WACANA ILMU 2005
Tatabahasa Sosial: Peraturan Kesantunan Bahasa Kebangsaan
oleh
Abdullah Hassan
B.A., M.A. (Malaya) Ph.D. (Edinburgh)
Profesor Bahasa Melayu
Fakulti Bahasa
UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS
1.1 Pengenalan
Pada masa ini, apabila kita mengajarkan bahasa Melayu, lazimnya kita hanya mengajarkan rumusan tatabahasa. Ini bermakna di sekolah kita hanya belajar mengeja, menulis, menyebut huruf-huruf, mendengar dan membaca. Kita belajar membina perkataan menjadi frasa, frasa menjadi ayat, ayat menjadi perenggan dan perenggan menjadi karangan. Kita juga belajar menggunakan tanda-tanda baca. Seterusnya kita belajar menggunakan perkataan dengan tepat. Belajar perkara-perkara ini adalah belajar tatabahasa, iaitu mekanik sesuatu bahasa. Selepas selesai belajar mekanik bahasa ini, maka kita dianggap sudah mahir berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan kita, iaitu bahasa Melayu.
Kemudian, apabila kita mendengar orang bertutur dalam bahasa Melayu, maka kita mula merasa ada sesuatu yang tidak kena. Ada kalanya kita mendengar orang Melayu juga membuat beberapa kesilapan apabila bertutur dalam bahasa Melayu. Kesilapan ini menimbulkan rasa lucu, tersinggung, tidak dihormati, malah dihina. Lebih buruk lagi, ada kalanya orang merasa marah, dan menganggap orang yang bercakap itu kurang ajar.
Seawal tahun 1974, perkara ini sudah ditimbulkan oleh penulis dalam Seminar Pengajaran Bahasa dan Kesusasteraan Malaysia, Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya (7-10 April 1974) melalui sebuah kertas kerja bertajuk “Pembentukan Bahan Pengajaran Dan Penilaiannya.” Dalam kertas itu telah dibincangkan betapa kita perlu memasukkan unsur budaya dalam mengajarkan bahasa Melayu supaya pelajar tidak menggunakan ‘nama sendiri’ sebagai ganti nama orang pertama ‘saya.’ Setelah sekian lama, gejala-gejala ini semakinn memburuk.
2. Kesilapan Budaya dalam Berkomunikasi Lebih Serius
Kita boleh sahaja melakukan kesalahan tatabahasa. Katakanlah kita salah mengeja satu perkataan. Katakanlah kita salah menggunakan tanda baca. Katakanlah kita salah membina ayat, dan sebagainya. Kesalahan tatabahasa itu dapat sahaja dibetulkan. Tidak ada sesiapa yang merasa tersinggung. Tidak ada siapa yang akan marah. Malah, kesalahan itu tidak menimbulkan akibat yang berat. Sebaliknya, apabila kita membuat kesalahan budaya, akibatnya adalah serius. Ini dapat kita lihat dalam peristiwa berikut:
Peristiwa 1
Seorang lelaki memakai sut lengkap warna hitam turun dari kereta Mercedes 380 masuk ke bilik pameran motokar Citroen (Ampang, September 1996). Beliau memandang kepada penyambut tetamu wanita muda yang sedang bercakap di telefon.
Pelanggan: Cik, Ada jurujual, saya ingin bertanya?
Penyambut tetamu: Yu wait seminit ... Ai cakap dengan bos ni ...
Pelanggan: ‘Yu’ kepala hotak engkau …
Bakal pelanggan berkata dengan suara rendah, tetapi dapat didengar dengan jelas. Beliau keluar, terus masuk balik ke keretanya dan beredar. Ternyata beliau merasa dilayan dengan buruk. Gelagat penyambut tetamu itu biadab, gerak-gerinya biadab, dan bahasanya biadab. Memanggil orang yang bertaraf tinggi dengan ganti nama bahasa pasar Yu adalah merendahkan tarafnya. Kedua, perbuatan terus bercakap di telefon adalah perbuatan yang tidak sopan juga.
Peristiwa 2
Seorang pensyarah bernama H….. baru mula berucap. Salah seorang hadirin dalam majlis itu ialah seorang pegawai tinggi, jauh lebih tinggi daripada taraf pensyarah. Namum mereka pernah berkawan pada masa dahulu. Dalam memulakan ucapan pensyarah tersebut berkata sesuatu yang melanggar budaya berbahasa dalam budaya Melayu, iaitu tatabahasa sosial bahasa Melayu.
Pensyarah: Yang Berbahagia Cik Nama …
Pegawai tinggi: Cik Nama kepala bapak dia ….
Beliau berkata demikian kepada ketua jabatan pensyarah tersebut, yang kebetulan duduk di sisi beliau.
Pensyarah berkenaan menggunakan satu frasa yang lazim digunakan bagi menyapa kawan baik yang senama dengan kita, tetapi mestilah kawan yang setaraf. Apabila dilakukan kepada orang yang lebih tinggi tarafnya, ini bermakna kita menurunkan tarafnya ke taraf kita. Ini adalah kesalahan tatabahasa sosial. Akibatnya buruk. Kita boleh memalukan diri sendiri dalam majlis. Bahkan kita boleh kehilangan pelanggan yang akan membeli barangan kita.
Rata-rata, rakyat Malaysia mengetahui tentang adanya unsur budaya dalam berkomunikasi. Namun, peranan yang dimainkan oleh unsur-unsur budaya ini kurang difahami oleh ramai orang sekarang. Ada banyak faktornya, tetapi itu bukan tujuan syarahan menerangkannya pada hari ini. Apabila aspek ini semakin kurang diberi perhatian sehingga menimbulkan kesan buruk dalam komunikasi bahasa Melayu, maka barulah kita semakin merasakan perlu dilakukan sesuatu supaya penggunaan unsur-unsur budaya yang positif dalam komunikasi diutamakan semula. Terutama dalam komunikasi rasmi dan perniagaan.
Unsur-unsur budaya positif ini ada disebut dalam sukatan pelajaran bahasa Melayu yang diajarkan di sekolah, tetapi perinciannya tidak ada. Kita tidak tahu apa aspek budaya yang dimaksudkan dan bagaimana pula kita mengajarkannya kepada murid sekolah. Apa kaedahnya, apa bahannya, dan seterusnya. Memang ada beberapa aspek bahasa yang mengandungi unsur budaya, iaitu: kata panggilan, kata gelaran, ganti nama, cara memberi dan menerima salam, gerak-geri badan, gerak tangan, tembung mata, kuat suara, umur, jantina dll. Di samping itu ada juga unsur-unsur lain yang mempengaruhi penggunaan bahasa, iaitu sama kita bertutur secara rasmi atau tidak rasmi. Dengan siapa kita bercakap atau berucap, apa taraf sosial, tahap pendidikan, jenis pendidikan, jawatan dan gelaran si penutur dan si pendengar. Semua unsur ini mempengaruhi cara kita menggunakan bahasa, menyampaikan maklumat, memberi dan membalas pujian, mengkritik, mencerca, menggunakan unsur humor dll. Perkara-perkara ini sentiasa mengiringi bahasa yang dituturkan pada sesuatu masa.
Bukan sekadar sekolah sahaja menagnggap perkara ini ringan, bahkan jabatan-jabatan kerajaan, organisasi-organisasi perniagaan juga demikian. Dalam membuat tinjauan sejauh mana unsur ini diberi perhatian, maka kita dapati bahawa dalam dokumen yang membincangkan etika pentadbiran juga tidak memasukkan perkara ini. Malah dalam Tonggak 12 yang dijadikan asas amalan para pentadbir, unsur budaya bahasa yang baik juga tidak disebut.
Kertas ini membincangkan unsur-unsur budaya yang sering menimbulkan kepincangan dalam komunikasi. Perbincangan ini didasarkan kepada beberapa peristiwa yang dirakamkan bagi menunjukkan kesilapan budaya berbahasa dalam bahasa kebangsaan kita. Inilah yang dikatakan kesilapan tatabahasa sosial. Kesilapan ini dianalisis bagi menimbulkan peraturan-peraturan tatabahasa sosial yang diperlukan bagi mengajarkan bahasa Melayu, dan juga melatih para pegawai kerajaan dalam menggunakan bahasa Melayu dengan berkesan. Dalam kertas ini sembilan jenis kesalahan tatabahasa sosial yang berkaitan dibincangkan, iaitu:
1. Menggunakan ganti nama yang merendahkan
2. Menggunakan panggilan mesra sebagai panggilan hormat
3. Menggunakan panggilan intim sebagai panggilan hormat
4. Menggunakan gelaran sendaan sebagai panggilan hormat
5. Menggunakan panggilan hormat hanya dalam bahasa Inggeris
6. Menggunakan bahasa pasar dalam majlis rasmi
7. Menyebut nama batang tubuh orang bertaraf tinggi
8. Menggunakan bahasa kanak-kanak dalam majlis rasmi
9. Menyentuh tubuh orang bertaraf tinggi
2.2.1 Menggunakan ganti nama yang merendahkan
Ganti nama adalah perkataan yang penuh dengan unsur budaya. Penggunaan ganti nama yang salah boleh merosakkan komunikasi.
Peristiwa 3
Seorang pensyarah universiti menguruskan pendaftaran bagi menginap di sebuah kelab golf di Port Dickson (Julai 1997). Beliau dilayani oleh seorang penyambut tetamu perempuan kaum India yang baru tamat SPM.
Pensyarah: Encik, minta kunci bilik saya?
Penyambut tetamu: Bilik kamu nombor 311, ini kunci kamu.
Pensyarah: Terima kasih Encik. Tolong tunjukkan jalannya.
Penyambut tetamu: Kamu pergi ke kiri. Kemudian kamu …
Pensyarah: Kamu boleh panggil kawan kamu, “kamu,” saya bukan kawan kamu.
Penyambut: Maaf, saya tidak tahu Encik siapa ...
Pensyarah merasa tidak dihormati.
Peristiwa 4
Seorang pelajar Cina bertemu pensyarahnya di luar bilik kuliah.
Pensyarah: Anda mahu berjumpa siapa?
Pelajar: Saya mahu jumpa kamu ...!!!
Pensyarah: Haa... kenapa?
Pelajar: Saya mahu tanda tangan kamu …!!!
Pensyarah tersebut beredar sahaja dengan tidak menjawab.
Analisis
Gadis India dan pelajar Cina ini menggunakan ganti nama kamu kepada orang yang lebih tinggi tarafnya. Ada tiga peraturan tatabahasa sosial yang dilanggar.
1. Penyambut tetamu mesti menghormati pelanggan. Dalam hubungan peniaga dan pelanggan, taraf pelanggan lebih tinggi.
2. Orang yang lebih muda tidak boleh memanggil orang yang lebih tua sebagai kamu.
3. Seorang pensyarah mempunyai pendidikan yang lebih tinggi daripada orang lepasan SPM. Oleh sebab itu pensyarah tidak wajar di’kamu’kan oleh seorang penyambut tetamu. Taraf sosial seorang pensyarah lebih tinggi kerana jawatan dan pendidikannya lebih tinggi.
Panggilan hormat, iaitu gelaran anugerah atau profesional perlu digunakan, sekiranya tidak tahu gunakanlah encik, cik, tuan, puan atau cik puan.
2.2.2 Menggunakan panggilan sebagai panggilan hormat
Perpindahan ramai tenaga kerja dari kampung juga membawa budaya bahasa kampungan ke bandar. Khususnya budaya bahasa kampungan itu digunakan dalam suasana pejabat dan perniagaan yang sebenarnya memerlukan bahasa hormat.
Peristiwa 5:
Sekumpulan pelanggan, dua orang lelaki dan seorang wanita masuk ke sebuah restoran di Kuala Lumpur, (Disember 1991). Jelas mereka itu ahli profesional. Pelayan datang meminta pesanan.
Pelayan: Encik nak makan apa?
Lelaki Pertama: Nasi beriayani dengan ayam.
Pelayan: Minum?
Lelaki pertama: Jus oren.
Pelayan beredar kepada lelaki kedua dan mendapat pesanan yang sama. Dia terus pergi kepada wanita pula.
Pelayan: Mak Cik nak makan apa?
Wanita: Siapa Mak Cik?
Pelayan: Oh! Kakak!
Wanita: Saya bukan kakak kamu ... Saya bukan Mak Cik kamu. Hormatilah pelanggan cik ...
Pelayan: Bila saya tak hormat! Saya sudah panggil Mak Cik! Nak panggil apa! Kita pun ada budi bahasa ...
Pelanggan meninggalkan restoran.
Analisis
Pelayan restoran menggunakan bentuk panggilan keluarga di dalam suasana rasmi, iaitu transaksi perniagaan. Bentuk panggilan mak cik dan kakak menyatakan mesra dalam hubungan kekeluargaan. Di restoran suasananya adalah suasana perniagaan. Hubungan pelayan dengan tetamu adalah hubungan perniagaan, pelanggan mesti dihormati, tidak dimesrai. Tatabahasa sosial yang dilanggar ialah:
1. Pelayan menyangka panggilan Kakak dan Mak Cik itu hormat.
2. Pelayan sering memberi panggilan hormat kepada lelaki, tetapi menggunakan panggilan mesra dengan perempuan.
3. Pelayan tidak berbudi bahasa apabila melawan pelanggan. Orang berbudi bahasa akan meminta maaf.
4. Pelayan tidak tahu membezakan suasana rasmi dan tidak asmi. Pelanggan tidak mahu dimesrai atau dikeluargai oleh orang yang tidak dikenali. Pelanggan cuma mahu dihormati dalam suasana perniagaan, sama ada perniagaan kecil atau besar.
5. Bentuk panggilan hormat ialah Encik, Cik, Tuan, Puan dan Cik Puan.
Seorang bekas tentera yang berniaga makanan di sebuah medan selera di Manjung, Perak (Jun 1994) mengamalkan sistem panggilan rasmi seperti dalam perkhidmatan tentera. Beliau dan pelayan restorannya memanggil pelanggan Tuan, Puan, Encik, Cik, dan Cik Puan. Restorannya menerima ramai pelanggan setiap masa.
Peristiwa 6
Dalam cuti sekolah pada 27 Mei 1995, sekumpulan guru sampai di Kuala Perlis bagi menaiki feri ke Kuah. Mereka sedang mencari tempat letak kereta.
Penjaga kereta: Abang boleh hantak sana ...
Guru: Encik bercakap dengan siapa?
Penjaga kereta: Dengan abanglah.
Guru: Saya bukan “abang” encik, panggillah saya “encik” sahaja.
Penjaga kereta: Orang kereta lagi besak tak pernah kata apa pun.
Guru-guru itu beredar sebab tidak mahu menggalakkan telatah biadabnya.
Peristiwa 7
Pelayan wanita di gerai Setesen Keretapi Ipoh, 20 Julai 2002, mengambil pesanan makanan daripada sekumpulan pensyarah muda.
Pelayan wanita: Pak Cik nak makan apa?
Pensyarah: Panggillah kami Encik …
Pelayan wanita: Eleh! orang pun ada bahasa … (sambil mencebik) )
Memang wujud salah faham seperti ini. Ramai orang luar bandar memikirkan bentuk panggilan keluarga itulah panggilan hormat. Ahli bahasa dan sistem kurikulum sekolah juga tidak memberi perhatian kepada unsur budaya dalam komunikasi. Ini juga tidak diketahui oleh orang awam di bandar juga.
Peristiwa 8
Seorang jurujual Cina di Mun Loong, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur (Mei 1993) mempelawa pelanggan ke kedai.
Jurujual Cina: Sila Kakak, Mak Cik ...
Jurujual Cina berumur sekitar 50 tahun, dan pelanggan wanita lebih muda.
Peristiwa 9
Seorang India tua yang menjual cendol di hadapan Pos Malaysia di Bandar Melawati, Kuala Lumpur (Ogos 1994).
India tua: Abang mahu apa? (India sekitar 60 tahun).
Pelajar sekolah: Abc …
Pelajar masih berseluar biru tua, sekolah rendah, berumur sekitar 9 tahun.
Peristiwa 10
Pemandu pelancong membawa pelancong Malaysia ke Danau Toba (Disember 1996) memanggil para pelancong wanita Pak Cik dan Mak Cik. Apabila ditegur, katanya pelancong Malaysia mengajar mereka memanggil demikian. Ternyata orang Melayu sendiri tidak fasih dalam tatabahasa sosial.
Peristiwa 11
Pemandu pelancong yang membawa pelancong Malaysia ke Tankuban Prahu di Bandung (Ogos 1996) asyik memanggil pelancong Malaysia yang terdiri daripada empat orang Datin dan enam profesor dan duabelas pegawai tinggi sebagai Pak Cik dan Mak Cik.
Setelah tidak tahan lagi seorang Sang Datin Profesor lalu berkata Jangan panggil saya “Mak Cik,” geli geleman aku. Sambil menggigil.
Peristiwa 12
Juruwang wanita muda di Maybank, Tanjong Malim memberi resit kepada saya (13 Oktober 2004)
Juruwang wanita (muda): Ini resit Dik.
Saya: terima kasih Cu!
Analisis
Tentulah ada orang Malaysia yang mengajar pemandu pelancong Indonesia menggunakan bentuk panggilan Pak Cik dan Mak Cik memikirkan itulah panggilan hormat. Juruwang Maybank juga memikirkan panggilan Adik itu sebagai hormat. Ternyata kita sendiri tidak memahami budaya panggilan hormat bahasa sendiri. Pada hal bentuk panggilan Bapak dan Ibu yang digunakan oleh orang Indonesia itu jelas menunjukkan sistem budaya yang menghormati orang. Sistem itu jelas membezakan antara budaya hormat dan mesra. Tatabahasa sosial yang dilanggar ialah:
1. Pelmandu pelancong Indonesia memanggil pelancong Malaysia Pak Cik dan Pak Cik tidak mengetahui perbezaan anatara panggilan hormat dan panggilan mesra. Panggilan mesra kepada orang yang tidak dikenali adalah tidak sopan.
2. Faktor umur sangat penting. Memanggil orang muda daripada kita sebagai Abang hanya dilakukan dalam konteks saudara-mara sendiri. Orang lain di luar lingkungan keluarga tidak ada hak berbuat begitu. Penjual cendol India dan jurujual Cina bukan sahaja melanggar tatabahasa sosial, bahkan melucukan dan tidak siuman.
3. Memanggil orang tua yang lebih tinggi taraf sebagai Adik adalah perbuatan memperbudakkan orang yang dilawan berakap, bukan tanda hormat.
2.2.3 Menggunakan panggilan intim sebagai panggilan hormat
Di Kuala Lumpur, terdapat ramai gadis bujang yang tinggal sesama mereka. Mereka memasak sendiri, dan membeli bekalan makanan di pasar-pasar malam. Oleh sebab ramai daripada mereka datang dari kampung, maka mereka membawa budaya kampung ke bandar. Salah satu daripadanya ialah, mereka menggunakan panggilan keluarga di kampung. Akibatnya, ada yang ada yang merisaukan.
Peristiwa 13
Sebuah peristiwa penggunaan panggilan intim kepada bukan orang yang intim berlaku di sebuah pasar malam di Keramat. Dalam peristiwa ini seorang gadis kilang baru pulang dari bekerja dan ingin membeli ikan keli (Julai 1994).
Gadis kilang: Berapa sekilo bang?
Peraih Indon: Tak mahal dik, saya boleh kira murah sahaja.
Gadis kilang: Kasi tahulah berapa, senang saya nak beli.
Peraih Indon: Hai Cik adik cepat marah ... janganlah marah dik ...
Gadis kilang: Jangan gatallah ...
Peraih Indon: Tak apa, kan adik ada. Tentu boleh garu ...
Analisis
Peraih Indon memang menggatal. Tetapi bukan dia yang menggatal dulu. Perasaan itu berpunca daripada bentuk panggilan gadis itu. Gadis itu yang memulakannya. Gadis tersebut melanggar peraturan sosio udaya bahasa Melayu. Apabila dia menggunakan bentuk panggilan abang, dia menimbulkan suasana intim kepada orang bukan intim. Peraih Indon merasa dikasihi dan bukan dihormati. Tatabahasa sosial yang dilanggar ialah:
1. Di kampung gadis itu memanggil lelaki yang bukan keluarga atau tidak dikenali sebagi abang.
2. Panggilan abang juga digunakan untuk suami, tunang atau kekasih. Itulah sebabnya peraih Indon itu merasa dia dikasihi seperti seorang kekasih, bukan dihormati.
Panggilan yang sesuai bagi peraih ikan ialah Encik. Hormatilah peraih Indon itu, bukan dimesrai dan dikasihi. Peraih Indon itu juga mesti memanggil gadis itu Cik, Cik Puan atau Encik.
Peristiwa 14
Wanita pelayan di sebuah Gerai di Kampung Baru (Julai 2000) sedang mengambil pesanan daripada empat pemuda yang duduk semeja.
Pelayan wanita: Abang dah order.
Pelanggan: Belum. Kami nak order sekarang.
Pelayan wanita: Okay, abang nak makan apa?
Semua pemuda tersebut memandang-mandang antara satu sama lain sambil senyum-senyum apabila dimesrai sebagai kekasih. Suami pelayan yang sedang memasak menjeling-jeling curiga. Sebarang kecurigaan seperti itu tidak akan berlaku sekiranya pelayan memanggil semua orang Encik atau Tuan. Para pelajar lelaki UPSI yang sering makan di restoran Pattani juga menikmati layanan yang sama. Gadis-gadis Pattani yang melayan mereka memang mengetahui aspek ini. Mereka menggunakannya bagi menarik dan memanipulasi pelanggan supaya suka datang ke restoran mereka.
2.2.4 Menggunakan gelaran sendaan sebagi gelaran hormat
Pelanggan di kedai makan, di stesen petrol, sering dipanggil bos. Orang bukan Melayu juga sering menggunakan gelaran ini.
Peristiwa 15
Pelayan stesen: Berapa bos?
Pelanggan: Panggil saya encik saja!
Pelayan stesen: Bos serupa saja!
Analisis
Ada semacam kesedaran pada pihak pelayan bahawa panggilan bos itu tidak kena, tetapi masih suka meneruskan amalan begitu. Ada juga kepercayan semacam memanggil orang dengan panggilan Encik, Tuan, Cik, Cik Puan dan Puan itu keterlaluan. Tatabahasa sosial yang dilanggar ialah:
1. Pelayan stesen petrol merendahkan taraf orang kepada taraf mereka.
2. Panggilan bos adalah menghinakan dan mempersenda pelanggan.
Bos ialah panggilan merendah orang yang dilawan bercakap. Gelaran ini asalnya dipopularkan dalam filem P. Ramli. Ada dua orang yang digelar bos. Pertama, Ibrahim Pendek memanggil ketua penyamun bos. Atau samseng memanggil kepala samseng Salleh Kamil bos. Kedua, P. Ramli memanggil Hj. Bakhil bos. Kedua-duanya adalah panggilan mempersenda darjat orang yang dilawan bercakap. Pelanggan perlu dihormati bukan dipersenda.
2.2.5 Menggunakan panggilan hormat hanya dalam bahasa Inggeris
Adalah tidak benar pekerja, pelayan, pemandu teksi kita tidak mengetahui bahasa hormat. Mereka pandai menggunakan bahasa hormat dalam bahasa Inggeris. Tetapi ada semacam keengganan menggunakan bahasa hormat dalam bahasa Melayu. Ini menunjukkan budi bahasa yang sudah luntur.
Peristiwa 16
Seorang pemandu teksi menyampbut sepasang pelancong asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz, Subang (Ogos 1998). Dalam bahasa Inggerisnya yang patah-patah dia berkomunikasi dengan agak berkesan.
Pemndu teksi: Come polo me, Sir, Mem polo me ... You go where?
Pelancong: Hotel Hilton International. Can you take us there?
Pemandu Teksi: Yes Sir ... Yes Mem. Very gud Sir!
Pelancong: Thank you ...
Peristiwa 17
Peristiwa ini berlaku dalam penerbangan MH 703 - Manila ke Kuala Lumpur, pada 10 April 1996.
Pramugara: Pak Cik nak makan ayam atau daging?
Penumpang: Ayam.
Kemudian dia bertanya pula kepada orang berkulit putih di belakang.
Peramugara: What is your choice Sir? Chicken or beef?
Penumpang: Oh, yes, beef please.
Peristiwa 18
Orang Meayu berpendidikan tinggi mengekalkan budaya hormat walaupun apabila bertutur dalam bahasa Inggeris. Berikut ialah senarai soalan yang disediakan oleh seorang wartawan New Straits Times, Puan Rose Ismail, semasa menemuduga seorang profesor. Perhatikan beliau tidak pun menggunakan you dalam temuduga tersebut.
1. What are the translation needs of Malaysia? What sort of books should be considered for translation? What are the criteria?
2. What is the status of current translation efforts? Has there been any progress at all? If not, why?
3. Does Prof. think the Malaysian Institute of Translation is not moving fast enough towards producing more translated works? What is it not doing right? (These two questions may be sensitive but perhaps Prof. could remain anonymous for this.)
Sebanyak lapan soalan ditanyakan, ganti nama you tidak pernah digunakan.
Analisis
Pemandu teksi ini sangat hormat kepada pelancong asing dan isterinya. Dia tidak pula memanggilnya Brother (Abang) atau Little Uncle (Pak Cik). Pandai dia memanggil Sir yang bermaksud Tuan dan Mem yang bermaksud Puan. Tetapi anehnya, orang yang sama akan memanggil orang Melayu Abang, Pak Cik, Kakak, Mak Cik, dll. Orang Melayu memang memahami adanya budaya hormat, tetapi tidak mengamalkannya kepada bangsa sendiri. Tatabahasa sosial yang dilanggar ialah:
1. Tidak menggunakan bentuk hormat kepada orang Melayu, asyik hendak bermesra dengan menggunakan panggilan keluarga.
2. Amalan ini sekali gus merendahkan taraf pelanggan Melayu.
Panggilan Sir itu betul. Pramugara mesti menghormati penumpang, dan tidak memanggilnya seperti ahli keluarga. Oleh sebab itu dia memanggil penumpang Sir dan tidak menggunakan bentuk panggilan keluarga Brother, Uncle atau Auntie. Penumpang yang dipanggil Pak Cik itu sebenarnya ialah Almarhum Prof. Ali Hasjmi, bekas Gabenor Acheh. Beliau adalah seorang ulama besar. Beliau lebih daripada layak dipanggil Tuan atau Bapak. Penumpang orang putih itu yang dipanggil Sir tadi ialah seorang pengangkut sampah dari Chicago.
Mungkin pramugara itu tersalah andaian, bahawa memanggil Tuan adalah keterlaluan. Malah ada suatu notis di Pejabat Daerah Bentung yang berbunyi Hormat itu bukan Ampu. Ini menunjukkan betul wujud budaya enggan menghormati orang dengan panggilan Tuan dan Puan, malah sering dianggap perbutan itu sebagai perbuatan mengampu.
2.2.6 Menggunakan bahasa rendah dalam majlis rasmi
Seorang artis wanita mencuba menarik minat penonton supaya menikmati rancangannya. Walau bagaimanapun, artis yang juga menjadi pengacara majlis di televisyen itu tidak mengiktiraf taraf formal sesuatu majlis yang ditayangkan di televisyen itu.
Peristiwa 19
Pengacara rancangan kelab remaja di televisyen: Masa cuti lalu ai ... berserta kru televisyen ... wiol buat syuting di ... Harap yuol akan menonton apa yang wiol sediakan untuk yuol ...
Peristiwa 20
Seorang artis wanita mengiklankan segmen muziknya untuk penonton: Ai sudah rakamkan empat buah album untuk yuol. Yuol mesti dengar lagu-lagu ai. Ai akan pilih lagu-lagu yang menarik spesiali untuk yu ... Penerbit ai dan member kru telivisyen ... deiol telah menyediakan rancangan spesyel untuk yuol. Wiol telah bekerja keras untuk yuol.
Peristiwa 21
Pengguna bahasa pasar mudah menyamatarafkan semua orang dengan tarafnya sendiri (Kampung Baru, Ogos 1997)
Pelayan perempuan: Yu nak makan apa? Yu seleklah makan dari meja tu, yu ambiklah apa yu nak. Kemudian yu bawak kat ai, ai kira bagi kat yu.
Pelanggan: Cik puan, panggillah pelanggan ‘cik’ ... ‘encik’ dan ‘puan.’ Itu panggilan hormat.
Pelayan: Yu tak suka tak pa ... wiol tak pernah dengar orang komplen pun ....
Analisis
Bahasa pasar ialah bahasa yang menggunakan struktur ayat Melayu tetapi perkataan campuran dengan perkataan bahasa pinjaman. Yang paling ketara ialah bahasa pasar menggunakan kata ganti nama asing, iaitu ai, yu, wiol, yuol, deiol, gua, lu, gua semua, lu semua, dia orang, semua orang, lu orang, kita orang, aya, ane, bai, dll.
Bahasa pasar adalah bahasa orang tidak terpelajar. Atau, digunakan oleh orang terpelajar kepada orang tidak terpelajar. Ini bukan bahasa rapi dan bahasa rasmi. Ini bahasa rendah, layak digunakan dalam perhubungan dengan rakan-rakan di luar majlis rasmi, di pasar, di dapur, di perhentian bas, dll. Dalam rancangan rasmi melalui televisyen ke seluruh negara, bahasa pasar tidak wajar digunakan. Menggunakan bahasa pasar ini sangat merendahkan taraf orang yang dilawan bercakap. Tatabahasa sosial yang dilanggar ialah:
1. Budaya Melayu memerlukan bahasa yang rapi digunakan dalam suasana rasmi. Bahasa pasar ini tidak ada tempat dalam majlis rasmi.
2. Menggunakan ganti nama bahasa pasar kepada orang datang daripada budaya rendah. Budaya tinggi menuntut bahasa yang rapi.
3. Dengan mengeyu-yukan penonton, pengacara menurunkan semua orang ke taraf mat dan minah rock sahaja.
4. Televisyen adalah saluran rasmi. Bahasa pasar dan bahasa campur-aduk tidak ada tempat dalam saluran rasmi.
5. Tidak menggunakan neka bahasa baku. Dalam suasana rasmi, perkataan dan sebutan pun mesti rasmi, iaitu bahasa baku.
6. Bahasa pasar tidak ada kehalusannya, peri laku penutur bahasa pasar juga akan menjadi kasar dan sumbang. Apabila kita menggunakan bahasa berbudaya tinggi, kita tidak tergamak berkelakuan kasar dengan pelanggan.
Apabila pelayan menggunakan ganti nama yu kepada pelanggan, pelanggan merasa tidak dihormati. Malah dia merasakan dia disamakan dengan pelayan remaja yang menyebut dirinya ai. Pada pihak pelayan pula, apabila dia menggunakan kata ganti nama yu kepada semua pelanggan, dia merasakan dia sama taraf dengan pelanggan. Oleh itu dia telah berlagak bahawa dia wajar menjawab kata-kata pelanggan. Pelanggan adalah penting. Tanpa pelanggan perniagaan kita tidak ada. Oleh sebab itu pelanggan adalah bertaraf lebih tinggi daripada pelayan. Kita tidak boleh merendahkan mereka dengan mengeyu-yukan mereka. Elakkan perbalahan dengan pelanggan. Ini akan dapat kita buat dengan memanggil mereka Encik, Tuan, Puan, Cik dan Cik Puan. Gugurkan sama sekali ganti nama yu dan ai.
Apabila kita mahu menggunkan bahasa tinggi buanglah ganti nama pinjanan. Gunakan ganti nama hormat, iaitu: tuan, puan, encik, cik, para penonton, para pendengar, para peminat, barulah perilaku penutur juga turut berubah.
2.2.7 Menyebut nama batang tubuh orang bertaraf tinggi
Kita dibiasakan dari kecil tidak menyebut nama ibu bapa kita apabila memanggil mereka. Ini adalah kerana menyebut nama batang tubuh orang yang kita hormati itu adalah tidak sopan.
Persitiwa 22
KUALA LUMPUR 26 Sept. (2003). Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta Kementerian Pembangunan Usahawan (KPUM) supaya menyediakan satu rangka tindakan bagi mempromosikan produk francais Malaysia yang bertaraf dunia ke pasaran global. ......
Abdullah berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Pameran Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) 2003 anjuran MFA di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.
Abdullah berkata, Malaysia juga boleh ditempatkan sebagai pusat serantau bagi francais global di Asia Tenggara.
Pada majlis itu, Abdullah turut menyampaikan Anugerah SuperBrand kepada enam syarikat francais iaitu Smart Reader Worldwide Sdn. Bhd., Memory Lane (M) Sdn. Bhd., Kyros Kebab (Gettmore Group), McDonald's, Edaran Otomobil Nasional dan 1901.
Peristiwa 23
Kerani: Selamat pagi Dato’ Low
Dato’ Low: Selamat pagi
Analisis:
Merujuk kepada Perdana Menteri dengan namanya sahaja adalah tidak hormat. Dato’ Seri Rfidah Aziz pernah menegur orang suaya tidak memanggil Perdana Menteri sebagai Pak Lah. Betul kata Dato’ Seri itu. Beliau peka terhadap unsur budaya kita. Malangnya, orang yang tidak peka pula mengatakan tidak mengapa. Nama adalah sebahagian daripada batang tubuh kita. Apa-apa pada batang tubuh kita tidak boleh disentuh. Tatabahasa sosial yang dilanggar ialah:
1. Menyebut nama batang tubuh orang yang dihormati adalah biadab.
2. Amalan wartawan Barat bertentangan dengan budaya kita dan tidak perlu diikuti bulat-bulat.
Kita boleh membuat definisi sendiri dalam amalan kewartawanan kita. Inilah contoh apa yang Barat itu tidak semestinya diterima sahaja. Kita boleh menggunakan ganti nama hormat beliau apabila merujuk kepada beliau lagi. Tidak perlu biadab. Kerani juga tidak boleh menyebut nama Dato’ Low, cuma sebut Selamat Pagi Dato’ sahaja.
2.2.8 Menggunakan bahasa kanak-kanak dalam majlis rasmi
Ramai penutur yang tidak memahami peraturan tentang penggunaan bahasa kanak-kanak atau manja. Menggunakan nama sendiri menggantikan saya adalah adalah bahasa kanak-kanak. Bahasa kanak-kanak hanya patut digunakan oleh kanak-kanak kecil dalam lingkungan keluarganya sahaja. Apabila orang perempuan dewasa masih menggunakan bahasa kanak-kanak, ia dianggap tidak matang, tidak tahu menghormati majlis atau orang. Apabila orang lelaki dewasa pula menggunakan bahasa kanak-kanak, maka lakuan bahasa begini amatlah tidak sesuai. Ini adalah tidak sopan digunakan di hadapan khalayak ramai atau dalam urusan rasmi.
Peristiwa 24
Artis menjawab soalan wartawan.
Wartawan: Apa kegemaran Lucy ...
Artis: Lucy … suka ...
Peristiwa 25
Pengangkat berat: Alek memang jaga makan dan tidur …
Peristiwa 26
Pensyarah UPSI berseminar di Beijing pada 8-15 Oktober 2002, dan seorang pemandu pelancongnya menyebabkan ramai orang gelisah.
Pemandu pelancong: Anuar akan terangkan perjalanan kita hari ini …
Apabila diterangkan bahawa hanya lelaki lembut yang menggunakan nama sendiri bagi menggantikan saya, … dia masih begitu. Ada orang Malaysia sendiri yang memberi ajaran yang sesat begini.
Analisis
Orang dewasa tidak patut menggunakan nama sendiri dalam percakapan dengan orang lain, lebih-lebih lagi dalam suasana rasmi. Suasana rasmi tidak membolehkan kita menggunakan bahasa manja atau bahasa kanak-kanak. Bahasa kanak-kanak hanya diguanakan dengan ahli keluarga yang lebih tua, seperti abang, kakak, ibu, bapa, datuk atau nenek. Menggunakan bahasa kanak-kanak terhadap orang lain adalah ‘mengada-ngada.” Tatabahasa sosial yang dilanggar ialah:
1. Mengada-ngada dalam majlis rasmi.
2. Merendahkan taraf orang yang dilawan bercakap.
3. Bermanja dengan orang yang tidak patut dibuat demikian.
2.2.9 Menyentuh tubuh orang bertaraf tinggi
Dalam apa bahasa sekalipun, fungsi sentuhan adalah berkaitan. Ada kalanya fungsi menyentuh ini sama sekali bertentangan antara satu budaya dengan yang lain. Dalam bahasa Melayu menyentuh orang yang dilawan bercakap boleh jadi tidak sopan dan sama sekali dilarang.
Peristiwa 27
Pelajar: Sori Prof. saya tidak dapat menghantar esei semalam (Tangan pelajar menyentuh lengan profesor!)
Profesor: Simpan tangan kamu, tidak perlu menyentuh saya.
Pelajar: Oh!
Analisis
Dalam budaya orang Melayu, menyentuh orang bukanlah lakuan yang lazim. Hanya dalam keadaan tertentu seperti kematian, sakit, kemalangan, barulah ada pihak yang memegang tangan atau bahu orang yang dilawan bercakap. Itupun, kita hanya menyentuh lengan dan bahu. Kepala tidak boleh disentuh sama sekali. Orang muda atau orang bertaraf rendah tidak menyentuh orang bertaraf tinggi. Kita juga tidak menyentuh orang berlainan jantina. Tidak juga ahli keluarga sendiri. Kempen kasih sayang di televisyen menunjukkan pemimpin Melayu mencium isteri di depan khalayak menyebabkan orang Melayu yang memegang nilai tradisional merasa gelisah. Tatabahasa sosial yang dilanggar:
1. Orang bertaraf tinggi boleh menyentuh yang bertaraf rendah.
2. Pelajar adalah tidak sopan menyentuh profesor.
3. Menyentuh kepala tidak dibenarkan.
Kepala adalah bahagian tubuh yang paling dihormati. Lelaki bersalaman dengan perempuan melibatkan menyentuh bukan muhrim, ini menyalahi hukum agama.
3. Bukan sekadar tatabahasa, ada tatabahasa sosial
Dalam menggunakan bahasa, ada dua aspek penting. Pertama ialah peraturan-peraturan seperti sebutan, ejaan, tatabahasa, kosa kata, tanda baca dll. Aspek ini dipanggil mekanika bahasa. Kedua ialah perkara seperti pilihan ganti nama , sistem panggilan, bentuk hormat, bentuk bahasa, sentuhan, taraf sosial, taraf pendidikan, usia dll. adalah juga penting. Malah lebih penting. Aspek ini dipanggil dinamika bahasa. Ada peraturan-peraturan yang menuntut kita menggunakan sopan dan santun bahasa. Inilah yang dipanggil tatabahasa sosial. Tatabahasa sosial belum mendapat tempat sewajarnya dalam kursus bahasa Melayu baik di sekolah mahupun di institusi pengajian tinggi.
Orang-orang yang tidak bersekolah mahir menggunakan bahasa tanpa belajar mekanika bahasa. Mereka pandai menggunakan bahasa hormat apabila bercakap denagn pegawai-pegawai tinggi di pejabat-pejabat kerajaan. Orang-orang yang belajar mekanika bahasa sahaja, akan mengalami masalah apabila tidak diajar hal-hal dinamika bahasa yang menyangkut kesantunan berbahasa.
3.1 Dari suasana tidak rasmi ke suasana rasmi
Kita sudah meluaskan penggunaan bahasa Melayu ke bidang luar daripada lingkungan keluarga. Kita sudah keluar daripada lingkungan kampung di mana setiap orang ada kaitan keluarga. Ini perlu difahami supaya hubungan di antara ahli keluarga tidak disamakan dengan hubungan di luar ahli keluarga. Kita perlu menggunakan bentuk panggilan hormat menurut taraf orang yang dilawan bercakap, bukan menurut rasa orang yang bercakap. Kita menghormati pelanggan dengan menggunakan bentuk panggilan hormat. Bentuk panggilan keluarga digunakan bagi menunjukkan mesra. Dalam hubungan rasmi, iaitu di luar hubungan keluarga, tujuan kita berkomunikasi bukan bagi menunjukkan mesra, tetapi hormat.
Apabila kita memanggil orang, kita menggunakan kata panggilan tertentu. Kata panggilan terdiri daripada kata-kata gelaran seperti tuan, puan, encik dll, dan juga kata ganti nama seperti kamu, engkau, awak dll. Za'ba menggunakan istilah pemadan taraf. Kita memadankan panggilan kita dengan taraf sosial seseorang dalam masyarakat. Bagaimanakah kita menghiktiraf taraf mereka? Cara kita mengiktiraf taraf mereka ialah dengan memanggil mereka dengan menggunakan bentuk panggilan hormat. Apabila berurusan dengan pelanggan, tidak kira pelanggan yang datang ke gerai di tepi jalan atau syarikat multinasional, bentuk panggilan hormat yang perlu digunakan serupa sahaja. Yang datang itu pelanggan. Pelanggan mesti dihormati.
3.1.1 Panggilan dan ganti nama tidak rasmi
Suasana tidak rasmi seperti dalam keluarga atau kenalan biasa dapat dilihat dalam contoh berikut. Katakanlah, Bidin bercakap kepada Mamat, Bidin akan memanggil Mamat berdasarkan perbezaan umur antara keduanya. Kalau Mamat lebih tua, Bidin akan memanggil Mamat dengan kata panggilan Abang. Jikalau Mamat jauh lebih tua, Bidin akan menggunakan kata panggilan Pak Cik. Jikalau Mamat lebih tua lagi, Bidin akan menggunakan kata panggilan Datuk atau Tuk. Kalau Bidin dan Mamat sebaya, Bidin akan memanggil Mamat awak, atau engkau. Kalau Mamat jauh lebih muda daripada Bidin, Bidin akan memanggilnya dengan nama peribadi iaitu Mamat. Begitu juga sebaliknya.
Kata panggilan mesra seperti ini boleh digunakan apabila kita bercakap dengan orang yang ada perhubungan mesra dengan kita. Sebagai contoh, Bidin dan Mamat kenal baik antara satu dengan lain. Mereka mungkin orang sekampung, berjiran, satu taraf dalam masyarakat, menjadi anggota kumpulan yang sama dan seumpama itu. Ertinya mereka sangat kenal satu dengan lain. Dalam keadaan begitu kata panggilan ragam mesra dianggap sopan, dan diterima sebagai budi bahasa yang halus.
Kata panggilan mesra tidak boleh digunakan kepada orang yang tidak mempunyai hubungan keluarga atau kenal biasa dengan kita. Sebagai contoh, kalau Bidin seorang kerani pejabat, dan Mamat ialah ketuanya, Bidin tidak boleh memanggil Mamat menggunakan kata panggilan mesra. Perbuatan itu menjadi perbuatan yang tidak sopan, kerana perhubungan antara Bidin dan Mamat adalah perhubungan sekerja, bukan perhubungan mesra. Hubungan sekerja adalah hubungan rasmi, oleh itu Bidin hendaklah menggunakan panggilan rasmi apabila bercakap dengan Mamat. Panggilan rasmi ialah seperti Tan Seri, Datuk, Tuan, Tuan Haji, Puan, Puan Hajah, Encik, Saudara dan Saudari.
Kakitangan pejabat-pejabat kerajaan sering tidak menggunakan kata panggilan yang betul apabila berhubungan dengan orang ramai. Mereka menggunakan kata panggilan mesra sedangkan antara mereka dan orang ramai yang datang ke pejabat kerajaan hanya ada hubungan rasmi semata-mata. Di pejabat, para pelajar dan petugas lain hanya boleh memanggil petugas perempuan sebagai Puan Rohana, Cik Shakira, Encik Nazrul, dll. Memanggil mereka dengan panggilan keluarga adalah melanggar peraturan tatabahasa sosial kesantunan bahasa Melayu.
Kesalahan menggunakan kata panggilan mesra dalam urusan rasmi adalah kesalahan yang serius. Perbuatan itu adalah biadab. Di dalam hubungan rasmi, seseorang tidak boleh dipanggil berdasarkan umur atau hubungan keluarga. Hubungan rasmi ditentukan oleh taraf seseorang, bukan umur seseorang.
3.1.2 Panduan panggilan hormat untuk urusan rasmi
Ada enam panduan bagi menggunakan panggilan rasmi dalam bahasa Melayu.
1. Sekiranya diketahui orang itu mempunyai gelaran anugerah (Tun, Toh Puan, Datuk, Datin, Datuk Seri, Datuk, Datin, Yang Berhormat, dll.); nama profesion (Doktor, Ustazah, Cikgu, dll.); nama pangkat (Inspektor, Kolonel, dll.), gelaran tradisional (Tuk Empat, Tuk Lurah, dll.), anugerah kecemerlangan (Sasterawan Negara, Ibu Mithali, dll.) gunakan nama gelaran tersebut sebelum nama batang tubuh. Apabila ada lebih daripada satu, gunakanlah gelaran yang tertinggi sahaja. Amalan menyenaraikan lebih daripada satu boleh diterima, tetapi menjadi aneh apabila nama seseorang menjadi berjela-jela.
2. Tuan, untuk semua lelaki, terutama yang dikenali sebagai tokoh penting dalam masyarakat. Jikalau dia sudah menunaikan haji, gunakan Tuan Haji.
3. Puan, untuk semua wanita, lebih-lebih lagi sekiranya diketahui dia sudah berkahwin. Jikalau dia sudah menunaikan haji, gunakan Puan Hajah. Perhatian perlu diberi kepada gelaran Tuanku, Tuan Puteri, Tuan Pengerusi, Tuan Rumah, dll.
4. Encik, atau Cik boleh digunakan untuk lelaki dan perempuan, sama ada sudah berkahwin atau belum. Ada amalan menggunakan Puan untuk perempuan berkahwin seperti dalam budaya Inggeris. Sekiranya tidak pasti gunakan Cik Puan.
5. Saudara dan Saudari, untuk pemuda dan pemudi antara 16 tahun hingga 25 tahun. Boleh juga digunakan kepada orang-orang yang dapat dianggap sebagai setaraf atau lebih rendah daripada yang bercakap. Umpamanya, seorang pemimpin boleh memanggil semua orang Saudara. Encik, atau Cik boleh digunakan untuk lelaki dan perempuan, sama ada sudah berkahwin atau belum.
3.1.3 Panduan panggilan tidak rasmi
Panduan berikut akan dapat membantu kita menggunakan sistem panggilan dalam bahasa Melayu bagi konteks tidak rasmi.
1. Gunakanlah panggilan Pak Cik, Mak Cik, Abang dan Kakak kepada orang-orang yang kita kenali dengan mesra sahaja. Apabila diguankan di tempat yang rasmi, panggilan-panggilan ini menjadi panggilan biadab.
2. Panduan panggilan dalam perniagaan mesti rasmi. Dalam perniagaan, semua urusan adalah rasmi. Bentuk sapaan rasmi sahaja yang digunakan. Untuk lelaki gunakanlah: Tuan dan Encik. Untuk perempuan gunakanlah Puan, Cik Puan, Encik atau Cik sahaja. Panggilan keluarga seperti pakcik, makcik, abang, kakak, dan adik tidak terlibat kerana ini bukan lingkungan keluarga.
3. Sekiranya pelanggan mempunyai gelaran seperti Tun, Toh Puan (Sebutannya Tuk Puan), Datuk, Datin, Datuk Seri, Datuk, Datin Yang Berhormat, Doktor, Ustaz, gunakanlah nama gelaran atau nama profesion itu.
4. Amalan dalam bahasa Jepun menggunakan satu fatwa mudah dan sopan. Ini boleh kita tiru. Apabila orang pertama (saya, aku, kita, kami) bercakap dengan orang kedua (awak, kamu, kalian) bentuk panggilan mulia atau lebih tinggi digunakan (Panggilah Tuan dan Puan). Apabila orang pertama dan kedua bercakap mengenai orang ketiga (dia, beliau, mereka), maka orang ketiga itu lebih dimuliakan (Panggilah beliau).
5. Elakkan menggunakan ganti nama ‘anda’ dan ‘kalian’ terhadap orang yang lebih mulia. Anda dan kalian menurunkan taraf khalayak pendengar kepada taraf kita. Adalah biadab menurunkan taraf orang mendengar kepada taraf kita. Kita mesti sentiasa meletakkan orang satu tahap di atas tahap kita.
Perkara yang perlu sangat dijadikan peraturan ialah, apabila panggilan tidak rasmi digunakan di tempat yang rasmi, maka panggilan-panggilan ini menjadi panggilan biadab.
3.2 Menggunakan panggilan dan gelaran hormat
Orang bertaraf tinggi, kita sapa dengan bentuk panggilan rasmi, atau dengan gelaran Dato’, Tan Sri, Dr, Ir, dll. sekiranya bergelar. Orang yang kita belum kenal biasa hendaklah dipanggil dengan panggilan rasmi. Panggilan rasmi menunjukkan hubungan rasmi, bukan hubungan keluarga atau mesra. Ahli keluarga dan orang yang kita kenal biasa sahaja yang kita panggil dengan penggilan mesra. Itupun dalam suasana keluarga. Suami isteri yang menjalankan tugas di pejabat masih perlu menggunkan panggilan hormat bagi menunjukkan hubungan rasmi, bukan menunjukkan hubungan mesra.
Ada dua faktor yang menentukan bagaimana kita menggunakan bentuk panggilan dalam bahasa Melayu: pertama ialah suasana, sama ada rasmi atau tidak rasmi. Kedua taraf orang yang dilawan bercakap.
3.2.1 Susunan menggunakan gelaran
Ada tiga jenis gelaran, ini dapat dilihat dalam jadual berikut.
Bil.
Profesional
Anugerah
Warisan
1.
Prof.
Dato’
Tengku
2.
Dr.
Datuk
Syed
3.
Ir.
Datin
Raja
4.
Ar.
Tan Sri
Ungku
5.
Puan Sri
Tunku
6.
Tun
Gelaran tersebut hendaklah disusun menurut tarafnya. Bentuk panggilan digunakan di depan, diikuti dengan gelaran anugerah, gelaran profesional, dan gelaran warisan. Gelaran warisan mestilah dirapakan dengan nama batang tubuh orang berkenaan. Ada amalan meletakkan anugerah menurut tarikh anugerah diberi seperti profesor diletakkan di depan sekali. Yang terbaik, ikutlah kaedah berikut.
Panggilan
Nama Anugerah
Nama Profesional
Nama Warisan
Nama Penuh
Y.A. Bhg.
Tun
Dr.
Raja
Ahmad Adam
Y.B.
Dato’ Seri
Dr.
Rais Yatim
Y. Bhg.
Dato’
Brig. Jen. (B)
Syed
Husin
3.2.2 Gelaran jawatan agama
Orang yang memegang jawatan agama juga perlu diberi perhatian. Jawatan mereka ialah: mufti, kadi, mudir, imam, bilal, siak, guru, guru, lebai, dan mudim. Semuanya bergelar Tuan.
3.2.3 Susunan jawatan
Dalam konteks masyarakat Malaysia, kita mungkin berhadaan dengan keadaan yang boleh merumitkan. Lihat jadual di bawah
JAWATAN
Kerajaan
Tradisional
Swasta
Pertubuhan
Gabenor
Tuk Empat
Ketua Pegawai Eksekutif
Pengerusi
YDP Negeri
Tuk Penggawa
COO
Ketua 1
Menteri
Tuk Penghulu
Pengarah Urusan
Presiden
Ketua Menteri
Tuk Ketua
Pengurus Besar
SU Kehormat
Menteri Besar
Tuk Lurah
Pengerusi
SU Agung
KSN
Tuk Batin
Presiden
KSU
Undang
Penyimpan Mohor Raja-raja Melayu
Tuk Bomoh
Datuk Bandar
Tuk Dukun
Ketua Pengarah
Mak Bidan
Pegawai Daerah
Tuk Mudim
Naib Canselor
Tuk Pawang
Rektor
Tuk Guru Silat
Senator
Tuk Syeikh
3.2.4 Anugerah kecemerlangan
Begitu juga dengan anugerah cemerlang. Anugerah cemerlang diberi kepada individu yang memberi khidamt cemerlang kepada negara dan masyarakat. Mereka perlu dihormati dengan sapaan dan gelaran yang sewajarnya.
Anugerah kecemerlangan
Anugerah
Nama
Sasterawan Negara
Dato’
Kamaluddin Mohammad
Biduan Negara
Seniman Negara
Olahragawan Negara
Tokoh Maal Hijrah, Guru, dll.
3.3 Peraturan Bahasa
Kemahiran kita menggunakan kata ganti nama, sistem panggilan, sistem gelaran yang betul memang dapat menimbulkan iklim komunikasi yang positif. Namun demikian, dalam peraturan menggunakan bahasa, kita sentiasa dapat meningkatkan keberkesanan komunikasi kita dengan memberi perhatian kepada aspek-aspek tertentu dalam bahasa komunikasi.
3.3.1 Ayat lengkap dari segi tatabahasa
Menggunakan bahasa Melayu dengan mempastikan setiap ayat lengkap, rapi dan terkawal adalah penting bagi meningkatkan karisma penutur. Penggunaan ayat yang lengkap dari segi subjek dan predikat, penggunaan imbuhan, sendi dan sebagainya akan memperlancar komunikasi.
3.3.2 Sebutan baku
Apabila bercakap, sebutan bahasa yang baik akan menunjukkan kita lebih menghormati. Sebarang penggunaan sebutan yang tidak baku, atau penggunaan sebutan dialek menurunkan nilai komunikasi.
3.3.3 Bahasa basahan
Bahasa basahan harian adalah untuk menjalankan aktiviti masyarakat sehari-harian. Bahasa begitu tidak sesuai digunakan dalam urusan rasmi. Oleh itu amat perlu kita melatih diri supaya berdisiplin dalam menggunakan bahasa. Hanya bahasa yang terkawal rapi dapat menyampaikan maksud tinggi.
3.3.4 Bahasa korporat
Bahasa juga sering diklasifikasikan menurut jantina. Ada bahasa lelaki dan ada bahasa perempuan. Ada lelaki menggunakan bahasa perempuan, dan ada perempuan menggunakan bahasa lelaki. Chef yang mempunyai rancangan memperkenalkan resipi di televisyen ternyata menggunakan bahasa perempuan. Penyampai berita wanita di televisyen juga sering menguasai bahasa lelaki. Tetapi yang pentingnya ialah bahasa yang digunakan itu memberi kesan kepada kedudukan dan fungsi sesorang di dalam sesebuah korporat. Yang penting ialah ahli korporat perlu memahami bahasa dan budaya korporat. Stail dan kualiti komunikasi tidak hanya bergantung hanya kepada penghantar dan penerima. Mereka perlu menggunakan bahasa lelaki dalam korporat. Bahasa yang digunakan oleh seorang chef di televisyen tentu sekali tidak sesuai untuk sebuah korporat. Namun, sebuah korporat kecil memerlukan gaya komunikasi yang berlainan berbanding dengan sebuah korporat yang besar dan dikawal ketat, dan bertatatingkat. Dalam semua hal, perlulah dipilih gaya komunikasi yang sesuai. Pada kesimpulannya, Tannen, D. (1990) mengatakan, dalam budaya korporat Amerika, bahasa lelaki lebih sesuai untuk korporat.
Apabila kita menggunakan bahasa rendah dalam pekerjaan maka kesannya tidak positif. Bahasa mesra dan hormat tidaklah sama. Penyelidikan rapi bagi menentukan ciri-ciri mesra dan rasmi perlu dilakukan. Menggunakan bahasa yang betul dalam pekerjaan terpulang kepada pejabat, firma dan majikan. Pekerja perlu dilatih. Bagaimana kita menggunakan bahasa tatkala mengggunakan telefon, menjadi pengacara majlis, berkooperasi bekerjasama, bermesyuarat dll. Kempen seperti yang dilakukan sekarang akan memebri kesedran. Itu fungsi kempen. Kemahiran akan hanya terbina apabila diberi latihan. Oleh sebab itu latihan mesti dijalankan.
3.3.5 Bahasa, wibawa dan karisma
Apabila kita mendengar seseorang bercakap, kita akan membuat kesimpulan terhadap orang yang bercakap dan apa yang dikatakannya. Dengan sendirinya kita akan merasakan orang itu boleh dipercayai atau tidak boleh dipercayai.
4. Implikasi dalam pengajaran
Ada di sentuh di atas tadi bahawa kempen budi bahasa yang dijalankan sekarang adalah berguna. Namun, kempen ada kekurangannya. Kempen adalah sekadar menimbulkan kesedaran. Kempen tidak akan menimbulkan kemahiran. Setelah berkempen, walau bagaimana berhasil sekalipun, kempen akan kekal sebagai kempen. Yang akan menjadi kemahiran ialah latihan. Kita berlatih bagi mendapat kemahiran. Oleh sebab itu, tatabahasa sosial dalam bahasa kita perlu dilatihkan. Boleh dilatihkan di sekolah, di smaktab dan universiti dan di tempat kerja. Rancangan latihan ini boleh mengambil kira judul-judul berikut.
1. Asas Kesantunan Bahasa
2. Suasana Penggunaan Kesantunan Bahasa
a. Suasana dan urusan rasmi
b. Suasana dan urusan tak rasmi
3. Sistem Sapaan
a. Bentuk Panggilan: ganti nama, gelaran dan Jawatan
b. Ganti Nama Diri: orang pertama, kedua dan ketiga
c. Gelaran: warisan, profesion dan anugerah
d. Nama Jawatan: tradisional, kerajaan, swasta dan pertubuhan
4. Kosa Kata dan Ungkapan
a. Pemilihan Kata: matlamat, pemeran, latar dll.
b. Pemilihan rangkai kata
5. Gaya Ungkapan
a. Pembuka Wacana
b. Neka Suasana
c. Pilihan Bahasa: beradat, lengkap, hadith, dll.
Jadual ini dapat diperbaiki bagi keperluan mana-mana institusi dan kelompok pengguna.
5. Kesimpulan
Beberapa kesimpulan dapat dibuat daripada analisis terhadap peristiwa di atas.
Pertama, ternyata meluasnya masalah penutur bahasa Melayu tidak menguasai tatabahasa sosial. Dengan adanya kempen budi bahasa sekarang, isu ini sudah mendapat perhatian. Cuma penanganannya bagaimana?
Kedua, usaha memasukkan unsur budaya dalam pengajaran bahasa Melayu dapat memperbaiki keadaan. Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu yang akan mula digunakan pada tahun 2003 adalah sukatan pelajaran yang memberi perhatian lebih kepada komunikasi berbanding dengan unsur tatabahasa. Sukatan ini sudah dilaksanakan mulai tahun 2003. Tetapi dapat dilihat bahawa isinya mengandungi aspek komunikasi, dan sekali gus unsur budaya Melayu. Inilah peraturan tatabahasa sosial yang dimaksudkan. Buat pertama kali, sukatan pelajaran bahasa Melayu tidak seperti senarai kandungan Tatabahasa Dewan. Ini adalah satu kemajuan besar, kerana pegawai kurikulum telah mengetahui bahawa belajar tatabahasa tidak semestinya belajar berbahasa.
Ketiga, kita perlu memberi kesedaran kepada penutur bahasa Melayu dan para pengajar bahasa Melayu, bahawa bahasa Melayu kampungan tidaklah wajar digunakan dalam konteks rasmi, perniagaan dan korporat. Ini satu suasana baru yang berkembang.
Akhirnya, keempat, kita perlu menjalankan banyak lagi penyelidikan terhadap penggunaan dan bentuk panggilan hormat dalam bahasa Melayu. Dalam hal ini kita tidak boleh bergantung kepada penggunaan bahasa harian, atau korpus daripada penggunaan bahasa sekarang. Penggunaan bahasa Melayu sekarang banyak mengandungi kecacatan dalam hal ini. Kita perlu berpandukan kepada dua sumber. Pertama, ialah teks atau manuskkrip lama seperti Sejarah Melayu. Dalam Sejarah Melayu dapat dilihat bahawa raja-raja Melayu memanggil pembesarnya “Tuan.” Wanita kenamaan juga dipanggil “Tuan”, seperti “Tuan Puteri.” dll. Kanak-kanak dipanggil dengan gelaran yang penuh hormat. Kedua, kita berpandukan kepada ahli budayawan yang mengetahui dan mengamalkan tatabahasa sosial ini.
Bibliografi
Adler, Ronald B. & Elmhorst, Jeane Marquardt (1996) Communicating at Work, New York: The MacGraw-Hill Companies In.
Amat Jauhari Moain. (1989). Sistem Panggilan dalam Bahasa Melayu, Satu Analisis Sosiolinguitik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Asma Abdullah (1992) Uderstanding the Malaysian Workforce – Guidelines for Managers, Kuala Lumpur: Malaysian Institute of Management.
Asmah Hj. Omar. (1997). Penggunaan Bahasa Dalam Surat Rasmi Bahasa Dalam Komunikasi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Amah Hj. Omar. (2004). Bahasa Diraja (edisi baharu). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Austin, W.M. (1965)“Some Social Aspects of paralanguage,” dalam Canadian Journal of Linguistics.
Brown, R. and A. Gilman, A. (1960). “The Pronouns of Power and Solidarity,” dalam T.A. Sebeok (ed.) Style in Language. Cambridge Mass: Massachusetts Institute of Technology Press.
Cozby, Paul C. (1973). “Self-Disclosure: A Literature Review,” dalam Psychological Bulletin.
Ekman, P. editor (1973), Cross-Cultural Studies of Facial expression, New York: Academic Press.
Elgin, Susan H. (1989), Success with the Gentle Art of Verbal self Defence, New Jersey: Prentice Hall.
Ekman, Paul. and Wallace V. Friesen, Wallace V. (1975). Unmasking The Face, Englewood Cliffs, N.J.: Prentice-Hall.
Barbara Eakins and Gene Eakins, “Verbal Turn-Taking and Exchanges in Faculty Dialogue,” kertas kerja Conference on The Sociology of The Languages of American Women, 1976.
Fust, Julius. (1970) Body Language, New York: Pocket Books.
Fairhurst, Gail T. & Sarr, Robert A. (1996) The Art of Framing: Managing Language of Leadership, San Francisco: Jossey Bass Inc.
Flacks, N. & Rasberry, Robert W. (1982), Power Talk, New York: The Free Press.
Goleman, Daniel, (1996) Emotional Intelligence, London: Bloomsbury.
Himstreet, William C. & Baty Wayne M. (1990), Business Communication, Boston: PWS-KENT Publishing Company.
Hisham Altalib (1992), Panduan Latihan bagi Petugas Islam (terjemahan), Kuala Lumpur: Nurin Enterprise.
Nancy M. Henley, (1977). Body Politics: Power, Sex and Nonverbal Communication, New York: Simon & Schuster, Inc.
Jourard, Sidney (1964). The Transparent Self, Princeton, N.J.: Van Nostrand.
Johnson, Keery L. (1993) Selling with NLP, London: Nicholas Brealey Publishing.
Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. (2004). Budi Bahasa Budaya Kita. Kuala Lumpur: Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.
Kouzes, James M. & Posner, Barry Z. (1993) Credibilty, San Francisco: Jossey-Bass Inc., Publishers.
Lakoff, Robin. (1975). Language and Woman's Place, New York: Harper and Row.
Lewicki, Roy J., Hiam, Alexander & Olander, Karen W., (1996) Think Before You Speak, The Complete Guide to Strategic Negotiation, New York: John Wiley & Sons, Inc.
Mokhtar Haji Mohd. Tohar & Ahmad Fawzi M. Basri. (2003). Protokol di Malaysia, Tradisi dan Amalan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Slobin, Dan I., Miller, Stephen H. and Porter, Layman W. (1968). “Forms of Address and Social Relations in a Business Organization,” dalam Journal of Personality and Social Psychology.
Tannen, Deborah, (1990) You Just Dont Understand: Wome and men in Conversation, New York: Morrow.
Tannen, Deborah, (1994) Talking From 9 to 5, New York: Morrow.
Biodata
Abdullah Hassan, DJN. JSM. B.A., M.A. (Malaya), Ph.D. (Edinburgh)
Dr. Abdullah Hassan dilahirkan di Teluk Intan, Perak, pada 20 Mac 1942. Beliau mendapat pendidikan rendah di Sekolah Melayu Semanggol dan Teluk Intan, dan menengah di STAR Ipoh. Beliau menerima ijazah B.A. (1967) dan M.A. (1969), dalam bidang Linguistik Pengajian Melayu daripada Universiti Malaya, dan ijazah Ph.D. (1972) dalam bidang Linguistik daripada University of Edinburgh, Scotland.
Dr. Abdullah memulakan kerjaya akademiknya sebagai tutor di Universiti Malaya, Kuala Lumpur (Mei 1967 – September 1969). Selepas menerima ijazah kedoktoran, beliau menyambung kerjayanya di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang (Mei 1972, dan bersara pada Mac 1997). Beliau dilantik menjadi Profesor Bahasa Melayu pada tahun 1980. Kemudian beliau menyandang jawatan Profesor Komunikasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Kuala Lumpur (Julai 1997 - Jun 2001). Kini beliau menyandang jawatan Profesor Bahasa Melayu di Fakulti Bahasa, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak (Julai 2001 hingga sekarang).
Bidang pengajaran dan penyelidikan beliau ialah: Bahasa Melayu, Penilaian dan Pengujian Bahasa, Tatabahasa Melayu, Komunikasi Interpersonal, Teknik Berfikir, Perancangan Bahasa, Perkamusan, dan Terjemahan.
Beliau menerima beberapa penghormatan antarabangsa: (1) British Commonwealth Scholarship daripada United Kingdom bagi pengajian kedoktoran falsafah di University of Edinburgh, 1969-1972; (2) Fullbright-Hays Fellowship daripada Malaysian American Commission for Educational Exchange (MACEE) bagi menjadi profesor kunjungan di Jabatan South Asia Studies, University of California, Berkeley, 1979; (3) Consultant lecturer in English-Malay Translation Course di Regional Language Centre, Singapura, 1980; (4) Distinguished Visiting Professor, di International Studies Center, Ohio Unversity, Athens, USA, iaitu sebagai pemegang keempat Kerusi Tun Razak, 1997-1999; (5) Pengajar Bahasa Melayu di Jabatan Kajian Asia Timur di Johann Woffgang Universiteit, Frankfurt, Jerman, Oktober 2004, dan terakhir menyampaikan syarahan di Institute for East Asian Studies, Leiden University, The Netherlands (April 2007).
Beliau diberi (1) Anugerah Ilmuwan Bahasa (2003) oleh Dewan Bahasa dan Pustaka; (2) Tokoh Ilmuan oleh Pentas dan Kerajaan Perak pada tahun (2004); (3) Tokoh Pejuang Bahasa daripada Persatuan Linguistik Malaysia (2004), dan akhir sekali Profesor Emeritus daripada Universiti Sains Malaysia (Ogos 2006).
Beliau menulis 27 buah buku mengenai bahasa, tatabahasa dan linguistik, dan menterjemah 11 buah buku. Di samping itu, bersama isteri beliau Ainon Mohd. mereka telah menghasilkan 10 buku (berfikir), 8 (komunikasi), dan 10 (kamus).
Prof. Abdullah Hassan lantang memperjuangkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan dan pentadbiran, DEMI memandaikan bangsa melalui bahasa peribumi.
Dr. Abdullah adalah ahli seumur hidup Persatuan Penterjemah Malaysia, Persatuan Linguistik Malaysia, Persatuan Wartawan Melayu Malaysia, dan Sahabat Alam Malaysia. Pada masa ini beliau adalah Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia.
Beliau dan isterinya, Ainon Mohd., tinggal di Janda Baik, Pahang. Di samping berkarya, mereka menyumbang khidmat untuk projek amal di kampung tempat mereka tinggal, iaitu: (1) pendidikan anak-anak kampung, (2) membangun masyarakat orang asli; (3) melatih pendakwah dan sukarelawan muda; dan (4) membantu menjalankan Pondok Tahfiz Janda Baik.
Sunday, August 12, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment