Tuesday, July 10, 2007

2. Pendahuluan Sosiolinguistik ( 9 Julai 2007)

1. PENDAHULUAN ILMU SOSIOLINGUISTIK

Sosiolinguistik, namanya berasal daripada gabungan perkataan sosio + linguistik, menunjukkan bahawa bidang ilmu ini adalah perpaduan sosiologi dengan linguistik. Ada pula yang menyebutnya sebagai linguistics plus. Kita mudah dapat menyemak bahawa perbahasan pokok dalam ilmu ini adalah masyarakat dan bahasa. Kita boleh mengatakan sosiolinguistik adalah ilmu interdisiplineri yang membincangkan dan menyu­sun teori-teori tentang perhubungan masyarakat dan bahasa.

Maksud istilah masyarakat, dalam ilmu sosiolinguistik, adalah mencakupi kajian mengenai pihak-pihak yang terlibat dalam interaksi kelompok besar mahupun kecil, fungsi kelompok, pertembungan antara kelompok, sektor-sektor sosial, perhubungan-perhubungan dan perbezaan-perbezaannya dari segi bahasanya.

Maksud istilah bahasa pula mencakupi gagas­an-gagasan seperti perbezaan kod-kod (iaitu bahasa Melayu, Indonesia, Inggeris, Arab dll.), ragam regional dari satu kod (seperti bahasa Melayu Malaysia, Singapura, Brunei, Thai Selatan, Kelantan, Kedah dll.), ragam kelompok sosial (seperti bahasa golongan bangsawan, kelas tinggi dan rendah), ragam stailistik (rasmi, santai, intim dan sebagainya). Kesemuanya ini diamati dengan memberi perhatian kepada ciri-ciri pola bunyi dan sebutan, kosa kata, ciri-ciri gramatikal atau pada tahap makna iaitu semantik.

Selanjutnya mari kita kaji dulu batasan kedua yang akan dipadukan ini. Sosiologi adalah ilmu yang mempelajari struktur masyarakat dan proses-proses kemasyarakatan, termasuk di dalamnya perubahan-perubahan masyarakat. Sosiologi adalah ilmu kemasyara­katan yang mutlak dan abstrak. Ia mencuba memberi penger­tian-pengertian umum, rational dan empirikal serta bersifat umum (Soekanto 1982: 50).

Pada pihak lain linguistik adalah ilmu yang mengkaji bahasa sebagai bentuk-bentuk lisan dan tulisan. Ia memiliki rumus-rumus yang menjelaskan sistem, rasional, empirikal, dan kesimpulan-kesimpulan sebagai pemerian daripada kenyataan struktur, peggolongan, dan rumus-rumus bahasa, termasuklah pernyataan kekecualiannya. Dan bahasa itu sendiri adalah alat untuk berkomunikasi dalam proses sosialisasi, yang diberi pemerian secara formal dan abstrak dan kadang-kadang kaku oleh linguistik (khususnya mikrolinguis­tik).

Oleh sebab bahasa-bahasa biasanya berfungsi dalam satu matriks sosial dan oleh kerana masyarakat sangat bergantung pada bahasa sebagai sarana (kalau bukan simbol) interaksi yang diamati, dapat diharapkan bahawa manifestasi-manifestasinya yang diperhatikan itu, perilaku bahasa dan perilaku sosial, akan banyak saling ber­hubungan dalam banyak cara yang teratur (Fishman 1968: 6).

Sesungguhnya kita maklum, walaupun tanpa disedari, bahawa memang ada perhubungan-perhubungan yang kompleks antara masyarakat dan bahasa. Sebagai contoh, kita mengetahui bahawa ada orang-orang ber­bicara secara berbeza kerana datang daripada latar belakang yang berlainan; sehingga sering kali ada ramalan yang tepat dapat dibuat tentang aspek-­aspek ujaran seseorang dengan tempat kelahirannya atau tempat beliau dibesarkan, pendidikannya, kelompok sosialnya atau bahkan pekerjaannya.

Selain daripada itu kita juga sering kali tanpa disadari, merubah cara berbicara tergantung pada siapa lawan bicara. Ini pun tergantung pula pada keakraban orang yang dilawan berbicara, dan suasana sekelilingnya sewaktu proses percakapan berlangsung. Cara kita berbicara dengan anak, isteri, suami di rumah tetulah berbeza daripada cara berbicara di tempat umum.

Lebih penting lagi, kita menilai orang bukan hanya dengan apa yang diujarkan oleh seseorang, tetapi juga bagaimana kedengarannya bahasa yang diucapkan, terutama pada pertemuan pertama.

Hal-hal seperti ini dulu di­anggap kurang penting bagi kajian linguistik. Ini terjadi demikian kerana kajian bahasa secara tradisional pada masa lalu adalah terlampau memberi tumpuan kepada bentuk bahasa tulisan. Akibat­nya linguistik dan sosiologi menjadi terpisah dari yang lainnya.

Linguistik khususnya di Amerika, menurut, Fishman (1968: 7), sehingga pertengahan pertama abad kedua puluh adalah "disiplin normal" yang hampir sejajar dengan matematik yang abstrak. Ia memberi tumpuan keanalisis struktur bahasa, dan pendekatan psikologis dan sosio­logis dianggap berbahaya dan menyesatkan.

Pada pertengahan tahun 1960-an pula, ada penemuan kembali antara kedua bidang ilmu ini, dan kesedaran baru khususnya dalam kalangan ilmuwan Amerika akan hubungan-hubung­an yang tidak boleh dipisahkan antara perilaku bahasa dan perilaku sosial (Loveday 1982: 2). Khusunya, istilah sociolinguistics baru muncul pada tahun 1952 dalam karya Haver C. Currie yang menyarankan supaya diselidiki perhubungan antara perilaku ujaran dengan status sosial ahli masyarakat (dalam Dittmar 1976:127).

Ada juga sejak dahulu pendekatan yang meminati linguistik antropologi, namun ia masih menganggap bahasa dan kebudayaan sebagai keseluruhan yang sifatnya monolitik, walaupun ada perhubungan antara satu sama lain (Fishman 1968: 7). Maka dapatlah disimpulkan bahawa sosiolinguistik adalah satu pendekatan yang akan membuat bidang ssiolinguistik ini sebagai satu bidang mikrolinguistik yang menjadi manusiawi dan sosiologikal. Tentu sekali kita dapat mmerasakan bahawa hakikat bahawa bahasa itu bermakna dan berfungsi hanyalah wujud dan terasa pada pemasyarakatannya dalam perjalanan hidup sehari-hari?

Istilah sosiolinguistik sering kali dikelirukan dengan istilahh sosiologi bahasa. Ada beberapa orang sarjana yang menganggapnya sama saja. Ada juga yang membezakannya, dan perbezaan tersebut hanyalah pada penumpuan kajian saja. Fishman melihat bahwa masyarakat lebih luas daripada bahasa, dan dengan demikian maka masyarakat yang menyajikan konteks, di sana segala perilaku bahasa akan dikaji. Yang lebih sejalan dengan pendekatan ini adalah sosiologi bahasa bukan sosiolinguistik, yang memberikan penekanan kepada seba­liknya.

Dengan begitu sosiologi bahasa membidangi faktor-faktor sosial dalam skala besar yang saling bertimbal balik dengan bahasa dan dialek-dialek. Sebagai contoh dapatlah dikemukakan, misal­nya: masalah menurunnya dan asimilasi bahasa-bahasa minoriti, perkembangan bilingualisme, perkembangan pembakuan bahasa dan perancangan bahasa negara-negara membangun.

Sosiolinguistik adalah bidang ilmu yang mengkaji kesan sebarang aspek masyarakat ke atas bahasa. Sosiologi bahasa pula mengkaji kesan bahasa terhadap masyarakatnya. Aspek-aspek ini boleh terdiri daripada norma dan nilai dalam masyarakat, harapan masyarakt, suasa yang wujud dalam masyarakat, dll.

Pada pihak lain, sosiolinguistik lebih berhubungan dengan kajian-kajian mendalam mengenai penggunaan bahasa sebenarnya. Dell Hymes (1962) menyebut ini sebagai etngrafi pertuturan (the ethnography of speaking). Beberapa contoh dapat dilihat dalam misalnya: pemerian pola-pola penggunaan bahasa dan dialek dalam budaya tertentu yang me­nyangkut bentuk-bentuk peristiwa ujaran (speech events), pilihan-­pilihan yang dilakukan oleh penutur, topik pembicaraan dan seting pembicaraan (Fishman 1970: 6 dan Labov 1977: 183-184).

Hal-hal di atas dapat disebut sebagai indikator-indikator sosiolinguistik, dan secara umumnya inilah yang diselidiki oleh sarjana sosio­linguistik. Ini dapat disimpulkan dalam lima perkara berikut:

1. Ada beberapa jenis kebiasaan atau konvensyen yang digunakan bagi menguruskan ujaran kita yang diorientasikan kepada tujuan-tujuan sosial. Dalam kenyataannya di sini terdapat struktur-struktur pembicaraan dan interaksi seperti misalnya dalam pembicaraan melalui telefon, bergurau, berbual kosong dan sebagainya. Mereka yang meminati bidang ini disebut ethnomethodologis, iaitu mereka yang mempelajari metod-metod dan alat-alat yang digunakan oleh kelompok-kelompok sosial untuk mencapai tujuannya. Mereka percaya bahwa kenyataan-kenyataan sosial tidaklah boleh diselesaikan melalui jadual-jadual statistik, tetapi pada kenyataannya dibangunkan dalam proses interaksi. Penyelidikan lain dalam bidang ini dan lebih berorientasi pada bidang linguistik, adalah bidang yang disebut sebagai analisis wacana. Kelompok lain yang berdekatan dengan analisis ini adalah ahli antropologi yang menganalisis pola-pola penyusunan pengajaran lisan atau oral message yang terkandung dalam cerita-cerita ­dongeng, cerita-cerita rakyat, teka-teki dan upacara-upacara keaga­maan dengan acuan pada masyarakat tempat semua itu berada.

2. Kajian bagaimana norma-norma dan nilai-nilai sosial mempengaruhi perilaku linguistik, seperti penyelidikan yang dilakukan oleh Bernstein mengenai perbezaan gaya ujaran kelas pertengahan dan kelas atasan masyarakat Inggeris. Tentulah penyelidikan mengenai alasan-alasan masyarakat yang menwujudkan perilaku bahasa begitu tidak terbatas pada perbezaan stail antara kelompok dalam suatu masyarakat, tetapi juga berkaitan dengan variasi komunikasi antara kelompok-kelompok masyarakat bahasa' dan kelompok-kelompok etnik yang berbeza. Dalam hal ini Dell Hymes mengutarakan konsep yangtermaktun dalam istilah sosiolinguistik,iaitu: kecekapan berkomunikasi (communi­cative competence).

3. Variasi dan neka bahasa dihubungkan dengan kerangka sosial para penuturnya. Inilah yang merupakan gagasan inti bidang sosiolinguistik. Ini kelihatan seperti sama dengan perkara 2 di atas. Perbezaannya adalah pada tujuan-tujuannya yang lebih sosiologikal. Banyak indikator linguistik yang memberikan maklumat sosial, bermula daripada aksen (pelat) membawa kepada pemilihan kosa kata dan sistem gramatikal. Dalam masyarakat multilingual apa yang diucapkan mungkin menyajikan indikator status sosial si pembicara. Kenekaan linguistik ini merupakan satu topik penting dalam kajian sosiolinguistik. Perkara inilah yang dikaji oleh Trudgil (1974) bagi menunjukkan perbezaan-perbezaan sosial orang-orang Inggeris yang berasal dari Norway.

4. Pemanfaatan unsur-unsur bahasa dalam politik adalah juga menjadi sasaran kajian sosiolinguistik. Lembaga seperti Academie Francaise, secara rasmi menentukan apa yang boleh diterima atau tidak dalam bahasa Perancis. Begitu juga juga pemurnian bahasa Jerman sewaktu pemerintahan Nazi pernah dillakukan sebagai satu eksploitasi bahasa demi kepentingan politik. Malah, pemilihan bahasa, misalnya untuk menjadi bahasa nasional adalah persoalan yang menyangkut hal-hal politik, seperti menentukan bahasa asing untuk diajarkan di satu negara. Sebagai contoh keputusan bagi mengajarkan bahasa Maori kepada mereka yang berkulit putih di New Zealand, penga­jaran bahasa Rusia di negara-negara blok timur dan usaha mema­sukkan bahasa-bahasa peribumi ke dalam kurikulum sekolah di negara­-negara Afrika, dll. Lebih rapat dengan kita adalah keputusan memilih bahasa Melayu menjadi bahasa Nasional Indonesia sebagai yang dinyatakan dalam Sumpah Pe­muda (1928). Ini bertentangan dengan hakikat bahawa bahasa Jawa atau Sunda yang mempunyai bilangan penu­tur yang jauh lebih ramai. Contoh di atas erat kaitannya terutama dengan kebijaksanaan dalam pendidikan; dan ini semua dalam sosiolinguistik lazim disebut sebagai perancangan taraf bahasa. Menurut Fishman yang mengkaji masyarakat multilingual, hal ini sering dihubungkan dengan tokoh atau pelopor sesebuah masyarakat multilingual.

5. Aspek-aspek sosial dalam bilingualisme dan multilingualisme adalah juga penting dalam kajian sosiolinguistik. Kebanyakan kajian memberi tumpuan kepada kelompok-kelompok minoriti di berbagai negara, biasanya melibatkan nada-nada politik yang berkaitan dengan pengakuan atau penerimaan bahasa oleh kelompok tersebut. Penyelidikan lainnya adalah mengkaji cara bukan penutur asli berganti-ganti menggunakan bahasa tertentu untuk satu kegiatan dan yang satu lagi untuk kegiatan lain. Fenomena ini disebut sebagai code switching. Kajian lain juga melihat motivasi sosial dalam amalam meminjam perkataan-pekataan asing. Ada pula yang menyelidiki sejauh mana seseorang bilingual atau multilingual taat kepada baha­sa yang dikuasainya, ditinjau dari segi sosiologi mahupun psikologi.

Dalam kelima-lima perkara di atas, ahli sosiolinguistik sudah tentu mempunyai pendekatan dan teori yang berbeza antara satu dengan yang lain. Mungkin ada yang memberi penekanan kajiannya kepada linguis­tiknya, sosiologinya atau psikologinya. Akan tetapi semuanya relatif, bermula daripada andaian yang sama bahawa sosiolinguistik mengkaji cara-cara atau bagaimana bahasa berinteraksi dengan masyarakat. Ia adalah satu kajian cara bagaimana struktur bahasa berubah sebagai respons terhadap fungsi-fungsi sosial yang ber­aneka ragam, dan batasan dari fungsi-fungsi ini (Crystal 1971: 252) .Akhirnya perlu juga dicatat bahawa konferens pertarna dalam sosiolinguistik berlangsung di University of California di Los Angeles pada tahun 1964. Salah satu hasil daripada konferens itu dirumuskan oleh Dittmar (1976 :128) dalam tujuh dimensi dalam penyelidikan sosiolinguistik, iaitu:1. Identiti sosial penutur,2. Identitas sosial pendengar yang terlibat dalam proses komunikasi,3. Lingkungan sosial termpat peristiwa ujaran terjadi,4. Analisis sinkronik dan diakronik terhadap dialek-dialek sosial,5. Penilaian sosial yang berbeza oleh penutur akan bentuk-bentuk perilaku ujaran,6. Tingkatan neka atau ragam linguistik, dan7. Penerapan praktikal daripada penyelidikan sosiolinguistik.

Soalan Tugasan:

1. Bezakan Imlu Sosiolinguistik dengan Sosiologi Bahasa
2. Apakah aspek-aspek yang dikaji oleh dalam Sosiolinguistik.
3. Apakah dmesnsi sosiolinguistik yang dinyatakan oleh Dittmar?

----------------------------
PENTING

Cikgu yang menggunakan nama nudin. Sila ambil perhatian:

1. Saya tidak tahu nama anda siapa.
2. Berhenti memasukkan jawapan ke dalam blog sosiolinguistik. Anda merosakkan blog saya.
3. Sila masukkan jawapan anda ke dalam entri yang menggunakan nama anda dalam salah satu blog berikut.
4. Belajar daripada Cikgu Mohd. Mahidin cara memasukkan jawapan anda.

Prof. Abdullah Hassan


Pemberitahuan kepada semua:

Sila ambil perhatian. Ikut langkah berikut bagi memasukkan tugasan anda ke dalam blog.

1. Buka entri rekod kumpulan dan kehadiran bagi mengetahui kumpulan anda untuk kehadiran kuliah.

2. Buka entri kumpulan tugasan dan prosedur menghantar tugasan.

3. Buka blog masing-masing untuk tugasan.

a. http://sosiolinguistik.blogspot.com/ untuk kuliah
b. http://sosiolinguistiktugasan1.blogspot.com/ untuk tugasan kumpulan 1.
c. http://sosiolinguistiktugasan2.blogspot.com/ untuk tugasan kumpulan 2.
d. http://sosiolinguistiktugasan3.blogspot.com/ untuk tugasan kumpulan 3.

1 comment:

DAvEDAviD said...

salam prof.
saya ingin minta tolong pasal kajian sosiolinguistik. blh tak prof tolong emailkan kepada saya kajian-kajian tokoh berkaitan bidang ini. apakah aspek kajian mereka dan apa keputusan dia. ni email saya : davidnyanggau@yahoo.com

terima kasih prof..

student IPG ni. pengajian BM sek.rendah...