SEMINAR ANTARABANGSA BAHASA MELAYU ALAF BARU
Pusat Bahasa,
Universiti Teknologi Mara, Shah Alam
25-27 September 2000
UNSUR BUDAYA DALAM BAHASA MELAYU UNTUK KOMUNIKASI BERKESAN
Prof. Abdullah Hassan,
Jabatan Komunikasi,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
ISU BUDAYA DALAM KOMUNIKASI
Ada beberapa perkara yang penting apabila membincangkan fungsi unsur budaya dalam komunikasi berkesan. Ada beberapa aspek bahasa yang banyak mengandungi unsur budaya, iaitu: kata panggilan, memberi dan menerima salam, gerak-geri badan dan tangan, tembung mata, kuat suara, gerak mata, kosa kata, umur, konteks rasmi dan tak rasmi, fungsi majlis, menghormati taraf sosial penutur dan pendengar, memberi dan membalas pujian, cercaan, menggunakan unsur humor dll. Perkara-perkara ini juga dipanggil paralinguistik. Perkara ini tidak diajarkan di sekolah. Lazimnya sekolah mengajar rumusan nahu sahaja. Unsur-unsur budaya tidak dipedulikan langsung.
Di sekolah kita belajar menulis, mengeja, dan menyebut huruf-huruf. Kita belajar membina rangkai kata dan ayat. Kita belajar membina perenggan dan karangan. Kita juga belajar menggunakan tanda-tanda baca. Seterusnya kita belajar menggunakan perkataan dengan tepat.
Selepas belajar semua unsur dan sistem nahu ini, maka kita dianggap sudah mahir berbahasa Melayu. Mahir bercakap, menulis dan membaca dalam bahasa Melayu. Setelah itu, kita dianggap sudah cukup mahir pula untuk berkomunikasi dalam bahasa Melayu.
Secara keseluruhannya, kita dapat melihat beberapa kesan positif dan negatif. Rata-rata, penutur bukan Melayu dapat menguasai bahasa Melayu surat dengan baik. Namun demikian, unsur budaya Melayunya jelas kurang apabila mereka menggunakan ‘aku dan kamu atau awak’ dengan orang-orang yang tidak patut ‘dikamukan.’
Apabila kita mendengar orang Melayu pula menggunakan bahasa Melayu, maka kita mula merasa, mendengar dan melihat ada sesuatu yang tidak kena. Ada kalanya apabila kita mendengar orang bahasa Melayu sendiri tidak menguasai menghormati unsur budaya Melayu. Ini menyebabkan kita merasa lucu, tersinggung, tidak dihormati, dan dihina. Lebih buruk lagi, ada kalanya orang merasa marah, dan menganggap orang yang bercakap itu kurang ajar.
Semua peristiwa ini adalah serius. Ada sesuatu yang dilanggar dalam menggunakan bahasa Melayu sehingga kesan negatif timbul. Oleh itu komunikasi tidak berlaku, dengan berkesan.
KESILAPAN UNSUR BUDAYA DALAM KOMUNIKASI
Kertas ini akan mencuba mencari unsur-unsur budaya yang sering menimbulkan kepincangan dalam komunikasi. Kita telah terlupa mengajarkan kesantunan bahasa. Oleh sebab kajian ini masih pada peringkat awal, maka perbincangan akan hanya didasarkan kepada pengamatan umum sahaja. Beberapa peristiwa yang menunjukkan kesilapan budaya ini akan disenaraikan satu persatu. Pada peringkat akhir, akan cuba dirumuskan peraturan budaya yang perlu diberi perjhatian dalam pengajaran bahasa Melayu.
1. Menggunakan panggilan rendah kepada orang perlu dihormati
Ada kalanya penutur bahasa Melayu menggunakan gantinama rendah kepada orang yang dihormati.
Pengamatan pertama: Pada suatu hari, seorang pensyarah universiti menguruskan pendaftaran untuk menginap di sebuah kelab golf di Port Dickson (Julai 1997). Beliau dilayani oleh seorang penyambut tetamu perempuan kaum India. Penyambut tetamu itu masih muda, baru lepas sekolah. Setelah berdaftar, pensyarah bertanya:
Pensyarah “Encik, minta kunci bilik saya?”
Penyambut tetamu “Bilik kamu nombor 311, ini kunci kamu.”
Pensyarah “Terima kasih Encik. Saya baru kali pertama di sini. Saya tidak tahu di mana bilik ini. Tolong tunjukkan jalannya.”
Penyambut tetamu “Kamu pergi ke kiri. Kemudian kamu …”
Belum habis penyambut tetamu bercakap pensyarah itu mencelah. Dia merasa sangat tersinggung. Pensyarah itu berkata, “Jangan panggil saya “kamu” Saya bukan “kamu.” Kamu boleh panggil kawan kamu, “kamu.”
“Kamu” adalah panggilan yang biadab apabila digunakan kepada tetamu yang lebih mulia daripada kamu.”
Penyambut tetamu, “Maaf, saya tidak tahu …”
Pensyarah “Kamu yang mendaftarkan saya, masakan kamu tidak tahu siapa kami, yang kamu ‘kamu-kamukan’ saja.” Sambil beredar dari situ, dan dari gayanya, sekiranya dia tidak terdesak oleh kesuntukan masa, dia akan pergi menginap di tempat lain, di tempat dia akan dihormati.
Analisis: Gadis India yang baru keluar sekolah itu tidak mengerti perbezaan umur, taraf atau kedudukan sosial orang yang dilawan bercakap. Ada tiga peraturan budaya Melayu yang dilanggar.
a. Sebagai penyambut tetamu, gadis India itu mesti menghormati pelanggan. Dalam hubungan peniaga dan pelanggan, tangan pelanggan di atas, iaitu tangan yang memberi. Oleh itu taraf pelanggan lebih mulia, wajar dipanggil Encik dan Tuan.
b. Sebagai gadis lepasan sekolah dia masih muda. Oleh sebab itu penyambut tetamu perlu menghormati orang lebih tua. Orang lebih muda wajar memanggil orang lebih tuan dalam keadaan hormat dengan panggilan Encik atau Tuan.
c. Penyambut tetamu itu tahu taraf pelanggan. Dia telah melihat kad pendaftaran yang menyatakan pekerjaan atau profesion pelanggan. Seorang ‘pensyarah’ tidak wajar di’kamu’kan oleh seorang penyambut tetamu. Pensyarah bertaraf lebih tinggi dan wajar dipanggil dengan gelaran ijazahnya, Dr. atau Encik, atau Tuan.
2. Menggunakan panggilan mesra pada orang yang patut dihormati
Pengamatan pertama: Ada sekumpulan pelanggan di sebuah restoran di Kuala Lumpur, dua orang lelaki dan seorang wanita (Disember 1991). Semuanya berpakaian kemas. Jelas mereka itu ahli profesional. Pelayan datang meminta pesanan.
Pelayan “Encik nak makan apa?”
Lelaki Pertama “Nasi beriayani dengan ayam.”
Pelayan “Minum?”
Lelaki pertama “Air suam.”
Pelayan beredar kepada lelaki kedua dan mendapat pesanan yang sama. Dia terus pergi kepada wanita pula.
Pelayan “Mak Cik nak makan apa?”
Perempuan “Siapa Mak Cik?”
Pelayan, “Oh! Kakak!”
Wanita “Saya bukan kakak kamu ... Saya bukan Mak Cik kamu, saya bukan Nenek kamu. Saya pelanggan. Hormatlah pada pelanggan kamu....”
Pelayan “Bila saya tak hormat! aya sudah panggil Mak Cik! Nak panggil apa! Kita pun ada budi bahasa ....”
Pelanggan meninggalkan restoran.
Analisis: Pelayan restoran itu telah menggunakan bentuk panggilan keluarga di dalam konteks rasmi sebuah transaksi perniagaan. Bentuk panggilan keluarga menunjukkan hubungan keluarga. Ia tidak sama dengan konteks hormat yang perlu difahami dalam hubungan perniagaan. Di restoran, pelanggan adalah orang dihormati, bukan orang yang perlu dikeluargai. Peraturan budaya Melayu yang dilanggar ialah:
a. Pelayan itu tidak mengetahui bentuk panggilan hormat. Dia menyangkan panggilan “kakak dan mak cik” itu hormat. Oleh sebab itu dia melawan dan mengatakan dia juga “berbudi bahasa”. Dia berniat hendak hormat, tetapi dia menggunakan bentuk panggilan yang salah. Bentuk panggilan hormat ialah “encik, cik dan tuan.”
Pelayan ini memang biadab atau “kurang diajar.” Itu sebabnya dia “melawan” pelanggan. Orang berbudi bahasa akan meminta maaf. Pelayan tidak ada pilihan. Pelanggan mesti dihormati dengan panggilan “Encik, Tuan, Cik, Cik Puan atau Puan.”
b. Pelayan juga menganggap panggilan keluarga itu panggilan hormat. Persoalannya, konteks jual beli itu konteks rasmi. Apabila panggilan keluarga itu digunakan dalam kepada orang bukan keluarga dalam konteks formal, maka panggilan itu menjadi biadab. Orang tidak mahu dikeluargai oleh orang yang tidak dikenali. Pelanggan mesti belajar menghormati pelanggan dengan panggilan hormat.
c. Restoran adalah konteks formal. Bentuk hormat perlu digunakan dalam transaksi perniagaan. Bahasa formal yang hormat ini ialah bahasa korporat. Bahasa keluarga dari alam kampungan sama sekali tidak wajar digunakan dalam konteks perniagaan, sama ada kecil atau besar.
Nota: Seorang bekas tentera yang berniaga makanan di sebuah medan selera di Lumut (Jun 1994) mengamalkan sistem panggilan formal seperti dalam perkhidmatan tentera. Mereka memanggil pelanggan “Tuan, Puan, Encik, Cik, dan Cik Puan.” Akibatnya, tidak pernah ada orang yang merasa dibiadabi. Itulah amalan hormat. Amalan begini sesuai dengan alam perniagaan, di mana antara yang terlibat ialah hubungan perniagaan, bukan hubungan kekeluargaan.
Pengamatan kedua: Dalam cuti sekolah pada 27 Mei 1995, kami sampai di Kuala Perlis untuk menaiki feri ke Kuah. Kami sedang mencari tempat letak kereta.
Anak lelaki penjaga tiket di pangkalan feri memberi maklumat, “Abang boleh hantak sana. .....”
Salah seorang daripada kami berkata, “Encik bercakap dengan siapa?”
Jawabnya “Dengan Abanglah.”
Lalu rakan kami berkata “Saya bukan “Abang” encik, panggilah encik saja.”
Belum habis beliau bercakap, lelaki muda itu menunjukkan marahnya, atau biadabnya, “Orang kereta lagi besak tak pernah kata apa pun...”
Kami beredar sebab tidak mahu menggalakkan telatah biadabnya.
Memang wujud salah faham memikirkan bentuk panggilan keluarga itu dianggap hormat. Kesilapan ini terletak pada ahli bahasa dan sistem kurikulum sekolah yang tidak memberi perhatian kepada unsur budaya dalam komunikasi.
Pengamatan ketiga: Seorang jurujual Cina di Mun Loong Jalan Tanku Abdul Rahman (Mei 1993) mempelawa pelanggan ke kedai dengan berkata “Sila “kakak” dan “mak cik”...” Pada hal Cina itu jauh lebih tua daripada pelanggan wanita yang datang.
Pengamatan keempat: Seorang India tua yang menjual cendol di hadapan Pos Malaysia di bandar Melawati (Ogos 1994) memanggil kanak-kanak sekolah menengah “abang.”
Pengamatan kelima: Pemandu pelancong membawa pelancong Malaysia ke Danau Toba (Disember 1996) memanggil para pelancong “pak cik” dan “mak cik”.
Pengamatan keenam: Pemandu pelancong yang membawa pelancong Malaysia ke Tankuban Prahu di Bandung (Ogos 1996) asyik memanggil pelancong Malaysia yang terdiri daripada empat orang Datin dan enam profesor dan duabelas pegawai tinggi sebagai “pak cik” dan “mak cik”. Malah Sang Datin Profesor mengatakan “Jangan panggil saya “Mak cik, geli geleman aku” sambil menggiggil.
Tentulah ada orang Malaysia yang mengajar mereka menggunakan bentuk “pak cik” dan “mak cik” itu sebagai hormat. Ternyata kita sendiri tidak memahami budaya panggilan hormat sendiri. Pada hal bentuk panggilan “bapak” dan “ibu” yang digunakan oleh orang Indonesia itu jelas menunjukkan sistem budaya yang menghormati orang. Sistem itu jelas membezakan antara budaya “hormat” dan “mesra keluarga.”
3. Menggunakan panggilan intim kepada bukan suami atau kekasih
Di Kuala Lumpur, terdapat ramai gadis bujang yang tinggal sesama mereka yang bujang. Mereka memasak sendiri, dan membeli bekalan mereka dari pasar malam.
Pengamatan pertama: Sebuah peristiwa penggunaan panggilan intim kepada bukan orang yang intim telah diperhatikan berlaku di sebuah pasar malam (Julai 1994).
Gadis “Berapa sekilo bang?” sambil memilih ikan keli.
Peraih Indon “Tak mahal dik, saya boleh kira murah saja.”
Gadis “Kasi tahulah berapa, senang saya nak beli.”
Peraih Indon “Hai Cik adik cepat marah ... janganlah marah dik ...”
Gadis sambil tersenyum-senyum tak tentu fasal “Jangan gatallah ...”
Peraih Indon “Tak apa, kan adik ada. Tentu boleh garu ...”
Analisis: Peraih Indon memang menggatal. Tetapi bukan dia yang menggatal dulu. Perasaan itu berpunca daripada bentuk panggilan gadis itu. Gadis itu yang memulakannya. Dengan itu gadis tersebut telah melanggar peraturan budaya bahasa, dengan menggunakan bentuk “intim” kepada orang bukan “intim.”
Gadis kampung itu menganggap semua orang seperti keluarganya di kampung. Di kampung dia memanggil ahli keluarganya atau orang yang dikenalinya sebagai “abang”. Lalu dia memanggil orang lelaki lain “abang,” juga. Di kampung, panggilan “abang” hanya kepada ahli keluarga. yang bukan keluarga yang dipanggil “abang” ialah suami atau kekasih. Itulah yang difahami oleh peraih ikan Indon itu. Dia bukan sekampung atau sekeluarga dengan gadis itu. Oleh itu panggilan “abang” hanya bermakna intim. Mereka juga bukan suami isteri. Panggilan “abang” hanya bermakna “kekasih.” Itulah sebabnya peraih Indon itu merasa dia dimesrai seperi seorang “kekasih”, bukan dihormati. Dengan itu dia mendapat lesen menggatal.
Nota: Panggilan yang sesuai bagi gadis memanggil peraih ikan ialah “Encik.” Hormatilah peraih Indon itu. Janganlah dia dimesrai dan dikasihi. Peraih Indon itu juga mesti memanggil gadis itu “Cik, Cik Puan” atau “Encik.”
Pengamatan kedua: Wanita pelayan di sebuah Gerai di Kampung Baru (Julai 2000) sedang mengambil pesanan dari empat pemuda yang duduk semeja.
Pelayan wanita bertanya “Abang dah order.”
Pelanggan “Belum. Kami nak order sekarang.”
Wanita pelayan “Okay, abang nak makan apa?...”
Semua pemuda tersebut memandang-mandang antara satu sama lain sambil senyum-senyum apabila dimesrai sebagai “kekasih.”
Suami pelayan yang sedang memasak menjeling-jeling curiga.
Sebarang kecurigaan seperti itu tidak akan berlaku sekiranya pelayan memanggil semua orang “Encik atau Tuan.”
4. Budaya hormat hanya untuk orang bukan Melayu
Pengamatan pertama: Seorang pemandu teksi menyampbut sepasang pelancong asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz, Subang (Ogos 1998).
Dalam bahasa Inggerisnya yang pecah-pecah dia berkata... “Come follow me, Sir, Mem follow me ... Where you go, Sir?
Pelancong “Hotel Hilton International. Can you take us there?”
Pemandu “Yes Sir ... Yes Mem. Very good Sir!”
Pelancong “Thank you ...”
Pemandu teksi ini sangat hormat kepada pelancong asing dan isterinya. Dia tidak pula memanggilnya “Abang” atau “Elder brother,” “Pak Cik” atau “Little Uncle,” “Pak Long” atau “Eldest Uncle.” Pandai dia memanggil “Sir” yang bermaksud “Tuan” dan “Mem” yang bermaksud “Puan.” Tetapi anehnya, orang yang sama akan memanggil orang Melayu “abang, pak cik, kakak, mak cik, dll.”
Analisis: Orang Melayu memang memahami adanya budaya hormat. Pandai dia menggunakan bentuk hormat dalam bahasa Inggeris.
a. Anehnya, orang Melayu tidak mahu menggunakan bentu hormat itu pada orang Melayu sendiri. Mereka asyik hendak bermesra dengan menggunakan panggilan keluarga.
b. Amalan ini sekali gus merendahkan taraf pelanggan Melayu.
Pengamatan kedua: Peristiwa ini berlaku dalam penerbangan MH 703 - Manila ke Kuala Lumpur, pada 10 April 1996. Kami merakamkan satu peristiwa komunikasi pramugara dengan penumpangnya.
Pramugara “Pak Cik nak makan ayam atau daging?”
Penumpang Melayu “Ayam.”
Kemudian dia bertanya pula kepada seorang Mat Salih di baris belakang “Pak Cik” tadi “What is your choice Sir? Chicken or beef, Sir?”
Analisis: Pramugara ini faham budaya hormat dalam komunikasi. Tetapi amalan itu terhad kepada bahasa Inggeris saja.
c. Panggilan Sir itu betul. Bacaannya betul. Dia tidak boleh memanggil penumpang itu Little Uncle atau Pak Cik atau Bapa Kecil. Dia faham bahawa dia mesti menghormati penumpang, bukan memanggilnya seperti ahli keluarga. Oleh sebab itu dia memanggil penumpang Sir dan tidak menggunakan bentuk panggilan keluarga Elder Brother (Abang), Little Uncle (Pak Cik). Bentuk panggilan Sir itu ialah bentuk panggilan hormat dalam bahasa Inggeris. Pramugara itu mahir dalam menggunakan bentuk panggilan hormat dalam bahasa Inggeris.
d. Bentuk panggilan Pak Cik itu salah. Itu bentuk panggilan keluarga. Apabila digunakan kepada bukan ahli keluarga, perbuatan itu menjadi biadab. Penumpang yang dipanggil Pak Cik itu sebenarnya ialah Prof. Ali Hasjmi, bekas Gabenor Acheh. Beliau adalah seorang ulama besar. Beliau lebih daripada layak dipanggil Tuan atau Bapak. Pramugara itu mungkin menganggap untuk hormat dia mesti menggunakan bentuk panggilan pak cik dan mak cik kepada orang Melayu. Bentuk panggilan hormat itu tidak sama dengan bentuk panggilan mesra keluarga. Penumpang orang putih itu yang dipanggil sir tadi ialah seorang pengangkut sampah dari Chicago. Walaupun dia seorang pengangkut sampah, dia memang wajar dihormati. Dia membayar. Oleh sebab itu dia mesti dilayan dengan hormat.
Yang menjadi persoalan ialah, kenapa budaya hormat hanya untuk orang putih, dan tidak kepada orang Melayu. Mungkin pramugara salah faham tentang apa bentuk panggilan hormat dalam bahasa Melayu. Namun demikian, kita tidak boleh menolak kemungkinan orang Melayu yang baru masuk ke alam korporat ini merasa agak sombong dan merasa sukar untuk menghormati orang Melayu lain. Mulut mereka berat untuk menyebut “Encik dan Tuan” kepada orang yang sama warna kulit dengannya.
Malah ada suatu notis di Pejabat Daerah Bentung yang berbunyi “Hormat itu bukan Ampu”. Ini menunjukkan betul wujud budaya enggan menghormati orang dengan panggilan Tuan dan Puan, malah sering dianggap perbutan itu sebagai perbuatan mengampu.
5. Menggunakan bahasa pasar dalam konteks formal atau majlis
Seorang artis wanita mencuba menarik minat penonton supaya menikmati rancangannya. Walau bagaimanapun, artis yang juga menjadi pengacara majlis ti televisyen itu tidak mengiktiraf taraf formal sesuatu majlis yang ditayangkan di kaca televisyen itu. Mungkin dia juga menggunakan bahasa yang serupa dalam majlis lain.
Pengamatan pertama: Pengacara rancangan kelab remaja di televisyen "Masa cuti lalu ai ... berserta kru televisyen ... wiol buat shooting di ... Harap yuol akan menonton apa yang wiol sediakan untuk yuol ..."
Dalam definisi bahasa pasar, bahasa begini yang bercampur-campur kosa kata dan pola ayatnya, adalah bahasa pasar. Bahasa pasar juga menggunakan kata ganti nama asing, iaitu ai (I), yu (you), wiol (we all), yuol (you all) dan deiol (they all). Ai, yu, wiol, yuol dan deiol adalah gantinama yang setaraf saja dengan gua, lu, gua semua dan lu semua, dia orang, semua orang, lu orang, kita orang, dll. Tidak lebih daripada itu.
Analisis: Bahasa pasar adalah bahasa orang tidak terpelajar. Atau, digunakan oleh orang terpelajar dengan orang tidak terpelajar. Ini bukan bahasa rapi dan bahasa rasmi. Ia bahasa rendah. Layak digunakan di dalam konteks perhubungan tidak rasmi seperti bercakap dengan rakan-rakan di luar majlis rasmi, di pasar, di dapur, di perhentian bas, dll. Dalam rancangan formal ke seluruh negara seperti rancangan di televisyen, bahasa pasar tidak wajar digunakan.
a. Dalam mengacarakan dan mengiklankan rancangan melalui televisyen, bahasanya perlu rapi dan rasmi. Bahasa terpelajar datang daripada orang terpelajar. Orang terpelajar mesti mahir menggunakan bahasa rapi dan rasmi. Budaya Melayu memerlukan bahasa yang rapi dalam konteks formal. Ganti nama daripada bahasa pasar ini tidak ada tempat dalam bahasa rapi dalam majlis rasmi.
b. Menggunakan bahasa pasar kepada orang dalam konteks rasmi, adalah suatu kebiadaban. Bahasa pasar datang dari budaya rendah. Budaya tinggi menuntut bahasa yang rapi.
Pengamatan kedua: Seorang artis wanita mengiklankan segmen muziknya untuk penonton "Ai sudah rakamkan empat buah album untuk yuol. Yuol mesti dengar lagu-lagu ai. Ai akan pilih lagu-lau yang menarik specially untuk yu ... Penerbit ai dan member kru talivisyen ... deiol telah menyediakan rancangan sepcial untuk yuol. Wiol telah bekerja keras untuk yuol."
c. Penonton tidak boleh memberi maklum balas. Oleh sebab itu kita tidak tahu apa kesan ganti nama dan bahasa yang bercampur-aduk ini. Kalaupun para penonton merasa tidak senang, mereka tidak ada kerangka untuk menyuarakan pendapat tentang apa yang berlaku.
d. Tentukan bentuk panggilan yang sesuai. Kita perlu melihat taraf orang yang kita lawan bercakap. Penonton adalah orang yang dilawan bercakap oleh pengacara televisyen. Mereka yang menerima khidmat kita. Pengacara mahu menarik minat penonton. Oleh sebab itu penonton bertaraf tinggi daripada pengacara. Oleh sebab itu, pengacara hendaklah memuliakan penonton. Dengan mengeyu-yukan penonton, pengacara telah tidak berlaku hormat kepada penonton. Pengacara biadab kepada orang-orang mulia, orang-orang lebih tinggi daripadanya. Pengacara telah menurunkan smeua orang ke taraf “mat dan minah rock” saja. Panggillah mereka dengan ganti nama hormat, iaitu: tuan, puan, encik, cik, para penonton, para pendengar, para peminat, asalkan jangan diyu-yukan saja.
e. Konteks formal atau rasmi itu penting diambil kira. Televisyen ialah saluran rasmi. Ini bermaksud konteks televisyen ialah konteks rasmi. Dalam konteks rasmi, bahasa pasar dan bahasa campur-aduk tidak ada tempat. Kita menyampaikan budaya tinggi. Bahasa kita juga hendaklah tinggi, iaitu bahasa rasmi. Bahasa pasar ialah bahasa rendah. Penggunaan bahasa pasar akan hanya menurunkan nilai rancangan yang dipersembahkan. Konteks, saluran, perlu menentukan neka bahasa dan sistem panggilan yang digunakan.
f. Gunakanlah neka bahasa baku. Bahasa yang dikatakan baku itu bukanlah sekadar menyebut e menjadi a. Perkataan-perkataan yang digunakan juga hendaklah baku. Perkataan-perkataan ganti nama ai, yu, wiol, yuol, deiol, gua, lu, gua semua dan lu semua adalah perkataan-perkataan bahasa pasar. Ini tidak baku. Perkataan tidak baku sesuai untuk konteks tidak rasmi saja seperti berjual beli di pasar ddan berhubung dengan orang yang tidak tahu berbahasa Melayu. Dalam konteks rasmi, perkataan pun mesti rasmi, iaitu bahasa baku.
g. Bahasa yang digunakan menentukan lakuan kita. Apabila kita berbahasa pasar, perangai kita juga menjadi perangai pasar. Kita akan biadab dalam berbahasa. Bahasa pasar tidak ada kehalusannya. Maka lakuan penutur bahasa pasar juga akan menjadi kasar dan sumbang. Bahasa mencerminkan budi kita. Lihat apa yang berlaku dalam pemerhatian berikut pula.
Pengamatan ketiga: Pengguna bahasa pasar mudah menyamatarafkan semua orang dengan tarafnya sendiri. Lihat peristiwa ini (Kampung Baru, Ogos 1997)
Pelayan perempuan "Yu nak makan apa? Yu seleklah makan dari meja tu, yu ambiklah apa yu nak. Kemudian yu bawak kat ai, ai kira bagi kat yu."
Pelanggan "Cik puan, panggillah pelanggan cik... encik dan puan. Itu panggilan hormat. Panggilan yu dan ai tidak hormat".
Pelayan "Yu tak suka tak pa ... wiol tak pernah dengar orang komplen pun ....
Pelanggan, yang jelas kelihatan seorang bertaraf tinggi ... "Saya bukan komplen fasal makanan, saya komplen bahasa cik. Bila kita hormati pelanggan kita panggil dia dengan panggilan hormat, iaitu encik atau tuan, cik, puan atau ci puan. Panggilan yu sesuai untuk kawan-kawan saja."
Di sini jelas kelihatan bahawa, apabila pelayan menggunakan ganti nama yu kepada pelanggan, pelanggan merasa tidak dihormati. Malah dia merasakan dia disamakan dengan pelayan remaja yang menyebut dirinya ai. Pada pihak pelayan pula, apabila dia menggunakan kata gantinama yu kepada semua pelanggan, dia merasakan dia sama taraf dengan pelanggan. Oleh itu dia telah berlagak bahawa dia wajar menjawab kata-kata pelanggan.
Pelanggan tetap pelanggan. Tanpa pelanggan perniagaan kita tidak ada. Oleh sebab itu pelanggan adalah bertaraf lebih tinggi daripada pelayan. Kita tidak boleh merendahkan mereka dengan mengeyu-yukan mereka.
Elakkan perbalahan dengan pelanggan. Ini akan dapat kita buat dengan memanggil mereka encik, tuan, puan, cik dan cik puan. Gugurkan sama sekali ganti nama yu dan ai.
h. Apabila kita hendak mula menggunakan bahasa berbudaya tinggi, buang semua gantinama ai, yu, dei, wi, eiol, yuol, deiol, yu orang, dll. Apabila kita memanggil pelanggan “encik, cik, cik puan, tuan, puan” kita tidak akan tergamak berkelakuan kasar dengan pelanggan.
Pengamatan keempat: Seorang lelaki memakai sut lengkap warna hitam turun dari kereta mercedes 380 masuk ke bilik pameran motorkar citroen (Ampang, September 1996).
Beliau memandang kepada penerima tetamu wanita muda yang sedang bercakap di telefon, sambil bertanya “Mana jurujual ...?”
Penyambut tetamu menjawab “Yu wait seminit... ai cakap dengan bos ... “
Bakal pembeli berkata dengan suara rendah, tetapi dapat didengar “Yu kepala hotak engkau ....” sambil keluar masuk balik ke keretanya. Ternyata beliau merasa beliau dilayan dengan biadab, bahasa yang biadab, gerak-geri yang biadab. Dalam komunikasi, badan juga berkomunikasi.
6. Orang Melayu berpendidikan tinggi mengekalkan budaya hormat walaupun apabila bertutur menggunakan bahasa Inggeris
Berikut ialah sebuah senarai soalan yang disediakan oleh seorang wartawan New Straits Times, Puan Fauziah Ismail, semasa menemu duga penulis. Perhatikan beliau tidak menggunakan “you” dalam temu duga tersebut. Ini meneguhkan lagi teori saya bahawa orang berpendidikan akan lebih menghormati orang daripada orang yang tidak berpendidikan.
1. What are the translation needs of Malaysia? What sort of books should be considered for translation? What are the criteria?
2. What is the status of current translation efforts? Has there been any progress at all? If not, why?
3. Does Prof. think the Malaysian Institute of Translation is not moving fast enough towards producing more translated works? What is it not doing right? (These two questions may be sensitive but perhaps Prof. could remain anonymous for this.)
4. It has been suggested that Malaysia draw up a National Translation Policy. Does Prof. think this is necessary and why?
5. Translating a piece of work into Bahasa Malaysia costs a lot of money and requires massive effort. Does Malaysia have enough qualified translator? If not, what should be done to improve the situation? Which local institutions of higher learning offer a complete course in translation.
6. What about the quality of translation? Does it meet Prof.’s standards?
7. Does Prof. agree with the view that the lack of translated works is one of the reasons for poor interest in reading among the Malays?
8. Any other profound thoughts that Prof. may have on the subject.
BUKAN SEKADAR NAHU
Rupa-rupanya dalam menggunakan bahasa, ada dua aspek penting. Pertama ialah peraturan-peraturan seperti sebutan, ejaan, tatabahasa, kosa kata dan tanda baca. Aspek ini dipanggil mekanika bahasa. Kedua ialah perkara seperti pilihan kata ganti nama, bentuk hormat, andaian yang ada di sebalik ungkapan-ungkapan yang diucapkan, dll. Aspek kedua ini turut terlibat apabila kita menggunakan bahasa. Aspek ini dipanggil dinamika bahasa. Ada peraturan-peraturan yang menuntut kita menggunakan kesantunan bahasa.
Orang-orang yang tidak bersekolah mahir menggunakan bahasa tanpa belajar mekanika bahasa. Mereka pandai menggunakan bahasa hormat apabila bercakap denagn pegawai-pegawai tinggi di pejabat-pejabat kerajaan. Orang-orang yang belajar mekanika bahasa sahaja, akan mengalami masalah apabila tidak diajar hal-hal dinamika bahasa yang menyangkut kesantunan berbahasa. Bahasa yang santun memerlukan kita menggunakan bentuk panggilan hormat dengan tepat.
Gunakan bentuk panggilan hormat tuan, encik, puan, cik dan cik puan dalam semua urusan perniagaan. Sekalipun diminta menggunakan pak cik, mak cik, abang, kakak dan adik, kita hendaklah terus menggunakan bentuk panggilan hormat kepada semua pelanggan. Panggilan keluarga akan menimbulkan rasa “geli geleman” kepada orang yang dipanggil dengan panggilan yang salah, seperti orang tua memanggil orang muda abang. Panggian itu serta merta menjadi biadab sekiranya orang tua lelaki memanggil gadis kakak.
Kita sudah meluaskan penggunaan bahasa Melayu ke bidang luar daripada lingkungan keluarga. Kita sudah keluar dari lingkungan kampung di mana setiap orang ada kaitan keluarga. Ini perlu difahami supaya hubungan di antara ahli keluarga tidak disamakan dengan hubungan di luar ahli keluarga. Gunakanlah bentuk panggilan hormat menurut taraf orang yang dilawan bercakap. Bukan menurut rasa orang yang bercakap. Kita menghormati pelanggan dengan menggunakan bentuk panggilan hormat. Gunakanlah bentuk panggilan keluarga dengan ahli keluarga sahaja, sebab bentuk panggilan keluarga digunakan untuk menunjukkan mesra. Dalam hubungan rasmi, tujuannya bukan untuk menunjukkan mesra, tetapi hormat.
Yang menjadi persoalan ialah panggilan pak cik dan mak cik, kenapa bentuk panggilan itu tidak boleh digunakan? Apabila kita menggunakan bentuk panggilan keluarga, kita berjaya menimbulkan rasa mesra. Mesra tidak sama dengan hormat. Perbuatan bermesra yang tidak sesuai dengan orangnya adalah perbuatan biadab. Taraf pelanggan adalah tinggi, dia mesti dihormati.
Gugurkan bentuk panggilan pak cik, mak cik, abang, kakak dan adik dalam khidmat begini. Gunakan panggilan rasmi, tuan, puan, encik, cik, cik puan, dll. Kaji taraf sosial pelanggan. Gunakan bentuk panggilan Tun, Tan Seri, Datuk, dll sekiranya berkenaan.
Bentuk panggilan hormat tidak akan menimbulkan kesilapan. Sekalipun kita memanggil orang rendah dengan panggilan hormat, dia tidak akan marah. Tetapi, apabila kita memanggil orang yang tidak wajar dipanggil pak cik mak cik, abang atau kakak dengan panggilan tersebut, kita sudah berlaku biadab.
PANGGILAN MESRA DAN HORMAT
Ada dua faktor yang menentukan bagaimana kita menggunakan bentuk panggilan dalam bahasa Melayu; pertama hubungan keluarga dan kedua hubungan rasmi. Kita memanggil ahli-ahli keluarga kita dengan menggunakan bentuk panggilan keluarga. Kita memanggil orang-orang yang ada urusan rasmi dengan kita dengan menggunakan bentuk panggilan hormat.
Bentuk panggilan keluarga menimbulkan rasa mesra. Bentuk panggilan hormat menimbulkan rasa hormat.
Kepada orang-orang yang ada hubungan keluarga dengan kita, kita menggunakan bentuk panggilan keluarga seperti, bapa, emak, abang, kakak, adik, pakcik, makcik, dll. apabila bercakap dengan mereka. Kepada orang yang kita ada hubungan rasmi dengan kita, seperti dalam urusan pejabat, perniagaan, jual beli, bank, pentadbiran kerajaan, dll., kita menggunakan bentuk panggilan hormat seperti, tuan, puan, encik, cik, cik puan, saudara dan saudari.
Walau bagaimanapun, konsep keluarga dalam budaya Melayu boleh mengelirukan. Keluarga dalam budaya Melayu boleh merangkumi mereka yang di luar keluarga pusat. Malah seluruh penduduk sebuah kampung dapat dianggap bersaudara. Dalam konteks ini, panggilan keluarga seperti; pak cik, mak cik, abang, kakak dan adik digunakan pula orang bukan ahli keluarga. Bahkan panggilan datuk, nenek, tok wan, tok nek, pak long, mak long, bang long, kak long, dll. pun digunakan juga oleh orang-orang yangbukan ahli keluarga. Ini adalah perkara biasa untuk menyatakan bahawa, apabila sudah kenal biasa, kita diterima menjadi sebahagian daripada sesuatu keluarga. Yang penting, mereka ada talian keluarga, atau sudah kenal biasa sehingga dapat dianggap sebagai sebahagian daripada keluarga. Tetapi ini tidak bermakna semua orang Melayu yang kita temui boleh dipanggil dengan menggunakan panggilan keluarga seperti pak cik, mak cik, abang, kakak dan adik.
Dalam masyarakat Melayu yang lebih besar, iaitu di luar keluarga pusat dan orang-orang yang sudah diterima sebagai ahli keluarga, panggilan dengan bentuk panggilan keluarga tidak diizinkan. Apabila aturan ini dilanggar, maka ia menimbulkan rasa tidak senang di kalangan orang bukan ahli keluarga yang dipanggil dengan bentuk panggilan keluarga. Ia menimbulkan kesan yang orang bercakap itu tidak tahu adat bahasa Melayu. Ringkasnya, ia sudah berlaku biadab atau kurang ajar. Contohnya, apabila seorang lelaki penjaga gerai yang sudah tua memanggil seorang pelanggan wanita muda sebagai mak cik atau kakak, dia sudah tidak menghormati taraf pelanggan. Dia bukan ahli keluarga. Oleh sebab itu, panggilan itu dianggap biadab. Penjaga gerai sepatutnya hormat, bukan bermesra dengan tidak tentu fasal.
Apabila kita menghormati pelanggan, kita menghormati tarafnya. Apakah maksud taraf itu? Setiap pelanggan yang datang ke gerai kita, ke kedai kita, ke syarikat kita, ke pejabat kita adalah orang yang bertaraf lebih tinggi daripada kita. Kita memberi khidmat kepada mereka. Tanpa pelanggan, perniagaan kita tidak akan berjalan. Oleh sebab itu, kita menghormati mereka dengan mengiktiraf taraf mereka.
Bagaimanakah kita menghiktiraf taraf mereka? Cara kita mengiktiraf taraf mereka ialah dengan memanggil mereka dengan menggunakan bentuk panggilan hormat.
Apabila berurusan dengan pelanggan, tidak kira pelanggan yang datang ke gerai di tepi jalan atau syarikat multinasional, bentuk panggilan hormat yang perlu digunakan serupa saja. Yang datang itu pelanggan. Pelanggan mesti dihormati. Caranya ialah memanggil mereka dengan bentuk panggilan hormat.
Apakah bahasa Melayu ada bentuk panggilan demikian? Ada. Pada zaman penjajahan Inggeris dulu, kita menggunakan panggilan ini dengan tepat. Semua pegawai Inggeris atau tempatan dipanggil tuan. Malah dalam budaya angkatan tentera bentuk panggilan ini digunakan dengan tepat. Para pegawai, dan anggota biasa menggunakan bentuk panggilan hormat dengan tepat. Anggota tentera yang membuka perniagaan setelah bersara sentiasa memanggil pelanggannya dengan panggilan tuan, puan, encik, cik puan dan cik. Inilah bentuk panggilan hormat. Inilah panggilan yang sesuai dalam urusan rasmi seperti dalam perniagaan, pentadbiran, rundingan, dll.
Apabila kita menggunakan bentuk panggilan hormat, pelanggan akan merasa dihormati. Sebaliknya, apabila kita menggunakan bentuk panggilan keluarga kepada pelanggan, mereka tidak akan merasa dihormati, malah mereka akan merasa dimesrai. Memesrai orang dengan tidak tentu fasal akan menimbulkan kesan negatif. Ramai orang yang dipanggil kakak dan mak cik atau abang dan pak cik sepatutnya tidak patut dipanggil dengan bentuk panggilan demikian kerana mereka lebih muda daripada yang menegur.
PETUA MENGGUNAKAN BENTUK PANGGILAN HORMAT
Apabila kita memanggil orang, kita menggunakan kata panggilan. Kata panggilan terdiri daripada kata-kata gelaran seperti tuan, puan, encik dll, dan juga kata gantinama seperti “kamu, engkau, awak dll.” Za'ba menggunakan istilah pemadan taraf. Kita memadankan panggilan kita dengan taraf sosial seseorang dalam masyarakat. Orang bertaraf tinggi, kita sapa dengan bentuk panggilan rasmi. Orang yang kita belum kenal biasa hendaklah dipanggil dengan panggilan rasmi. Panggilan rasmi menunjukkan hubungan rasmi, bukan hubungan keluarga atau mesra. Ahli keluarga dan orang yang kita kenal biasa kita panggil dengan penggilan mesra. Ia menunjukkan hubungan mesra.
Pada hari ini, panggilan mesra sering digunakan dalam konteks bukan keluarga atau biasa. Ini adalah perbuatan yang tidak sopan kerana ia tidak hormat. Bermesra-mesra dengan orang yang tidak dikenali, atau dalam konteks rasmi adalah tidak wajar. Kata panggilan rasmi mestilah digunakan dalam konteks rasmi. Ia menunjukkan hubungan rasmi.
Kata panggilan mesra ditentukan oleh dua perkara. Pertama ia ditentukan oleh hubungan kekeluargaan. Kedua ia ditentukan oleh usia kedua-dua orang yang sedang bercakap. Kata panggilan saudara seperti “mak, ayah, abang, kakak, datuk, pakcik, makcik, dll.” adalah panggilan untuk ahli keluarga. Dalam budaya Melayu, keluarga bukanlah sekadar “ibu, bapa, abang, kakak dan adik.” Keluarga dalam masyarakat Melayu adalah lebih besar dari itu. Orang yang ada pertalian darah dipanggil keluarga. Malah penduduk sekampung juga sering diiktiraf sebagai bersaudara. Ini terbawa-bawa ke konteks luar daripada saudara dan kampung sekarang. Sehinggakan orang Melayu memanggil siapa saja pakcik dan makcik, abang, kakak dan adik. Ini perlu dibendung. Ada had kita menggunakan panggilan keluarga ini.
Konteks tak rasmi seperti dalam keluarga atau kenalan biasa dapat dilihat dalam contoh berikut. Katakanlah, Bidin bercakap kepada Mamat, Bidin akan memanggil Mamat berdasarkan perbezaan umur antara keduanya. Kalau Mamat lebih tua, Bidin akan memanggil Mamat dengan kata panggilan Abang. Kalau Mamat jauh lebih tua, Bidin akan menggunakan kata panggilan Pak Cik. Kalau Mamat lebih tua lagi, Bidin akan menggunakan kata panggilan Datuk atau Tuk. Kalau Bidin dan Mamat sebaya, Bidin akan memanggil Mamat awak, atau Engkau. Kalau Mamat jauh lebih muda daripada Bidin, Bidin akan memanggilnya dengan nama peribadi iaitu Mamat. Begitu juga sebaliknya.
Kata panggilan mesra seperti ini boleh digunakan apabila kita bercakap dengan orang yang ada perhubungan mesra dengan kita. Sebagai contoh, Bidin dan Mamat kenal baik antara satu dengan lain. Mereka mungkin orang sekampung, berjiran, satu taraf dalam masyarakat, menjadi anggota kumpulan yang sama dan seumpama itu. Ertinya mereka sangat kenal satu dengan lain. Dalam keadaan begitu kata panggilan ragam mesra dianggap sopan, dan diterima sebagai budi bahasa yang halus.
Kata panggilan mesra tidak boleh digunakan kepada orang yang tidak mempunyai hubungan keluarga atau kenal biasa dengan kita. Sebagai contoh, kalau Bidin seorang kerani pejabat, dan Mamat ialah ketuanya, Bidin tidak boleh memanggil Mamat menggunakan kata panggilan mesra. Perbuatan itu menjadi perbuatan yang tidak sopan, kerana perhubungan antara Bidin dan Mamat adalah perhubungan sekerja, bukan perhubungan mesra. Hubungan sekerja adalah hubungan rasmi, oleh itu Bidin hendaklah menggunakan panggilan rasmi apabila bercakap dengan Mamat. Panggilan rasmi ialah seperti “Tan Seri, Datuk, Tuan, Tuan Haji, Puan, Puan Hajah, Encik, Saudara dan Saudari.”
Kakitangan pejabat-pejabat kerajaan sering tidak menggunakan kata panggilan yang betul apabila berhubungan dengan orang ramai. Mereka menggunakan kata panggilan mesra sedangkan antara mereka dan orang ramai yang datang ke pejabat kerajaan hanya ada hubungan rasmi semata-mata. Perkara ini melanggar peraturan sopan santun bahasa Melayu.
Kesalahan menggunakan kata panggilan mesra dalam urusan rasmi adalah kesalahan yang serius. Perbuatan itu adalah biadab. Di dalam hubungan rasmi, seseorang tidak boleh dipanggil berdasarkan umurnya. Hubungan rasmi ditentukan oleh taraf seseorang, bukan umur seseorang.
Adalah juga menjadi suatu tabiat di kalangan pegawai dan pekerja memanggil pelanggannya you. Apabila kita berbuat demikian, kita telah menyamakan taraf pelanggan dengan taraf kita. Dengan kata lain, kita tidak menghormati pelanggan. Ini adalah tidak sopan sebab pelanggan kita sentiasa bertaraf lebih tinggi dari kita. Kita berkhidmat kepada mereka. Oleh sebab itu, taraf pelanggan lebih tinggi. Apa saja pangkat kita, kita tetap memberi khidmat kepada mereka. Oleh itu, panggillah pelanggan kita tuan, encik, cik, puan, cik puan, dan cik. Hormatilah mereka. Jangan turunkan taraf mereka ke taraf kita, iaitu taraf pemberi khidmat. Pelanggan lebih tinggi tarafnya. Ia tidak mengambil kira taraf sosial kita sebagai orang yang memberi layanan.
Kesilapan ini juga dilakukan oleh para peniaga dan kakitangan mereka yang melayan para pelanggan. Hubungan antara peniaga dan pelanggan adalah hubungan perniagaan. Hubungan perniagaan adalah hubungan rasmi, bukan hubungan mesra. Oleh itu para pelanggan tidak boleh dipanggil menggunakan kata panggilan mesra. Amalan sesetengah pelayan gerai atau stesen minyak memanggil-manggil pelanggan sebagai bos, seperti dalam ungkapan “Berapa bos?” adalah biadab. Sekali imbas ia seolah-olah hormat. Tetapi di pejabat tidak ada orang yang memanggil ketuanya sebagai bos melainkan dalam keadaan bergurau, memerli atau mempersenda untuk menimbulkan kelucuan seperti dalam filem-filem P. Ramlee. Bos ialah panggilan kepada rakan-rakan sebaya untuk bergurau. Pelanggan hendaklah dihormati, bukan untuk dijadikan bahan gurauan atau persendaan.
Ada pula tabiat baru di kalangan peniaga-peniaga di kedai, di gerai, di pasar. Mereka memanggil wanita yang disangkanya belum berkahwin sebagai “Kak Long, Kak Su, Kak Ela dll.” Mereka tidak pernah kenal pelanggan ini. Ternyata panggilan ini tidak sopan. Malah, apabila diperhati, di sebalik panggilan-panggilan itu tersorok niat bergurau. Perbuatan ini adalah biadab.
Yang buruk ialah perkembangan yang saya amati akhir-akhir ini. Pekerja-pekerja restoran, gerai dan stesen petrol daripada pendatang Indonesia, Bangladesh dan Myanmar pula telah mula memanggil pelanggannya abang dan kakak. Yang menggelikan hati, dan sekaligus menyakiti hati, mereka tidak mengira berapa umur pelanggannya. Sudahlah mereka “bermesra” dengan niat “menghormati”, mereka pula “mengejek” orang muda daripada mereka sebagai abang atau kakak.
ANTARA BOS DAN TUAN
Apabila kita dipanggil bos, ada satu rasa tidak senang berlaku. Panggilan ini mengingatkan kita kepada babak-babak filem P. Ramli. Pemandu Hj. Bakhil yang tidak menghormati Hj. Bakhil akan mempersendakannya dengan panggilan bos. Bukan tuan. Apabila penyambut tetamu di hotel, pengepam minyak di setesen petrol, jurujual di pasaraya, pelayan di restoran memanggil kita bos, itu bukanlah hormat. Dia menurunkan darjat kita ke peringkat yang rendah menjadi seperti Hj. Bakhil yang boleh dipersendakan. Panggilan hormat ialah tuan, puan, encik dan cik, dan cik puan.
MENYENTUH
Menyentuh hanya dibenarkan di kalangan keluarga dan juga kawan rapat dari jantina yang sama. Menyentuh kaum bukan sama jantina yang bukan muhrim tidak dibenarkan. Amalan penutur bahasa Inggeris yang menyentuh atau berpeluk-peluk tidak sesuai untuk penutur bahasa Melayu.
IMPLIKASI DALAM PENGAJARAN
Kesalahan ini hendaklah dibetulkan. Hormatilah pelanggan dengan panggilan Tuan, Puan atau Encik. Kalau tahun gelarannya seperti Tan Seri atau Datuk, itu lebih baik.
Bagi seorang peniaga setiap pelanggan adalah lebih tinggi tarafnya daripada diri peniaga itu sendiri. Begitu juga bagi kakitangan jabatan-jabatan kerajaan, kerana orang ramai adalah pelanggan mereka. Ingatlah, tangan yang di atas lebih mulia daripada tangan yang di bawah. Dan ingatlah, tangan pelanggan sentiasa berada di atas, walaupun pelanggan itu hanya orang biasa-biasa sahaja.
PANDUAN KATA PANGGILAN UNTUK URUSAN RASMI
Ada enam panduan untuk menggunakan panggilan rasmi dalam bahasa Melayu.
1. Sekiranya diketahui orang itu mempunyai gelaran (seperti Tun, Toh Puan, Datuk, Datin, Datuk Seri, Datuk, Datin, Yang Berhormat, dll.); nama profesion (Doktor, Ustazah, Cikgu, dll.); nama pangkat (Inspektor, Kolonel, dll.), gunakan nama tersebut.
2. Apabila ada lebih daripada satu, gunakanlah gelaran yang tertinggi saja. Tuan, untuk semua lelaki, terutama yang dikenali sebagai tokoh penting dalam masyarakat. Jikalau dia sudah menunaikan haji, gunakan Tuan Haji.
3. Puan, untuk semua wanita, lebih-lebih lagi sekiranya diketahui dia sudah berkahwin. Jikalau dia sudah menunaikan haji, gunakan Puan Hajah.
4. Encik, atau Cik boleh digunakan untuk lelaki dan perempuan, sama ada sudah berkahwin atau belum.
5. Saudara dan Saudari, untuk pemuda dan pemudi antara 16 tahun hingga 25 tahun. Boleh juga digunakan kepada orang-orang yang dapat dianggap sebagai setaraf atau lebih rendah daripada yang bercakap. Umpamanya, seorang pemimpin boleh memanggil semua orang Saudara. Encik, atau Cik boleh digunakan untuk lelaki dan perempuan, sama ada sudah berkahwin atau belum.
6. Ingatan: Jangan sebut nama.
PANDUAN PANGGILAN TAK RASMI
Panduan berikut akan dapat membantu kita menggunakan sistem panggilan dalam bahasa Melayu bagi konteks tidak rasmi.
1. Gunakanlah panggilan Pak Cik, Mak Cik, Abang dan Kakak kepada orang-orang yang kita kenali dengan mesra sahaja. Apabila diguankan di tempat yang rasmi, panggilan-panggilan ini menjadi panggilan biadab.
2. Panduan Panggilan Dalam Perniagaan Mesti Rasmi. Dalam perniagaan, semua urusan adalah rasmi. Bentuk sapaan rasmi saja yang digunakan. Untuk lelaki gunakanlah: Tuan dan Encik. Untuk perempuan gunakanlah Puan, Cik Puan, Encik atau Cik saja. Panggilan keluarga seperti pakcik, makcik, abang, kakak, dan adik tidak terlibat kerana ini bukan lingkungan keluarga.
3. Sekiranya pelanggan mempunyai gelaran seperti Tun, Toh Puan (Sebutannya Tok Puan), Datuk, Datin, Datuk Seri, Datuk, Datin Yang Berhormat, Doktor, Ustaz, gunakanlah nama gelaran atau nama profesion itu.
4. Ingatan: Apabila diguankan di tempat yang rasmi, panggilan-panggilan ini menjadi panggilan biadab.
5. Amalan dalam bahasa Jepun sistem inii mudah dan sopan. Mungkin boeh kita tiru. Apabila orang pertama (saya, aku, kita, kami) bercakap dengan orang kedua (awak, kamu, kalian) bentuk panggilan mulia atau lebih tinggi digunakan. Apabila orang pertama dan kedua bercakap mengenai orang ketiga (dia, beliau, mereka), maka orang ketiga itu lebih dimuliakan. Bercakap bahasa asing depan orang lain
KESIMPULAN
Beberapa kesimpulan dapat dibuat daripada pengamatan dan analisis yang dibuat di atas.
1. Ada suatu perkembangan dalam pengajaran bahasa Melayu yang akan dapat memperbaiki keadaan ini. Sukatan Pelajatran Bahasa Melayu yang akan mula dipakai pada tahun 2003 adalah merupakan sebuah sukatan pelajaran yang memberi perhatian lebih komunikasi berbanding dengan unsur nahu. Sukatan itu masih pada peringkat penggubalan. Tetapi sudah dapat dilihat bahawa isinya sudah mengandungi aspek unsur komunikasi, dan sekali gus unsur budaya Melayu.
2. Untuk pertama kali, sukatan pelajaran bahasa Melayu tidak seperti senarai kandungan Tatabahasa Dewan. Ini adalah satu kemajuan besar, kerana pegawai kurikulum telah mengetahui bahawa belajar nahu tidak semestinya belajar berbahasa.
3. Seterusnya, kita perlu memberi kesedaran kepada pengajar bahasa Melayu, bahawa bahasa Melayu kampungan tidaklah wajar digunakan dalam konteks perniagaan dan korporat. Ini satu konteks baru yang berkembang. yang baru berkembang.
4. Kita perlu menjalankan banyak lagi pemerhatian dan penyelidikan terhadap penggunaan dan bentuk panggilan hormat dalam bahasa Melayu. Satu sumber penting ialah Sejarah Melayu. Dalam Sejarah Melayu dapat dilihat bahawa raja-raja Melayu memanggil pembesarnya “Tuan.” Wanita kenamaan juga dipanggil “Tuan”, seperti “Tuan Puteri.” dll.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment