Friday, July 27, 2007

Pemberitahuan 27 Julai 2007

--

Cikgu Fikri dan Ahwat Siew

Jangan masukkan jawapan anda di dalam blog ini.

Sila gunakan blog yang disediakan untuk jawapan tugasan.

Thursday, July 26, 2007

PEMBERITAHUAN 26 Julai 2007

1. Masih ada 27 orang yang belum menghantar tugasan. Sila siapakan sebelum 30 Julai 2007.

2. Sekiranya Cikgu mahu menghubungi saya untuk sebarang urusan, katakalah seperti membetulkan nama, sila masukkan ke dalam "post acomment."

3. JANGAN GUNAKAN emel.

PEMBERITAHUAN 26 Julai 2007

26 Julai 2007



Sekiranya Cikgu ada sebarang perkara untuk diberitahu, seperti pembetulan nama, sila masukkan ke dalam "post a comment."



Pertanyaan juga hendaklah melalui "post a comment" bukan melalui emel.







Melalui emel, saya terpaksa berpindah ke laman lain dalam blog.

Tuesday, July 24, 2007

MAKLUMAT PENTING

Kuliah pada 23 dan 25 Julai dikendalikan oleh Encik Razali Ayob.

Tugasan:

Buat tugasan yang diberikan oleh beliau.

Tuesday, July 17, 2007

MAKLUMAT PENTING

--

Cikgu nudin. Sila ambil perhatian.

Sila gunakan nama penuh anda.

Sila belajar daripada Cikgu Mohd. Mahidin kaedah menghantar tugasan melalui comments.

Prof. Abdullah Hassan

-----------------

PEMBERITAHUAN

1. Kuliah 8-9.50 pagi pada hari Rabu 18 Julai 2007 digantikan dengan aktiviti membaca.

2. Sila baca bahan bacaan 1, 2, 3 dan 4.

3. Baca semua soalan tugasan yang disertakan. Masukkan jawapan anda ke dalam entri dalam blog masing-masing.

4. Tugasan yang salah diletakkan pada tempat lain akan dipadamkan.

5. Tugasan tanpa nama akan dipadamkan.

Friday, July 13, 2007

5. Komunikasi Bukan Lisan

4. KOMUNIKASI BUKAN LISAN

Anda tahu apa dia robot? Negara Jepun mendapat banyak pesanan robot daripada luar negara. Apakah negara pembeli cukup mengetahui mengenai robot dengan membaca buku-buku tentang penggunaan robot tersebut? Jawapannya tentulah 'Tidak'. Beberapa orang pengkaji harus dibawa ke negara Jepun bagi mempelajarinya. Mereka terpaksa melibatkan diri secara langsung dengan teknologi robot dan orang-orang Jepun di sana dengan melakukan komunikasi bukan lisan. Contoh ini patut kita tafsirkan bahawa teknologi dan peradaban manusia pada umumnya berkembang bukan hanya melalui komunikasi lisan (verbal), tetapi juga komunikasi bukan lisan (nonverbal).

Ada berapa jenis kebudayaan di dunia ini? Jawapannya 'Sungguh banyak'. Dalam setiap kebudayaan ini, kanak-kanak mesti belajar banyak hal supaya mereka dapat bersosialisasi dalam budayanya.

Bagi anggota masyarakat budaya ini, hal ini adalah perkara biasa saja. Maksudnya, bahawa aspek-aspek ini tidak perlu dibukukan atau diajarkan secara formal kepada mereka dan generasi penerus mereka. Bukan­kah mereka mempelajarinya sebelum kemampuan berbahasanya lengkap bagi memahami pemerian lisan tentang budaya itu? Dengan meniru daripada orang sekitarnya, maka budaya yang sangat kompleks ini menjadi mudah saja dipelajari. Malah kebanyakan daripada norma-­norma itu dikomunikasikan kepada kanak-kanak generasi penerusnya secara bukan lisan, kemudian norma-norma ini mem­batin pada mereka seperti tidak mungkin menjadi sebaliknya. Sudah pasti bahawa norma-norma ini dapat dibukukan oleh para ahli antropologi sedemikian. Tetapi apbila kanak-kanak tadi harus membacanya dan mempelajarinya secara formal sebelum bersosialisasi dalam budayanya itu, maka tentulah mereka tidak akan pernah berhasil. Mereka akan gagal dalam sosialisasi dalam budayanya sendiri.

Apakah contoh yang mereka pelajari itu? Memang ada terlalu banyak! Yang mudah kita perhatikan secara langsung adalah cara ber­pakaian. Setiap kebudayaan mempunyai cara ber­pakaian yang khusus. Dengan mengikuti kebiasaan berpakaian ini, seseorang mengkomunikasikan kepada dunia persekitarannya bahawa dia ingin diperlaku­kan sesuai dengan standard budayanya. Demikian pula cara makan, memakai perhiasan, memberi tabik, tata cara berbicara dan sebagainya. Cara-cara ini pertama kali dipelajari oleh kanak-kanak secara bukan lisan. Setelah mereka mampu berbahasa, semuanya dikomuni­kasikan atau dipelajari secara bukan lisan dan lisan sampai ke akhir hayatnya.

Pada saat menjelang akhir hayat, apabila kita sudah tidak lagi mempunyai kemam­puan berbahasa, maka komunikasi bukan lisan ini kembali digunakan bagi berkomunikasi dengan orang-orang di sekeliling kita. Mungkin lambaian tangan bagi memanggil, kedipan mata, gerakan kepala, senyum, atau bahkan cucuran air mata. Ini semuanya adalah komunikasi. Dalam kehidupan harian, kita juga berkomunikasi melalui bunyi selain daripada berkomunikasi melalui gerakan. Harus diingat bahawa bukan semua bunyi yang digunakan bagi berkomunikasi itu adalah bahasa.

Kita semua juga pernah mendengar orang berkata, "Bukan apa yang dia katakan itu yang menyakitkan, tetapi cara dia mengatakannya." Perkataan cara dalam ayat ini merujuk kepada kualiti suara, gerakan-gerakan bahu, tangan dan anggota badan lainnya dan gerakan dan tegangnya otot-otot. Sebuah mesej yang dibawa dalam pernyataan 'Saya siap', 'Engkau mempesona', dan 'Aku tidak tahu dia' boleh ditafsirkan sebaliknya apabila diujarkan dengan intonasi meninggi.

Pada kenyataannya bahasa adalah sangat berkesan dalam berkomunikasi apabila perkataan-perkataan, isyarat, dan tingkah laku adalah saling men­dukung dalam proses komunikasi, iaitu cocok bagi penutur, penanggap tutur, isi ujaran serta konteks suasana penyampaian.

Alat komunikasi bukan bahasa itu berbeza-beza dari budaya ke budaya, satu di antaranya adalah sistem isyarat yang dipelajari dalam kinesiks (kinesics). Yang dipelajari oleh kinesiks ini adalah tembung mata, perubahan ekspresi roman, perubahan posisi kaki, atau isyarat-isyarat besar seperti yang melibatkan tangan dan bahu. Penggunaan isyarat yang betul hendaklah dipelajari seperti halnya berbicara dengan betul dan teratur. Isyarat tidak mempu­nyai hubungan dengan bahasa kecuali dalam hal-hal tertentu, walaupun beberapa isyarat seperti yang digunakan semasa bermain bola, sepak takraw dan tinju dll. itu memang asalnya berdasarkan makna bahasa. Bahasa isyarat memang mendahului ujaran. Contohnya, ada tujuh ratus ribu isyarat yang dapat dibuat dengan ekspresi roman muka, tegak tubuh, gerakan-gerakan lengan, pergelangan tangan, jari dan kombinasi semuanya ini (Pei 1949:17).

Tembung mata adalah kaedah yang penting dan penuh dengan makna dalam komunikasi bukan lisan. Umumnya, dalam keadaan biasa, interaksi antara manusia diawali dengan saling berpandangan. Tetapi ingatlah, pandangan dengan mata yang terbeliak kepada seorang anak nakal semasa menziarahi rumah jiran, lazimnya pandangan demikian akan membuatkan anak nakal itu diam. Dalam kebudayaan barat pula pan­dangan tepat pada mata seseorang itu adalah sama maknanya dengan berkata "Saya bersedia berbincang secara terbuka, silalah kita mula berbincang". Tembung mata sepasang manusia yang bercinta banyak pula maknanya. Di bandar-bandar besar, di mana terdapat ramai orang tetapi tidak saling peduli antara satu dengan yang lain, didapati mereka menghindari tembung mata. Mereka tidak mempunyai cukup masa bagi saling berpandangan. Pendatang baru ke bandar mungkin berkata, "Wah ... orang-orang bandar ini semuanya tidak peduli dan tidak mesra".

Di Amerika dalam interaksi perorangan (interpersonal) adalah biasa bagi si pendengar menunjukkan bahawa dia mengikuti apa yang dikatakan oleh orang yang dilawan bercakap dengan memandang pada mulut atau matanya. Kerana memandang langsung pada mata menunjukkan hubungan yang terlalu mesara, maka pembicara biasanya melihat ke arah lain. Jikalau waktunya tiba bagi pembicara menjadi pendengar pula, dan lawannya bercakap tadi pula mula bercakap, maka peristiwa begini selalunya didahului dengan tembung mata. Pembicara akan melihat pada pendengar, dan pendengar akan memberikan tanda bahawa dia bersedia untuk berbicara.

Tentulah gerakan mata itu berbeza-beza pula bergantung pada topik yang dibicarakan. Ia juga bergantung pada keakraban perhubungan peribadi antara mereka. Namun gerakan apapun yang digunakan, gerakan tersebut dilakukan secara tidak disedari. Jikalau kita mencuba berbicara dan dengan sengaja mencuba melakukan semua dengan menyedari gerakan-­gerakan tadi sewaktu berbicara, maka kita boleh menghadapi kekecewaan. Ini adalah kerana ia sulit dilakukan. Jikalau ingin mempelajari bagaimana gerakan mata itu berfungsi, lihatlah orang lain yang sedang berbicara! Tetapi, ini pun harus hati-hati. Terlalu lama memandang mata seseorang, kita mungkin dimarahinya.

Bukan saja tubuh badan kita berkomunikasi, anak mata kita pun berkomunikasi. Seseorang yang merasa gem­bira atau tertarik pada sesuatu, anak matanya membesar. Ada eksperimen ahli psikologi yang menunjukkan dua foto daripada seorang gadis cantik. Kedua foto itu serupa betul, tetapi dalam satu foto itu anak matanya besar, dan dalam foto yang lagi satu itu anak matanya menguncup. Kemudian, apabila beberapa orang ditanya tentang foto mana yang mereka sukai, kebanyakan orang yang ditanya itu mengatakan mereka lebih suka pada foto yang mempunyai anak mata besar. Ia sedang mengkomunikasikan kegembiraan dan kegi­rangan (Miller, ed. 1974: 265).

Demikianlah fungsi gerakan mata sebagai isyarat. Demikian pula dengan anggota badan lainnya seperti kepala. Kepada orang Yunani kuno, anggukan kepala ke bawah berarti "ya", sedangkan ang­gukan ke atas berarti "tidak." Ini berbeza daripada adat kita di Malaysia. Orang Amerika yang mengucapkan selamat tinggal disertai lambaian tapak tangan ke bawah, pada hal banyak orang Eropah yang melakukan hal peristiwa ini dengan tapak tangannya ke atas dan jari-jari tangannya digerakkan ke muka, ke belakang hingga menyerupai maksud "datanglah ke sini". Orang-orang Amerika yang ada pengalaman bergaul dengan orang Cina, tahu bahawa orang Cina tidak suka ditepuk belakang atau tidak pun suka berjabat tangan. Tetapi sekiranya ini tidak dilakukan oleh orang-­orang yang sudah akrab, ia bermaksud persahabatan mereka sudah renggang.

Ada sebuah contoh lain. Ada beberapa tafsiran dibuat apabila bekas Presiden Rusia, Tuan Kruschev, meletakkan kedua-dua tangannya di atas kepalanya, dan dia menggerak­-gerakkannya tangannya. Banyak orang memikirkan bahawa beliau berperi laku angkuh dan menunjukkan tanda kemenangan, padahal beliau memaksudkannya sebagai sebuah isyarat ingin bersahabat dalam perhubungan antarabangsa. Dalam sebuah peristiwa lain, pada tahun 1960-an, peralatan sidang di PBB adalah jauh ketinggalan apabila dibandingkan dengan peralatan sekarang. Para peserta sidang yang mahu berbicara biasanya mengangkat tangan, dan pegawai sekretariat mencatatnya. Oleh kerana tidak diberi peluang bercakap, Presiden Kruschev, merasa kesal lalu membuka kasutnya, dan kemu­dian meletakkannya di atas meja di depannya, sambil memukul-mukulkannya. Tidak lama kemudian, pengerusi sidang mempersilakan­ beliau untuk berbicara. Peristiwa ini menggemparkan orang ramai, hingga siaran TV dan surat-surat khabar memuatkan gambar Kruschev dengan muka tersenyum sambil kedua tangannya memukul­kan sepatunya di atas meja.

Alat lain untuk berkomunikasi bukan lisan adalah yang dipelajari dalam bidang proksemiks (proxemics), iaitu, satu cabang ilmu yang mengkaji keperluan ruang peribadi dan budaya dalam perhubungannya dengan persekitarannya. Jarak-jarak ini berbeza-beza tergantung pada jenis kegiatanyang dilakukan. Apabila berbicara dengan teman, orang tidak dikenali, orang yang lebih tinggi, semuanya perlu dipelajari supaya proses komunikasi berjalan lancar. Lain budaya lainlah pula adatnya. Da­lam budaya orang Amerika Syarikat, sebagai contoh, jarak ini memainkan fungsi penting. Sentuhan tubuh hendaklah dihindari, kecuali dalam situasi yang betul-betul akrab. Orang-orang Amerika Syarikat bergantung pada jarak dalam berkomunikasi, Pada mereka, mata dan telinga adalah untuk komunikasi yang bersifat pribadi.

Dalam beberapa budaya lain, sentuhan tubuh adalah biasa seperti halnya pertembungan mata. Untuk orang Amerika yang belum saling mengenal biasanya berbicara pada jarak empat kaki. Apabila ada orang yang mahu mendekatinya, maka itu dianggap menceroboh masuk ke ruang peribadi, lalu orang yang dilawan bercakap akan berundur kebelakang. Dalam budaya lain seperti di kalangan orang Arab di Timur Tengah, sentuhan dan ciuman sewaktu berkomunikasi adalah perkara biasa.

Di Amerika Selatan berbicara impersonal lazimnya dilakukan pada jarak dua atau tiga kaki, iaitu jarak yang biasa bagi berbicara secara personal untuk orang-orang Amerika Utara. Apabila orang-orang Amerika Selatan berbicara dengan orang-orang Amerika Utara, mereka sama-sama merasa canggung. Apabila orang Amerika Selatan itu maju ke depan supaya cukup selesa hampir, maka orang Amerika Utara akan merasa terlampau dekat, maka dia akan undur. Oleh sebab itu timbul cerita bahawa bagi menghindari jarak berkomunikasi yang terlalu rapat, orang Amerika Utara itu membuat halangan dengan meletakkan meja atau kerusi di antara mereka. Melihat itu dilakukan, kadang-kadang orang Amerika Selatan itu terus naik ke atas meja atau kerusi itu supaya dapat merapatkan jarak yang terlalu jauh bagi berbicara (Miller, ed. 1974: 266).

Aturan jarak ini memang dimengerti oleh para anggota dalam sesuatu budaya. Apabila dua orang Amerika Utara berbicara dalam jarak satu kaki atau kurang, kita dapat meneka bahawa mereka berbicara tentang perkara rahasia. Apabila jarak itu adalah antara dua hingga tiga kaki, mereka membicarakan persoalan pribadi. Sekiranya jarak itu empat hingga lima kaki, mereka membicarakan persoalan bukan ­peribadi. Sekiranya mereka berbicara dalam kalangan orang ramai, maka jaraknya biasany a adalah sepuluh hingga dua puluh kaki. Dan apabila jaraknya lebih dari itu, maka biasanya hanya ucapan salam saja, tidak mungkin berbicara pada jarak begitu.

Berikut ini adalah gambar rajah yang menunjukkan proses komunikasi dan alat
komunikasi, baik secara bahasa dan para­linguistik.


Diagram 1: Proses Komunikasi

Gambar rajah di atas difahami seperti berikut. Dalam proses komu­nikasi ada dua pihak terlibat, iaitu si pengirim (sender) mesej dan si penerima (receiver) mesej. Perkataan-perkataan yang digunakan bagi mengkomunikasikan idea ini disebut mesej (message). Mesej ini hanya sebagai pembawa idea yang disampaikan oleh si pengirim kepada si penerima. Dalam komunikasi ini ada proses menterjemahkan idea ke dalam perkataan-perkataan oleh pengirim, dan daripada perkataan-perkataan dalam idea oleh si penerima.

Bahasa itu mempengaruhi perilaku orang lain. Jikalau si penutur ingin melihat respons orang lain terhadap tutur katanya, dia dapat melihat maklum balas (feedback). Dengan begitu maklum balas berfungsi sebagai sistem yang menyemak respons dan apabila perlu bagi menyesuaikan penyampaian mesej itu.


Gambar Rajah 2: Alat Komunikasi

Dalam proses komunikasi sering kali tujuan komunikasi tidak tercapai. Perkara yang dikomunikasikan tidak sepenuhnya dapat dikomunikasi­kan. Perkara yang mengganggu dan menurunkan keberkesanan komunikasi ini disebut bising (noise). Bising ini boleh ada dalam tahap pembinaan kod (encoding) atau penghuraian kod (decoding) atau dalam kedua-dua tahap. Sebagai contoh, proses komunikasi terganggu oleh bising sebuah bas lalu. Bising bas yang lalu itu adalah bising yang dimaksudkan.

Selanjutnya proses pembinaan kod dan penghuraian kod ini berlangsung dalam tiga tahap seperti berikut:

Perkara yang ingin diujarkan oleh si pengirim, iaitu penutur, dirumuskan terlebih dulu dalam suatu kerangka idea. Proses ini disebut sebagai pembinaan kod makna.

Idea tersebut disusun dalam bentuk ayat yang gramatik. Proses ini disebut sebagi grammatical encoding. Setelah tersusun secara gramatikal, lalu idea tadi diucap­kan. Proses ini disebut pembinaan kod fonologikal.

Si penerima mesej tadi terus menghuraikan kod (atau menterjemahkan) ujaran si pengrim tadi. Pertama ujaran itu menjadi perangsang supaya diter­jemahkan. Inilah yang disebut sebagai penghuraian kod fonologi. Seterusnya proses ini diikuti oleh proses penghuraian gramatikal, dan akhir sekali dilakukan penghuraian semantik. Dalam kejadian sebenar, rentetan proses ini berlaku dengan sangat cepat. Kecepatan ini dipengaruhi banyak faktor, seperti kemampuan berbahasa dari kedua pihak yang ber­komunikasi.

Diagram di atas dapat difahami seperti huraian berikut. Dalam kajian linguistik sebagai kajian ilmiah terhadap bahasa, mengandungi tahap-tahap berikut; (1) tahap fonologi, (2) tahap morfologi dan (3) tahap sintaksis. Ketiga-tiga tahap ini membantu membentuk mesej yang disampaikan iaitu (4) tahap seman­tik. Dalam aspek paralinguistik pula termasuklah; (1) kualiti ujaran, iaitu pola ujaran seseorang seperti suara tinggi, tergagap-gagap, (2) menjadi sebahagian daripada fonologi yang terdiri daripada tekanan, kelangsingan dan dan intonasi,(3) tegak tubuh dan jarak, iaitu jarak antara dua pihak yang sedang berbicara, dan isyarat atau kinesik iaitu gerakan­-gerakan anggota tubuh seperti gerakan tangan, anggukan kepala dan sebangainya, (4) deria sentuh iaitu apa yang terasa oleh indra sentuh seperti kulit, dan (5) bau-bauan seperti yang terhidu oleh deria hidu.

Linguistik dan paralinguistik ini berfungsi sebagai alat komuni­kasi. Linguistik ini bersama-sama dengan keperihaan konteks situasi ini membina situasi tertentu dalam berbahasa dalam proses komunikasi. Yang dimaksudkan dengan konteks situasi itu adalah; (1) bahagian-bahagian wacana yang menjadi persekitaran perkataan atau petikan yang dapat menjelaskan makna, dan (2) perkara-perkara yang menjadi syarat saling berkaitan menentukan kewujudan sesuatu.

Dengan demikian maka konteks situasi bahasa dapat disimpul­kan sebagai suasana ketika ujaran berlangsung dan mempengaruhi makna ujaran itu. Dengan perkataan lain, lingkungan inilah yang memberi keistimewaan tersendiri pada makna perkataan atau ujaran dalam situasi sebenarnya.


Tugasan:

Apakah yang dikatakan komunikasi bukan lisan?
Jelaskan bagaimana proses komunikasi berlaku.
Alat komunikasi dalam komunikasi bukan lisan itu apa?

---------------

Sila ambil perhatian.

1. Buka entri rekod kumpulan dan kehadiran bagi mengetahui kumpulan anda untuk kehadiran kuliah.

2. Buka entri kumpulan tugasan dan prosedur menghantar tugasan.

3. Buka blog masing-masing untuk tugasan.a. http://sosiolinguistik.blogspot.com/ untuk kuliah

b. http://sosiolinguistiktugasan1.blogspot.com/ untuk tugasan kumpulan 1.

c. http://sosiolinguistiktugasan2.blogspot.com/ untuk tugasan kumpulan 2.

d. http://sosiolinguistiktugasan3.blogspot.com/ untuk tugasan kumpulan 3.

4. Maksud Komunikasi

3. MAKSUD KOMUNIKASI

Setelah melihat garis besar hakikat bahasa manusia yang dijelaskan di atas, kita memaklumi bahawa definisi itu dan juga definisi-definisi lainnya sama-sama abstrak dan berfungsi memudahkan hakikat bahasa yang sebenarnya. Inilah satu ciri keilmiahan: memudahkan sesuatu yang rumit dan merumit­kan sesuatu yang mudah. Hakikat bahasa baru terasa hanya bila kita membayangkan jikalau bahasa itu tiba-tiba hilang daripada masyarakat ujaran. Sekiranya itu berlaku, barulah kita mengetahui itulah fungsi bahasa, iaitu menjadi alat komunikasi dan sekaligus sebagai lambang sosial umat manusia. Apapun dan bagaimanapun definisi bahasa pada akhirnya berakhir pada proses komunikasi.

Apakah yang dikatakan komunikasi itu?

Komunikasi adalah proses bagaimana proses informasi antara individua ditukarkan melalui sistem simbol, tanda, atau tingkah laku yang umum.

Daripada definisi komunikasi di atas kita dapat mengatakan bahwa komu­nikasi adalah satu proses yang melibatkan:

Pihak yang berkomuni­kasi,
Informasi yang dikomunikasikan dan
Alat komunikasi.

Tidak ada komunikasi yang tidak melibatkan ketiga-tiga perkara di atas dan sesungguhnya manusia itu tidak akan terlepas daripada ketiga-tiga perkara ini. Pada masa bersendirian pun manusia dapat juga berkomunikasi, paling tidak dengan dirinya sendiri. Dalam hal ini kedua pihak yang berkomunikasi adalah peribadi yang sama, atau dengan alam lingkungannya. Semua tingkah laku manusia, dapat dikatakan bersifat komunikatif. Ini bermaksud seorang penyelidik mendapat informasi dengan memperhatikan tingkah laku seseorang, kendatipun seseorang itu tidak menyedari atau tidak bermaksud berkomunikasi dengan si penyelidik. lnilah kesan orang lain.

Seorang yang berjalan tergopoh-gopoh akan ditafsirkan ber­beza daripada yang berjalan lambat-lambat. Demikian pula yang berjalan dengan sebelah kaki diseret-seret mungkin ditafsirkan kaki tersebut terkehel. Tingkah laku tergopoh-gopoh, lambat­-lambat dan diseret-seret itu memberikan informasi, dan dapat dikatakan informatif, manakala istilah komunikatif biasanya digunakan bagi menjelaskan perilaku yang disengajakan bagi dikomunikasi­kan.

Ketiga tingkah laku itu memberitahu si penyelidik suatu informasi seperti halnya diberitahu melalui ujaran. Tingkah laku itu memberi informasi sebagai:

Saya harus mengejar kereta api jam 7.30 pagi.
Rihat saja dulu, kuliah bermula jam 8.40 pagi, masih ada waktu 20 minit.
Kaki kiri aku tadi digilis basikal.

Dengan demikian tingkah laku manusia, memang boleh membawa informasi dan menjadi sarana berkomunikasi. Dalam diri manusia dan makhluk hidup lainnya ada 'berjuta-juta' informasi. Manu­sia adalah makhluk informasi. Hidup itu sendiri adalah komuni­kasi. Secara psikologis kita menyimpulkan bahwa komunikasi itu sengaja atau tidak disengaja tergantung kepada si pengirim infor­masi dan si penerima informasi. Apakah kita merasa atau tidak diberi informasi atau dijadikan lawan berkomu­nikasi. Demikianlah kita melihat komunikasi dari aspek pelaku komunikasi. Selanjutnya mari kita melihat aspek kedua iaitu informasi atau yang dikomunikasikan.

Pendekatan tradisional terhadap bahasa sering menyatakan fungsi bahasa adalah sebagai 'komunikasi pikiran'. Pendekatan baru melihat ini sebagai terlalu sempit, walaupun dengan fikiran yang mencakup pula kepercayaan, pendapat, penilaian dan persepsi. Bagi mem­buktikan ini, Corder (73 :37) mengambil beberapa ayat seperti yang disesuaikan daripada contoh-contoh ayat dalam bahasa Melayu. Ayat-ayat ini tidak berubah maknanya jikalau kita meletakkan ungkapan 'Saya rasa' di depannya.

Kerajaan melakukan satu kesilapan.
Engkau patut pergi berjumpa doktor.
Rubiah balik esok.
Cantik kebaya kamu!

Tetapi lihatlah maksudnya menjadi berlainan apabila kita memasukkan ungkapan 'Saya rasa' di depan ayat-ayat berikut.

Tentu kamu tidak dapat menjawab soalan ini.
Itulah Tuk Budin yang sentiasa boleh diharap!
Tunjukkan saya jalan ke Stesen Sentral?
Adoi, sakit tu!
Insya Allah saya datang.
Esok saya beri keputusannya.

Apabila kita memasukkan ungkapan 'Saya rasa' di depan keenam-enam ungkapan di atas, maka makna atau tahap kesungguhan maksud ayat-ayat tersebut berubah. Sebagai contoh kita lihat ayat (3) sebagai satu ayat tanya. Kemudian kita masukkan ungkapan 'Saya rasa' di depannya.

3. ‘Saya rasa, tunjukkan saya jalan ke Stesen Sentral?

Jelas ada kejanggalan, maknanya juga tidak komunikatif. Demikian pula dengan ayat lainnya.

Kesimpulan bahawa fungsi bahasa itu adalah komunikasi fikiran memanglah wajar. Ini tidak menghairankan, dan dapat dilihat apabila kita melihat sejarah kajian bahasa pada masa lalu. Pada Zaman Pertengahan, iaitu antara T. M. 500 hingga 1500, para sarjana yang sangat tertarik dengan kajian bahasa adalah ahli falsafah atau lojik. Mereka memberi tumpuan kepada ayat-ayat yang boleh dianalisis sebagai alat menyatakan pernyataan (propo­sisi) benar atau salah. Memanglah bahasa pada masa itu digabungkan bersama dengan retorika dan logik dalam satu kumpulan tiga ilmu, yang dipanggil trivium dalam bahasa Latin. Kesulitan dalam pendekatan ini adalah bagaimana pula kita mahu menyatakan benar atau salah untuk ungkapan keinginan, kesenangan, rasa sakit, kepuasan, dan juga pertanyaan dan perintah itu benar atau salah.

Lihatlah ayat berikut:

Hapuskanlah air mata kamu!
Sudikah engkau mengundang aku?

Bagaimana kita dapat mengatakan ayat itu benar atau salah. Ini mungkin dilakukan sekiranya suasananya tidak sesuai, seperti: (1) yang diajak berbicara tidak menangis dan (2) yang diajak berbicara tidak tahu menahu tentang yang dibicarakan. Tetapi ini lain persoalannya, iaitu konteks suasana ujaran. Bukan kebenaran pernyataan! Dalam lojik, ayat yang mempunyai nilai benar atau salah adalah ayat nyata, sedangkan kita berbicara bukan ayat nyata saja.

Dengan demikian kesimpulan tentang 'komunikasi fikiran' itu hanya berdasarkan kepada sebahagian kecil data bahasa, dan mengkomunikasikan fikiran itu hanya satu daripada fungsi bahasa. Kita dapat menerima bahawa kebanyakan ayat mengandungi unsur-unsur yang mensyaratkan kepercayaan, pendapat atau persepsi akan situasi di sekeliling si penutur ujaran, namun ini tidak perlu membawa akibat kesimpulan bahawa fungsi bahasa adalah menyatakan fikiran semata. Fikiran adalah satu bahagian daripada informasi yang disampaikan dalam proses komunikasi.

Selanjutnya mari kita lihat aspek ketiga iaitu alat komunikasi. Alat komunikasi terbahagi kepada dua, iaitu lisan dan bukan lisan yang boleh digunakan dalam berkomunikasi.

Tugasan 3:

1. Apakah yang dikatakan komunikasi?
2. Apa berlaku sekiranya tidak ada bahasa?
3. Apa yang terlibat dalam komunikasi?
4. Apa maksud fungsi bahasa sebagai menyatakan fikiran/
5. Apa lagi yang dikomunikasikan secara bukan lisan?
6. Apa maksud pernyataan?
7. Apakah yang dikatakan pernyataan benar dan pernyataan salah?
8. Apa kekurangan mendefinisi makna sebagai pernyataan benar dan pernyataan salah?

-----------

Sila ambil perhatian.

1. Buka entri rekod kumpulan dan kehadiran bagi mengetahui kumpulan anda untuk kehadiran kuliah.

2. Buka entri kumpulan tugasan dan prosedur menghantar tugasan.

3. Buka blog masing-masing untuk tugasan.
a. http://sosiolinguistik.blogspot.com/ untuk kuliah
b. http://sosiolinguistiktugasan1.blogspot.com/ untuk tugasan kumpulan 1.
c. http://sosiolinguistiktugasan2.blogspot.com/ untuk tugasan kumpulan 2.
d. http://sosiolinguistiktugasan3.blogspot.com/ untuk tugasan kumpulan 3.