakar-pakar teknologi sendiri telah nafikan.
Penggunaan bahasa kolonial sebagai bahasa pengantar sains dan teknologi akan hanya menguatkan lagi cengkaman Barat ke atas minda bangsa Malaysia. Ia juga akan memberi pukulan teruk kepada cita-cita kita untuk membangunkan sains Malaysia. (Shahrir Mohd. Zain, 1995)

BAHASA INGGERIS DAN BENAK MELAYU
Tempat bahasa Melayu sepatutnya ialah benak Melayu. Apabila elit Melayu membuang bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda bagi anak-anak mereka, dan menggantikannya dengan bahasa Ingeris, maka bahasa Inggerislah yang duduk di benak anak-anak Melayu itu. Apabila elit Melayu menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa benak mereka, maka berdasarkan hipotesis Sapir-Whorf, mereka akan memahami alam ini dengan acuan Inggeris, dan bukan dengan acuan Melayu lagi.
Berdasarkan hipotesis Malik Bennabi, anak-anak itu akan mewarisi idea-idea induk yang terkandung di dalam bahasa Inggeris, bukan idea-idea induk yang terkandung di dalam bahasa Melayu lagi. Oleh kerana bahasa Melayu telah menyerap idea-idea induk Islam, dan oleh kerana bahasa Inggeris belum menyerap idea-idea induk Islam, maka pengambilan bahasa Inggeris menjadi bahasa ibunda membawa implikasi yang serius. Bahasa Inggeris itu akan mencairkan nilai Melayu Islamnya dan menggantikannya dengan nilai Inggeris yang tebal dengan nilai Kristian. Sebagai contoh, gejala anak-anak yang "menjawab" ibu bapa bukanlah suatu hal yang tidak ada kaitannya dengan bahasa ekspresif. Konsep-konsep seperti "derhaka" dan "syurga itu di bawah tapak kaki ibu" hanya terkandung dalam bahasa-bahasa yang sudah menyerap idea-idea induk dalam Islam, seperti Bahasa Melayu. Anak boleh mempunyai “his own right to freedom of expression as an individual,” dan ibu bapa perlu memberi “respect to a child as another human being.”
Penggunaan bahasa Inggeris tidak memberi peluang kepada kemasukan konsep-konsep itu ke dalam benak individu-individu yang telah membuang bahasa Melayu sebagai bahasa ibundanya. Nilai-nilai yang terkandung di dalam sastera Melayu seperti dalam cerita-serita Si Tanggang, Malim Kundang, Batu Belah Batu Bertangkup, Siti Zubaidah juga tidak ada kesempatan untuk masuk ke benak mereka. Tempatnya akan diganti oleh cerita-cerita seperti Little Red Riding Hood, Cinderella, Pinochio, Snow White, Rapunzel, Goldilock dan lain-lain. Hero mereka bukan lagi Hang Tuah dan rakan-rakannya tetapi Robin Hood dan King Arthur and The Knights of The Round Table. Mereka akan mengagumi John the Lion Heart dan bukan Aziz Sallahuddin atau Khalid ibn Walid, dan seterusnya.
Melalui proses penerimaan bahasa Inggeris menjadi bahasa ekspresifnya, maka bocorlah bendung budaya kita. Apa yang pernah menjadi himpunan memori kita sebagi orang Melayu akan digantikan dengan himpunan memori Inggeris pula. Ia akan mencairkan nilai budaya Melayu. Yang akan turut cair ialah nilai agama, iaitu agama Islam yang menjadi asas budaya Melayu.
Dengan tiba-tiba beberapa ungkapan yang kurang ajar akan menjadi biasa saja dalam bahasa Melayu. Bahasa Inggeris akan mengizinkan anak berkata kepada ibunya “Who ask you to enter my room without knocking,” “Mother, you owe me an apology,” “You don’t care about me, daddy!” “Daddy, you are stupid, a star is not a planet” dan banyak lagi. Anehnya, bapa yang dipanggil oleh anaknya yang berumur enam tahun sebagai “stupid” itu ketawa besar pula sambil mengatakan anaknya itu “Cute!”. Bayangkan betapa celarunya nilai budaya elit Melayu yang sudah cair nilai budaya Melayunya. Suka pula dimaki bodoh oleh anaknya. Isteri pun boleh saja berkata kepada suami “You are irresponsible,” “I don’t like your mother to stay with us,” “Your father can’t tell you what to do.”
Memanggil ibu sebagai “kamu”, memanggil bapa sebagai “engkau” dan memanggil suami sebagai “awak” tidak akan terlahir melalui bahasa Melayu. Sistem bahasa Melayu itu akan menapisnya. Tetapi ungkapan demikian dibolehkan dalam bahasa Inggeris. Ini bermakna, sopan yang menjadi sebahagian daripada kesantunan Melayu dilhapuskan oleh bahasa Inggeris.

KEDUDUKAN BAHASA-BAHASA ASING
Bahasa-bahasa asing perlu dipelajari dan difahami, tetapi tidak sampai mencapai tahap ekspresif. Ia perlu difahami untuk tujuan mengimport idea-idea praktikal dan bagi tujuan-tujuan praktikal seperti untuk berniaga dan melancong. Apabila bahasa-bahasa asing dipelajari hingga ke tahap ekspresif, itu bermakna ia akan masuk ke dalam benak Melayu dan dengan demikian, bukan hanya idea-idea praktikal yang terkandung di dalam bahasa-bahasa asing itu yang akan masuk ke dalam benak Melayu, malah idea-idea induk dalam bahasa tersebut pun akan masuk juga ke dalam benak Melayu.
Apabila bahasa asing berjaya masuk ke dalam benak bangsa Melayu, salah satu kesannya ialah bangsa Melayu itu akan mengalami gejala hilangnya keyakinan pada keupayaan diri sendiri dan juga hilangnya semangat kreativiti mereka. Gejala ini jelas dapat dilihat di kalangan golongan terpelajar bekas tanah jajahan yang tidak yakin akan keupayaaan mereka untuk mencipta produk-produk intelektual sendiri. Mereka berpuas hati dengan menjadi agen yang menterjemahkan, mengajarkan, memepopularkan dan menerapkan sahaja produk-produk intelek tokoh-tokoh tersebut di negaranya. Jikalau sekali-sekala ada yang berani mencipta produk-produk intelektual mereka sendiri, rakan-rakan mereka pula yang tidak menaruh keyakinan akan mutu produk-produk itu. Oleh hal yang demikian mereka tidak menggunakan produk-produk intelektual tempatan sebagai rujukan yang dianggap berautoriti.
Menurut Malik Bennabi, akibat daripada keadaan seperti di atas individu-individu yang hilang keyakinan pada keupayaan diri sendiri itu akan terjerumus ke dalam proses meminjam dan terus meminjam secara langsung dan ad hoc segala macam benda-benda, idea-idea dan institusi-institusi yang bersumber pada bahasa-bahasa asing tersebut, tanpa mempersoalkan kesesuaian dan keserasiannya dengan kebudayaan bangsa yang meminjamnya. Sebagai contoh benda-benda yang dipinjam ialah bagaimana elit tempatan memesang besen mandi, membuat balkoni, cimni, menyimpan gelas wain dalam almari, dan memasang gebar musim salji di katil mereka. Sebagai contoh idea yang dipinjam, kita bercuti pada hari Ahad, meraikan hari jadi, ulangtahun perkahwinan, memotong kek, meniup lilin sambil menyebut hajat di hati, membaling wang syiling ke dalam telaga hajat, merayakan halloween dan valentine, memberi hadiah sebutir intan kepada isteri untuk ulangtahun ke-25 perkahwinan, serta minum tos untuk kesihatan Yang Di-Pertuan Agong. Contoh institusi yang dipinjam ialah pilihanraya ala-barat, perdana menteri dan kabinetnya, sistem kehakiman sivil, sistem kewangan berdasarkan riba dan banyak lagi.

MULTILINGUALISME DI MALAYSIA
Berdasarkan hipotesis Sapir-Whorf, multilingualisme menghasilkan kelompok-kelompok yang mempunyai persepsi-persepsi yang berlainan berkenaan isu-isu yang serupa. Multilingualisme bermakna pelbagai bahasa akan duduk dalam benak-benak kumpulan-kumpulan yang berbeza. Benak-benak itu akan mewarisi idea-idea induk yamg berbeza-beza pula. Dengan demikian persepsi mereka berbeza, maka oleh itu nilai-nilai mereka berbeza lalu menyebabkan perilaku mereka jadi berbeza-beza.
Keadaan ini sangat jelas dirasakan sebelum terlaksananya Penyata Razak di dalam sistem pendidikan kebangsaan. Generasi sebelum penyata tersebut memiliki semangat perkauman yang kuat kerena mereka menggunakan bahasa-bahasa yang berlainan. Penyata Razak mahukan supaya budak-budak daripada bermacam-macam kaum belajar di bawah bumbung yang sama, belajar perkara yang sama dengan menggunakan bahasa yang sama. Generasi yang dilahirkan oleh Penyata Razak menunjukkan sikap yang lebih terbuka terhadap kaum-kaum lain dan memiliki semangat Malaysia yang lebih ketara. Ini mencerminkan generasi ini berkongsi banyak persepsi yang sama berkenaan perkara-perkara yang serupa.
Perkembangan-perkembangan akhir-akhir ini menunjukkan kemajuan pesat ke arah trend multilingualisme di kalangan generasi muda dan berpendidikan. Trend ini mengancam cita-cita setiap warga yang cintakan perpaduan dan keamanan. Dasar bahasa pengantar yang kini diliberalkan akan mencipta generasi rakyat Malaysia yang berpolarisasi sekali lagi. Apabila ini berlaku, perpecahan adalah suatu akibat yang tidak dapat dielakkan. Kita akan ditimpa tragedi dan kesengsaraan yang tiada terperikan.

RUJUKAN

1. Abdullah Hassan, Isu-Isu Mengenai Fungsi Bahasa Melayu, dalam Kongres Bahasa Melayu Sedunia, Kuala Lumpur, Ogos 1995.

3. Abdullah Hassan dan Ainon Mohd, “Peranan Bahasa Dalam Pemikiran Minda Asli Dalam Penerusan Kebudayaan Intelek Kebangsaan” dalam Seminar Serantau Kebudayaan Melayu, di Hotel Crown Princess, Kuala Lumpur, 12-13 Disember 1995.

4. A. Samad Ismail, Bangsa Malaysia Berdasarkan Bahasa Melayu, Pelita Bahasa, November 1995.

5. Adnan Haji Awang, Z'aba dan Orang Melayu, Seminar Memperingati 100 Tahun Z'aba, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 19-20 Oktober 1995.

6. Awang Sariyan, Sumpah Pemuda dan Kesannya Terhadap Perkembangan Bahasa Melayu, Jurnal Dewan Bahasa, Ogos 1995.

7. Awang Sariyan, Seminar Tamadun BerBahasa Melayu Menjelang Tahun 2020: Resolusi Umum, Jurnal Dewan Bahasa, September 1995.

8. Bennabi, Malik, The Problem of Ideas in The Muslim World, Petaling Jaya: Budaya Ilmu Sdn. Bhd., 1994.

9. Butts, R.F., The Education of the West, MacGraw Hill, New York (1973).

10. Chai Hon Chan, Education and Nation Building in Plural Societies: The West Malaysia Experience, Canberra: The Australian National University - Development Studies Centre, Monograph No 6, 1977.

11. Che Mazlan Saad, Pendidikan Yang Bertaraf Dunia Menjelang 2020: Isu-Isu Strategik Untuk Pembentukan Polisi Dan Perancangan Pendidikan Negara, Seminar Kebangsaan Pendidikan Negara Abad Ke-21, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 7-9 November 1995.

12. Chelliah, D.D., A History of the Educational Policy of The Straits Settlements with Recommendations for a New System Based on Vernaculars, Kuala Lumpur: Govt. Press, 1948.

13. Collins, J.T., Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Antarabangsa: Antara Kenyataan dan Keraguan, Kongres Cendekiawan Melayu Ke-4, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 28-29 Julai 1995.

14. Mangantar Simanjuntak, Pengutamaan Bahasa Melayu Dalam Semua Bidang, Termasuk Sains Dan Teknologi, Menjamin Potensinya Sebagai Bahasa Ilmu Dan Bahasa Supranasional, Di Samping Menjamin Pembangunan Negara Yang Maksimun, Kongres Melayu Sedunia, Kuala Lumpur, Ogos 1995.

15. Sapir, E., Selected Writings of Edward Sapir, Berkeley: University of California Press, 1949.

16. Shaharir Mohamed Zain, Pendidikan Sains Abad Ke-21: Cabaran Sejagatisme dan Pasca-X-isme, Seminar Kebangsaan Pendidikan Negara Abad Ke-21, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 7-9 November 1995.

17. Whorf, B.L., Language, Thought and Reality, Cambridge, MA: MIT Press, 1956.

1 comment:

RaawhaBahrum said...

Salam Prof,

Sekarang saya dalam proses menghasilkan mini tesis bertajuk bilingualisme dan impaknya terhadap pembelajaran Bahasa Melayu. Namun, saya masih belum beroleh apa-apa keranga teori yang boleh saya jadikan landasan. Bolehkan Prof memberi cadangan?

Salam dari Brunei,
RaawhaHassan,
raawha.hassan27@gmail.com