Friday, July 13, 2007

4. Maksud Komunikasi

3. MAKSUD KOMUNIKASI

Setelah melihat garis besar hakikat bahasa manusia yang dijelaskan di atas, kita memaklumi bahawa definisi itu dan juga definisi-definisi lainnya sama-sama abstrak dan berfungsi memudahkan hakikat bahasa yang sebenarnya. Inilah satu ciri keilmiahan: memudahkan sesuatu yang rumit dan merumit­kan sesuatu yang mudah. Hakikat bahasa baru terasa hanya bila kita membayangkan jikalau bahasa itu tiba-tiba hilang daripada masyarakat ujaran. Sekiranya itu berlaku, barulah kita mengetahui itulah fungsi bahasa, iaitu menjadi alat komunikasi dan sekaligus sebagai lambang sosial umat manusia. Apapun dan bagaimanapun definisi bahasa pada akhirnya berakhir pada proses komunikasi.

Apakah yang dikatakan komunikasi itu?

Komunikasi adalah proses bagaimana proses informasi antara individua ditukarkan melalui sistem simbol, tanda, atau tingkah laku yang umum.

Daripada definisi komunikasi di atas kita dapat mengatakan bahwa komu­nikasi adalah satu proses yang melibatkan:

Pihak yang berkomuni­kasi,
Informasi yang dikomunikasikan dan
Alat komunikasi.

Tidak ada komunikasi yang tidak melibatkan ketiga-tiga perkara di atas dan sesungguhnya manusia itu tidak akan terlepas daripada ketiga-tiga perkara ini. Pada masa bersendirian pun manusia dapat juga berkomunikasi, paling tidak dengan dirinya sendiri. Dalam hal ini kedua pihak yang berkomunikasi adalah peribadi yang sama, atau dengan alam lingkungannya. Semua tingkah laku manusia, dapat dikatakan bersifat komunikatif. Ini bermaksud seorang penyelidik mendapat informasi dengan memperhatikan tingkah laku seseorang, kendatipun seseorang itu tidak menyedari atau tidak bermaksud berkomunikasi dengan si penyelidik. lnilah kesan orang lain.

Seorang yang berjalan tergopoh-gopoh akan ditafsirkan ber­beza daripada yang berjalan lambat-lambat. Demikian pula yang berjalan dengan sebelah kaki diseret-seret mungkin ditafsirkan kaki tersebut terkehel. Tingkah laku tergopoh-gopoh, lambat­-lambat dan diseret-seret itu memberikan informasi, dan dapat dikatakan informatif, manakala istilah komunikatif biasanya digunakan bagi menjelaskan perilaku yang disengajakan bagi dikomunikasi­kan.

Ketiga tingkah laku itu memberitahu si penyelidik suatu informasi seperti halnya diberitahu melalui ujaran. Tingkah laku itu memberi informasi sebagai:

Saya harus mengejar kereta api jam 7.30 pagi.
Rihat saja dulu, kuliah bermula jam 8.40 pagi, masih ada waktu 20 minit.
Kaki kiri aku tadi digilis basikal.

Dengan demikian tingkah laku manusia, memang boleh membawa informasi dan menjadi sarana berkomunikasi. Dalam diri manusia dan makhluk hidup lainnya ada 'berjuta-juta' informasi. Manu­sia adalah makhluk informasi. Hidup itu sendiri adalah komuni­kasi. Secara psikologis kita menyimpulkan bahwa komunikasi itu sengaja atau tidak disengaja tergantung kepada si pengirim infor­masi dan si penerima informasi. Apakah kita merasa atau tidak diberi informasi atau dijadikan lawan berkomu­nikasi. Demikianlah kita melihat komunikasi dari aspek pelaku komunikasi. Selanjutnya mari kita melihat aspek kedua iaitu informasi atau yang dikomunikasikan.

Pendekatan tradisional terhadap bahasa sering menyatakan fungsi bahasa adalah sebagai 'komunikasi pikiran'. Pendekatan baru melihat ini sebagai terlalu sempit, walaupun dengan fikiran yang mencakup pula kepercayaan, pendapat, penilaian dan persepsi. Bagi mem­buktikan ini, Corder (73 :37) mengambil beberapa ayat seperti yang disesuaikan daripada contoh-contoh ayat dalam bahasa Melayu. Ayat-ayat ini tidak berubah maknanya jikalau kita meletakkan ungkapan 'Saya rasa' di depannya.

Kerajaan melakukan satu kesilapan.
Engkau patut pergi berjumpa doktor.
Rubiah balik esok.
Cantik kebaya kamu!

Tetapi lihatlah maksudnya menjadi berlainan apabila kita memasukkan ungkapan 'Saya rasa' di depan ayat-ayat berikut.

Tentu kamu tidak dapat menjawab soalan ini.
Itulah Tuk Budin yang sentiasa boleh diharap!
Tunjukkan saya jalan ke Stesen Sentral?
Adoi, sakit tu!
Insya Allah saya datang.
Esok saya beri keputusannya.

Apabila kita memasukkan ungkapan 'Saya rasa' di depan keenam-enam ungkapan di atas, maka makna atau tahap kesungguhan maksud ayat-ayat tersebut berubah. Sebagai contoh kita lihat ayat (3) sebagai satu ayat tanya. Kemudian kita masukkan ungkapan 'Saya rasa' di depannya.

3. ‘Saya rasa, tunjukkan saya jalan ke Stesen Sentral?

Jelas ada kejanggalan, maknanya juga tidak komunikatif. Demikian pula dengan ayat lainnya.

Kesimpulan bahawa fungsi bahasa itu adalah komunikasi fikiran memanglah wajar. Ini tidak menghairankan, dan dapat dilihat apabila kita melihat sejarah kajian bahasa pada masa lalu. Pada Zaman Pertengahan, iaitu antara T. M. 500 hingga 1500, para sarjana yang sangat tertarik dengan kajian bahasa adalah ahli falsafah atau lojik. Mereka memberi tumpuan kepada ayat-ayat yang boleh dianalisis sebagai alat menyatakan pernyataan (propo­sisi) benar atau salah. Memanglah bahasa pada masa itu digabungkan bersama dengan retorika dan logik dalam satu kumpulan tiga ilmu, yang dipanggil trivium dalam bahasa Latin. Kesulitan dalam pendekatan ini adalah bagaimana pula kita mahu menyatakan benar atau salah untuk ungkapan keinginan, kesenangan, rasa sakit, kepuasan, dan juga pertanyaan dan perintah itu benar atau salah.

Lihatlah ayat berikut:

Hapuskanlah air mata kamu!
Sudikah engkau mengundang aku?

Bagaimana kita dapat mengatakan ayat itu benar atau salah. Ini mungkin dilakukan sekiranya suasananya tidak sesuai, seperti: (1) yang diajak berbicara tidak menangis dan (2) yang diajak berbicara tidak tahu menahu tentang yang dibicarakan. Tetapi ini lain persoalannya, iaitu konteks suasana ujaran. Bukan kebenaran pernyataan! Dalam lojik, ayat yang mempunyai nilai benar atau salah adalah ayat nyata, sedangkan kita berbicara bukan ayat nyata saja.

Dengan demikian kesimpulan tentang 'komunikasi fikiran' itu hanya berdasarkan kepada sebahagian kecil data bahasa, dan mengkomunikasikan fikiran itu hanya satu daripada fungsi bahasa. Kita dapat menerima bahawa kebanyakan ayat mengandungi unsur-unsur yang mensyaratkan kepercayaan, pendapat atau persepsi akan situasi di sekeliling si penutur ujaran, namun ini tidak perlu membawa akibat kesimpulan bahawa fungsi bahasa adalah menyatakan fikiran semata. Fikiran adalah satu bahagian daripada informasi yang disampaikan dalam proses komunikasi.

Selanjutnya mari kita lihat aspek ketiga iaitu alat komunikasi. Alat komunikasi terbahagi kepada dua, iaitu lisan dan bukan lisan yang boleh digunakan dalam berkomunikasi.

Tugasan 3:

1. Apakah yang dikatakan komunikasi?
2. Apa berlaku sekiranya tidak ada bahasa?
3. Apa yang terlibat dalam komunikasi?
4. Apa maksud fungsi bahasa sebagai menyatakan fikiran/
5. Apa lagi yang dikomunikasikan secara bukan lisan?
6. Apa maksud pernyataan?
7. Apakah yang dikatakan pernyataan benar dan pernyataan salah?
8. Apa kekurangan mendefinisi makna sebagai pernyataan benar dan pernyataan salah?

-----------

Sila ambil perhatian.

1. Buka entri rekod kumpulan dan kehadiran bagi mengetahui kumpulan anda untuk kehadiran kuliah.

2. Buka entri kumpulan tugasan dan prosedur menghantar tugasan.

3. Buka blog masing-masing untuk tugasan.
a. http://sosiolinguistik.blogspot.com/ untuk kuliah
b. http://sosiolinguistiktugasan1.blogspot.com/ untuk tugasan kumpulan 1.
c. http://sosiolinguistiktugasan2.blogspot.com/ untuk tugasan kumpulan 2.
d. http://sosiolinguistiktugasan3.blogspot.com/ untuk tugasan kumpulan 3.

1 comment:

CPSL said...

Attorney and Law Firm Information and Directory. Find Legal Information, Laws and local Attorneys.

free legal advice