Friday, August 24, 2007

Teori Perancangan Bahasa

SEJARAH PERANCANGAN BAHASA

Perancangan bahasa menjadi satu aktiviti penting bagi negara-negara yang ingin membentuk identiti baru. Aktiviti ini menjadi menonjol dengan usaha Einar Haugen yang telah membina Landsmal, sebuah dialek di Norway sehingga menjadi bahasa kebangsaan Norway. Banyak lagi usaha sedemikian dijalankan di negara-negara lain, lebih-lebih lagi di negara-negara yang baru mencapai kemerdekaan selepas Peperangan Dunia Kedua. Negera-negara seperti India, Nigeria, Kenya, Zambia, Indonesia, Filipina dan Malaysia mahu membina identiti baru selepas merdeka daripada penjajahan Inggeris.

Sebenarnya ini bukan satu usaha baru. Banyak negara lain yang menjalankan usaha demikian pada zaman sebelum itu. Pengekodan tatabahasa Yunani dijalankan pada zaman kerajaan Helenistik dan Iskandar Agung. Bahasa Sanskrit juga dikodifikasi kira-kira 2000 tahun sebelum Masehi dengan tujuan memantapkannya supaya tidak berubah demi kepentingan agama Hindu. Selepas Revolusi Perancis di Eropah, revolusi bahasa berlaku di Norway, Greece, Belgium, Rumania, Hungary, dan Bulgaria. Banyak usaha penyelarasan dan pembakuan bahasa berlaku. Selepas Peperangan Dunia Pertama, Finland, Estonia, Latvia, Lithuania, Iceland dan Eyre juga menjalankan perancangan terhadap bahasa masing-masing. Bahasa Rusia berkembang selepas Revolusi Rusia. Demikian juga, bahasa Turki menggantikan aksara Arab yang digunakannya dengan aksara Rumi dalam revolusi memodenkan bahasa Turki.

Pada tahun 1582, Duke Cosimo, selepas diyakinkan oleh para penulis, telah menubuhkan Accademica della Cusca, yang bertujuan membersihkan bahasa Itali daripada pencemaran dan mempertahankan kemurniannya. Kardina Richelieu pua di dalam usahanya memusatkan kuasa di Perancis, telah menubuhkan Acadēmie Francaise pada tahun 1653, bertujuan untuk membentuk rumusan yang lebih jelas mengenai bahasa dan tatabahasa. Institusi ini tidak merasmikan bahasa Perancis dan menyuburkannya, tetapi badan itu lebih berupa suatu simbol daripada betul-betul berkuasa. Ini dapat dilihat daripada hasilnya; sebuah kamus yang hanya terbit pada tahun 1964, dan ejaan Perancis hanya dirasmikan pada tahun 1835.

Selepas itu, Sepanyol, Sweden, dan Hungary menubuhkan akademi bahasa, masing-masing pada tahun 1713, 1739, dan 1830. Walau bagaimanapun mereka lebih memberatkan hal-hal ketepatan ejaan, samalah seperti aktiviti Acadēmie Francaise. Dan, tidaklah diketahui sejauh manakah akademi ini membantu pertumbuhan bahasa. Di negara yang tidak mempunyai akademi, ada juga kuasa individu yang wujud untuk menyelaraskan bahasa seperti yang dilakukan oleh Milton, Swift, Dryden dan Defoe untuk bahasa Inggeris dan Jerman. Adamtias Korais (1748-1863) pula, telah mencuba membentuk bahasa Yunani murni dengan menggunakan bahasa agama dan ilmu, dan menjauhkan peminjaman. Pada tahun 1814 Vuk Stefanuric Karadzic, menulis tatabahasa untuk bahasa Yugoslavia, dan pada tahun 1818 di menerbitkan sebuah kamus. Ivar Aasen, membuat perkara yang sama untuk bahasa Norway dengan menghasilkan sebuah tatabahasa pada tahun 1864 dan sebuah kamus pada tahun 1873.

Dengan usaha-usaha ini perancangan bahasa telah lahir. Manusia telah meletakkan nilai tertentu untuk bahasa dan merancangkan langkah-langkah untuk mebolehkan semua penutur menurutinya.

Pada zaman moden, dengan penduduk yang mempunyai ilmu yang bertambah, dan peringkat intelektual yang meningkat, bahasa yang baku yang mungkin tidak begitu penting untuk kesusasteraan, adalah semakin penting dan diperlukan untuk ilmu. Di Turki, Kamal Ataturk, dalam usahanya meningkatkan bahasa Turki, menukar ejaannya daripada Jawi ke Rumi, supaya ia setanding dengan bahasa lain di dunia. Di Czechoslovakia, suruhanjaya bahasa Greek dan Slovak telah giat berusaha untuk membakukan dan menyuburkan istilah. Dalam beberapa persidangan di kalangan mereka di antara 1945-50, sebuah tatabahasa, dan sebuah sistem ejaan telah dibentuk. Di semenanjung Scandinavia pula, setiap negara di semenanjung itu menubuhkan jawatankuasa istilah dalam usaha meningkatkan kerjasama kebahasaan. Seterusnya, di Israel, Jawatankuasa Bahasa Hebrew telah terus bekerja dan akhirnya ditukar menjadi sebuah akademi, dan telah berjaya merancangkan bahasa Israel moden sekarang. Daripada sebuah bahasa kuno yang mati, ia telah menjadi bahasa yang sudah hidup.

Jelas pada kita bahawa usaha-usaha ini, dilakukan demi meningkatkan keupayaan bahasa-bahasa tersebut supaya dapat mengungkapkan budaya ilmu yang semakin meningkat. Ini telah dilakukan dalam usaha perancangan kebudayaan yang lebih luas. Setiap masa ilmu dan budaya sesuatu bangsa itu berkembang dan memerlukan bahasa yang lebih mampu dan anjal untuk menampung perkembangan budaya tersebut.

Definisi Perancangan Bahasa

Istilah perancangan bahasa (language planning) itu mula digunakan oleh E. Haugen (1959) di dalam penulisannya apabila dia merancangkan bahasa Norway. Di dalam usaha tersebut. Haugen telah mendefinisikan perancangan bahasa sebagai merangkumi usaha-usaha yang dijalankan oleh pertubuhan atau jawatankuasa tertentu, mencakupi segala usaha yang dijalankan oleh pertubuhan tersebut untuk penyuburan bahasa dan melibatkan usaha-usaha pembinaan, pengubahsuaian dan pembakuan yang dilakukan kepada sesuatu bahasa yang berkenaan.

Sebenarnya telah ramai ahli bahasa yang pernah membincangkan perancangan bahasa ini, dan ada pula di antara mereka yang menggunakan istilah yang berlainan untuk memaksudkan aktiviti yang sama. R.A. Hall Jr. (1951) telah menggunakan istilah politik bahasa (glottopolitics) yang merujuk kepada penerapan ilmu linguistik kepada penerapan ilmu linguistik kepada dasar kerajaan untuk menentukan kaedah tertentu yang dipilih untuk mewujudkan keadaan dwibahasa di dalam kawasan jajahan yang mempunyai budaya yang berbeza. G.P. Springer (1956) menggunakan istilah penjuruteraan bahasa (language engineering) dan merujuk kepada usaha pengabjadan dan pembakuan bahasa yang belum baku di Soviet. Sutan Takdir Alisjahbana (1961) juga telah menggunakan istilah ‘penjuruteraan bahasa’ untuk merujuk kepada aktiviti yang dilakukan secara sedar bagi mengembangkan bahasa di dalam konteks sosial, budaya, dan perubahan teknologi yang lebih luas. Juga, ada sarjana lain yang pernah menggunakan istilah penjuruteraan bahasa untuk merujuk kepada aktiviti yang terancangkan melalui sekolah, gereja, radio, akhbar dan juga perancangan rasmi untuk mempengaruhi penggunaan bahasa. R. Noss (1967) menggunakan istilah pembangunan bahasa (language development) dan perancangan bahasa (language planning) di dalam membincangkan keadaan penggunaan bahasa di dalam pendidikan di Asia Tenggara. Istilah perancangan bahasa telah juga digunakan oleh j. Rubin dan B.H. Jernudd (1971) untuk merujuk kepada usaha satu-satu pertubuhan yang bertujuan untuk menjalankan perubahan kepada kod-kod atau pertuturan bahasa atau kepada kedua-duanya sekali. J.A. Fishman (1968) juga telah menggunakan istilah perancangan dan pembangunan bahasa untuk merujuk kepada langkah-langkah yang dirancang untuk mencari penyelesaian kepada masalah kebahasaan yang lazimnya dilaksanakan pada peringkat kebangsaan.

Di dalam kes bahasa Malaysia ini, istilah perancangan bahasa akan digunakan secara umum seperti yang dimaksudkan oleh E. Haugen. Di samping itu, menurut J.V. Neustupny (1974), pula, perancangan bahasa ini melibatkan dua aspek perancangan, iaitu: perancangan taraf dan perancangan bahan. Perancangan taraf adalah melibatkan segala aktiviti atau usaha yang dapat meningkatkan taraf sesuatu bahasa tersebut. Umumnya, bahasa (Melayu) Malaysia telah diberikan taraf sebagai Bahasa Kebangsaan Malaysia menurut artikel 152 Perlembagaan Malaysia. Selepas itu banyak lagi langkah lain yang dilakukan; seperti penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar dan pentadbiran, kempen bahasa kebangsaan, penentuan kelulusan bahasa Malaysia sebagai syarat untuk kelulusan di dalam peperiksaan Sijil Persekolahan Malaysia, dan keperluan kelulusan bahasa Malaysia sebagai syarat mendapat pekerjaan atau penetapan dalam jawatan. Perancangan bahan pula melibatkan aktiviti menyusun ejaan baru penentuan sebutan, pembentukan istilah, tatabahasa dan seterusnya. Aktiviti demikian itu adalah perancangan bahan, iaitu dilakukan terhadap bahasa sebagai bahan yang dirancangkan.

Model Perancangan Bahasa Haugen

Daripada pengalamannya di Norway, Haugen mengemukakan empat peringkat di dalam perancangan bahasa, iaitu: pemilihan, pengekodan, pelaksanaan dan peluasan.

1. Pemilihan. Peringkat ini melibatkan pemilihan satu bahasa atau beberapa buah bahasa atau norma yang akan dibina untuk tujuan tertentu, selalunya ia adalah untuk tujuan menjadikan bahasa tersebut mencapai taraf sebagai bahasa rasmi dan menjalankan tugas sebagai bahasa kebangsaan. Norma ialah sesuatu konsep abstrak yang dipilih atau dibentuk sebagai matlamat di dalam perancangan tersebut. Sesuatu bahasa baku itu adalah suatu norma yang dijadikan matlamat perancangan bahasa.

2. Pengekodan. Pengekodan melibatkan hal-hal dan usaha-usaha di dalam pembakuan bahasa. unsur-unsur seperti kata, istilah, tatabahasa dan ungkapan-ungkapan tertentu adalah kod-kod bahasa. Usaha pembakuan ialah pengenalpastian kod-kod yang banyak ini dan menentukan penggunaan satu daripada banyak kelainan kod tersebut, atau mewujudkan satu kod baru daripada beberapa dialek yang ada.

3. Pelaksanaan. Pelaksanaan melibatkan aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh sesuatu agensi, institusi atau individu tertentu di dalam penggunaan norma yang dipilih dan dikodkan tersebut.

4. Peluasan. Peringkat peluasan berkaitan dengan pembinaan dan pengembangan bahasa tersebut, dari segi bentuk dan fungsinya. Hal ini melibatkan proses pemodenan bahasa itu secara umum.

Model Perancangan Bahasa yang Lain

Di samping Haugen, ada beberapa orang sarjana lain yang mengkaji perancangan bahasa dan juga telah mengemukakan model perancangan bahasa. umumnya, semuanya agak serupa dengan sedikit perbezaan di antara masing-masing itu. Sarjana-sarjana ini sebenarnya telah membuat beberapa penambahan dan penyesuaian kepada model Haugen mengikut tafsiran mereka. J.V. Neustupnya (1974) telah menambah penyebaran dan penyuburan kepada perancangan Haugen itu. Penyuburan ini melibatkan usaha membuat ‘kesesuaian’, ‘ketetapan’ dan membina ‘gaya yang diterima’ di antara beberapa kelainan yang wujud di dalam bahasa itu. F.X. Karam (1974) pula telah menambah satu peringkat lain, iaitu penilaian ke dalam proses perancangan bahasa ini. Proses penilaian ini dianggap sama penting dengan penilaian di dalam sebarang perancangan lain, untuk memperbetul unsur-unsur yang tidak sesuai. Dan, seterusnya perancangan itu hendaklah mempunyai sumber kewangan yang secukupnya.

C.A. Ferguson (1968) mengemukakan tiga komponen di dalam usaha perancangan bahasa, iaitu pengabjadan, pembakuan dan pemodenan.

1. Pengabjadan. Pengabjadan ialah usaha supaya sesuatu bahasa itu mempunyai abjad atau sistem ejaan yang sempurna. Ini biasanya dikaitkan dengan bahasa yang belum mempunyai ejaan, atau usaha pembakuan atau pembaikan ejaan yang wujud.

2. Pembakuan. Pembakuan ialah proses menjadikan satu dialek atau bahasa sebagai bahasa yang baku berbanding dengan dialek-dialek lain dalam usaha meningkatkan penggunaan bahasa itu dalam bidang ilmiah dan pentadbiran, demi meningkatkan komunikasi.

3. Pemodenan. Pemodenan ialah usaha-usaha pengembangan kosa kata dan pembinaan bentuk-bentuk wacana tertentu, biasanya ilmiah. Pembinaan kosa kata ini melibatkan penciptaan istilah dan ungkapan-ungkapan tertentu untuk menampung keperluan ilmiah atau pentadbiran bahasa itu.

H. Kloss (1969) melihat perancangan bahasa sebagai mempunyai dimensi, iaitu perancangan taraf dan perancangan bahan.

1. Perancangan taraf. Perancangan taraf ialah usaha menentukan taraf sesuatu bahasa atau dialek berbanding dengan bahas atau dialek lain, biasanya memilih sesuatu dialek atau bahasa menjadi bahasa kebangsaan.

2. Perancangan bahan. Perancangan bahan melibatkan pembentukan istilah baru, pembakuan ejaan dan pembakuan tatabahasa, iaitu usaha-usaha yang menggunakan bahan sebagai yang diolah dan dibentuk.

Kloss juga mengemukakan satu unsur lagi, iaitu kewangan atau pembiayaan, yang
melibatkan aspek ekonomi dan pengurusan di dalam perancangan bahasa. sama seperti perancangan lain, unsur pembiayaan dan pengurusan adalah penting.
J.A. Fishman (1973) pula mengemukakan tentang:

1. Penentuan dasar bahasa, iaitu perancangan taraf.

2. Pengekodan dan peluasan, iaitu perancangan bahan.

3. Pelaksanaan dan penilaian, iaitu peluasan dan penyuburan.

P. S. Ray (1966) melihat perancangan bahasa dari sudut pembakuan. Pembakuan bahasa bermaksud penggunaan satu norma yang baku di dalam kawasan yang terdapat perbezaan penggunaan bahasa, sama ada perbezaan sosial ataupun daerah. Penerimaan satu bahasa sebagai bahasa baku akan menjadikan bahasa ini sebagai bahasa rasmi untuk digunakan sebagai bahasa pengantar di dalam sistem pendidikan dan sebagai bahasa pentadbiran dan perhubungan rasmi untuk urusan kerajaan.

F. X. Karam (1974) telah mengemukakan satu model perancangan bahasa yang dapat menjejaskan sesuatu pelaksanaan perancangan bahasa tersebut seperti berikut:

Penilaian
Perancangan
Pelaksanaan
Masyarakat pengguna

Pelaksanaan Perancangan Bahasa

Mengikut model ini, pelaksanaan perancangan bahasa pada peringkat kebangsaan adalah dilaksanakan oleh sebuah agensi perancangan bahasa kerajaan. Dalam konteks negara kita Malaysia, tugas ini didukung oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Agensi ini akan melaksanakan tiga buah tugas, iaitu: perancangan, pelaksanaan dan penilaian seperti dalam model di atas. Baginya, penilaian adalah sangat penting di dalam memastikan langkah-langkah yang dijalankan itu berjaya atau sebaliknya.

Jadi, dapat kita lihat bahawa perancangan bahasa melibatkan usaha mengumpulkan data daripada penyelidikan baik dari segi bahasa atau budaya bahasa dan membentuk rancangan yang mungkin dilakukan, dan membuat rancangan awal yang diperlukan dalam menentukan keputusan mengenai pemilihan dan pembentukan dasar bahasa. Usaha-usaha ini dilakukan setelah sebuah bahasa itu telah dipilih menjadi bahasa kebangsaan. Pelaksanaan melibatkan pengekodan norma dan usaha penyebaran kod-kod ini. Penilaian pula akan melibatkan penafsiran terhadap hasil dari kegiatan perancangan dan rancangan pelaksanaannya. Proses ini melibatkan perancangan dan pembinaan bahasa dan akan memberi maklum balas kepada agensi berkenaan mengenai aktiviti tersebut. Budaya sesuatu masyarakat bahasa akan berubah mengikut perkembangan dan keperluan masa. Ini akan menghasilkan perkembangan bahasa masyarakat tersebut. Perkara yang berlaku ialah satu kitaran baru di dalam proses perancangan bahasa akan bermula, iaitu penentuan norma, pengekodan dan penyebaran akan berlaku seperti model berikut:

Penyebaran
Pengenalpastian
norma awal
Pengekodan
Pengenalpastia norma
Masyarakat bahasa
Perubahan bahasa dan budaya

Perancangan Bahasa
Jenis Perancangan Bahasa

Ada beberapa aktiviti yang telah dijalankan di dalam perancangan dan pelaksanaan perancangan bahasa. untuk melihat aktiviti-aktiviti yang dilakukan, kita akan melihat beberapa contohnya. Karam juga telah menggolongkan beberapa jenis aktiviti perancangan bahasa tersebut seperti berikut:

1. Pembinaan satu dialek atau bahasa untuk menjadi bahasa kebangsaan seperti yang berlaku di Indonesia (Melayu), Filipina (Tagalog), dan Malaysia (Melayu) dan Norway (Landsmal).

2. Pembinaan semula bahasa kuno yang sudah luput dan menjadikannya bahasa kebangsaan seperti di Ireland (Gaelik) dan Israel (Hebrew).

3. Pembendungan, atau penyatuan rasa dan ketaatan yang bercanggah terhadap bahasa seperti di Norway dan India.

4. Perubahan yang dilakukan secara besar-besaran, dan biasanya ini melibatkan misalnya penukaran atau pembetulan abjad dan pengembangan dan pembaikan kosa kata (peristilahan) seperti kes Turki.

5. Aktiviti yang dikawal atau terancang yang hanya melibatkan pembentukan istilah seperti di Mesir, Jenpun dan Korea.

6. Aktiviti dan cadangan yang melibatkan pembaikan abjad seperti kes di China, Jepun dan India.

Kesimpulan

Proses perancangan bahasa ini adalah terbit daripada falsafah yang menganggap bahawa bahasa itu adalah lakuan manusia yang serupa dengan alat. Sesuatu alat boleh dirancangkan untuk diperbaiki, dan sesuatu alat itu boleh diperbaiki dari segi ejaannya, tatabahasanya, istilahnya, dan penggunaan bahasa itu secara umumnya untuk menjadi lebih efisien. Ini berpandukan kepada norma ideal yang telah dikenal pasti dan dikodkan. Negara Malaysia, memang terlibat secara langsung di dalam hal ini untuk lebih daripada tiga puluh tahun lalu. Sebenarnya usaha merancangkan bahasa Malaysia ini berlaku begitu pesat sekali sehingga menimbulkan banyak perubahan kepada bahasa Malaysia. Pendek kata, Malaysia terlibat di dalam semua peringkat perancangan bahasa, dan melakukan semua aktiviti yang dibincangkan di atas. Banyak kebaikan dan masalah yang turut timbul. Dalam hal ini Malaysia dapat menjadi satu model perancangan bahasa di dunia. Oleh itu proses-proses ini perlulah dicatatkan demi untuk memahami falsafah dan aktiviti yang dilakukan untuk memenuhi tujuan tersebut.

No comments: