Friday, October 12, 2007

10 Oktober 2007

Pesan saya kepada kamu yang akan menjadi guru

Menjadi guru itu adalah profesion yang mulia.
Oleh itu guru mesti sentiasa berilmu.
Guru mesti mahir menggunakan kaedah mengajar.
Guru mesti panjang akal.

Guru mesti mahir dalam bahasa budaya tinggi.
Bahasa budaya tinggi menjadi wahana budaya dan intelektual tinggi.
Bahasa rendah adalah untuk budaya rendah.
"Street language is for street people."

Ikutlah pesan Nabi Luqman a.s. kepada anak-anaknya.
Sederhanakanlah lagak dan suara kamu.
Orang yang suaranya kasar dan bongkak dibenci Tuhan.

Ada sebuah peribahasa Arab yang berkata,
orang besar bercakap fasal idea,
orang kurang besar bercakap fasal peristiwa,
orang kecil bercakap fasal orang lain, dan
orang paling kecil bercakap fasal dirinya.

Jadilah orang besar.

Menjadi guru, bercakaplah fasal idea, fasal nilai, fasal ilmu, fasal budaya, fasal agama,
... bagi memandaikan anak bangsa.

Janganlah menjadi orang kecil, dan orang terkecil.

Semoga kamu menjadi guru yang berjasa.

Saturday, September 8, 2007

Kuliah Isnin 10 September 2007 dibatalkan

Kuliah pada hari Isnin 10 September 2007 dibatalkan

Perancangan Unsur Bahasa

Perancangan Unsur Bahasa
sebutan
ejaan
tatabahasa
kamus
pragmatik?


Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu
Mendesak Persekutuan Tanah Melayu menubuhkan Balai Pustaka (Dewan Bahasa dan Pustaka 1956)
"Bahasa Jiwa Bangsa" diterima sebagai cogan kata bahasa Melayu bahasa Kebangsaan
Penyatuan Bahasa Melayu dan bahasa Indonesia
Bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan, hendaklah diamalkan sebagai bahasa rasmi.
Membentuk jawatankuasa bagi menambahkan perkataan baru (istilah)

Teori Perancangan Unsur Bahasa
Kodifikasi
Adam Ferguson: codification
Punya Sloka Ray: standardization

Ejaan
Wilkinson 1905 Ejaan Sekolah (romawi)
Zaba 1953 terpakai hingga 1975
Ejaan Malindo

Ejaan
Ejaan Z'aba
Mengeja unsur Islam
Tidak consisten mengeja suku kata

Ada bunyi ě
sh, th, dh, dz, , ch, kh, gh, ny, ng,
di (cantum)
ke (cantum)
Sebutan

Ikut lidah Melayu
Akhir ě
Bunyi huruf Arab غ ظ ض ش زخ ع
Bunyi Inggeris V
ks, sk, dll

Istilah Sebelum 1975
Ikut sebutan Melayu
Sikap murni = bentuk daripada akronim
Tidak meinjam

Selepas 1975
MABIM – MABBIM
Pedoman Umum Pembentukan Istilah

Taksonomi ilmu
Sastera: geografi, sejarah dll
Sains Asas: Matematik, Kimia, Biologi, Fizik
Sains Gunaan

Langkah Pembentukan Istilah
Kata bahasa Melayu, klasik
Rumpun Melayu
Pinjam terjemah
Pinjam perkataan, ikut ejaan Inggeris

Kamus
Kamus Dewan 1970
Edisi ke-4 tahun 2004
Kamus ilmu (istilah)

Tatabahasa
Pelita Bahasa Melayu
Tatabahasa Dewan 1986 Morfologi
Tatabahasa Dewan 1989 Sintaksisajmuk = bentuk
Tatabahasa Dewan (Edisi Semakan) 2005

Tatabahasa Pegangan
Masalah tatabahasa

Golongan kata
Adjektif, adverba
Kata sendi
Ayat aktif/pasif

Kata majmuk dan simpulan bahasa
majmuk = bentuk
simpulan bahasa= makna budaya

Perancangan Bahasa

Peracangan Bahasa

Definisi Umum Sosiolinguistik
Sosiolinguistik adalah bidang ilmu yana mengkaji kesan sebarang aspek masyarakat ke atas bahasa.
Sosiologi bahasa pula mengkaji kesan bahasa terhadap masyarakatnya.
Kursus ini mengkaji kedua-duanya

Perancangan taraf dan bahan
Taraf: bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi (mentadbir negara dan menyampaikan pendidikan).
Bahan: ejaan, sebutan, tatabahasa, kamus, istilah (supaya efisien bagi menjalankan fungsinya.
1. Perancangan taraf bahasa Melayu

Perancangan bahasa samalah dengan perancangan lain.
Memilih bahasa atau dialek tertentu.
Meyakinkan pemimpin negara tentang kosnya.
Thorburn's (1971) atau Eastman's (1983) "Cost Benefit Analysis."

Bukan bidang baru
Fishman (1972) dan Eastman (1983:105) mengatakan ini bidang baru.
Ada banyak usaha lama seperti perancangan bahasa Norway, Hebrew, Turki, pernah diperbaiki supaya menjadi efisien.
Contoh: Haugen (1959), Kloss (1967), Fishman (1966, 68, 76, 78), Rubin (1971, 73, 78, 79), Ferguson (1968) dll.

Merancangkan Taraf bahasa Melayu menjadi Bahasa Kebangsaan
Pemilihan bahasa Melayu mengambil kira beberapa faktor
Komposisi penduduk
Bahasa kaum etnik dan peribumi
Keperluan politik

Penduduk Malaya(sia) 100 tahun
Tahun Jumlah Melayu + lain2 Cina India
1871 308,097 170,092 (55%) 104,615 (34%) 33,390(11%)
1891 910,123 444,624 (49%) 391,418 (43%) 74,081(09%)
1901 1,227,195 528,263 (43%) 583,396 (48%) 115,536(09%)
1911 2,644,489 1,463,187 (555) 914,143 (35%) 267,159(10%)
1921 3,338,545 1,623,014 (48%) 1,171,740 (35%) 471,536(17%)
1931 4,347,704 1,894,044 (44%) 1,704,452 (39%) 621,847(14%)
1941 5,545,173 2,350,234 (42%) 2,418,615 (44%) 776,324(14%)
1947 5,848,910 2,543,569 (44%) 2,614,667 (45%) 599,616(11%)
1970 10,434,034 5,795,000 (56%) 3,455,000 (33%) 933,000(09%)
1980 13,435,588 7,503,777 (56%) 4,438,505 (33%) 1,158,680(09%)

Keadaan multibahasa
Melayu + Jawa, Bugis, Banjar, Kampar dll.
Cina: Hokian, Kanton, Hakka, Hainan, Kwongsai, Henghua, Hokchia, dll.
India: Tamil, Telugu, Malayali, Bangala, Gujerati, Marathi, Oriya, Punjabi, Sinhalis (Sri Lanka), dll.
Asli: Temiar, Jah Hut, Mah Meri, Senoi, Jakun, Temuan, Biduanda, Kintak, Kensiu, dan Ce Wong.
Sabah & Sarawak (1963): Kadazan, Bajau, Murut, Iban, Melanau, Penan, dll.

Bahasa lain yang penting ..
bahasa Inggeris
Arab
Portugis
Peranakan ???

Mencari simbol identiti
Penduduk Persekutuan Tanah Melayu (Malaysia) bergabung bagi mendapatkan Kerajaan Sendiri (1955) dan Merdeka (1957).
1963, Singapura (hingga 1965), Sabah dan Sarawak membentuk Malaysia.
Penduduk yang berbilang kaum perlu bersatu mencari unsur yang menyatukan.

Memilih Bahasa Kebangsaan
Tunku Abdul Rahman, negara memerlukan bahasa kebangsaan bagi mewujudkan "a unified character and personality', Wong and Ee (1971:78).
People's Constitutional Proposals daripada AMCJA-PUTERA (All Malaya Council of Joint Action, mewakili Melayu, bukan Melayu (1947).
`The Malay Language should be the sole official language of the country. However, the use of other languages would be permitted' (Khong Kim Hong, 1984:113).
Constitution of Malaysia, 1981, Article 152.

Memerlukan nilai budaya sama
Bukan sekadar satu bahasa kebangsaan, tetapi mesti mempunyai nilai yang sama.
Sekoleh dianggap tempat yang paling sesuai bagi menanam nilai bersama.
Tetapi sekolah terpisah menurut kaum.
Akan menghasilkan tentangan politik, namun sekolah selalu dianggap saluran yang sesuai.
Disetujui, namu bahasa Melayu perlu dibina bagi menjalankan fungsi barunya.

ILTIZAM
Perangkaan Malaya 1987: 16.8 juta
Multietnik sejak seratus lima puluh lalu
Inggeris Melayu, China, India terpisah dari segi geografi, ekonomi dan sosialnya
Tugas utama mencapai kemerdekaan

Isu Bahasa
Memilih bahasa kebangsaan
Pemersatuan bangsa melalui satu bahasa
Taraf bahasa minoriti
Bahasa menyampaikan pendidikan
Bahasa untuk perhubungan dengan masyarakat luar

Cheeseman, Pengarah Pendidikan
Laporan Cheeseman 1946
... ada suatu masalah yang timbul daripada kepelbagaian kaum etnik: sebuah kelas di sekolah Inggeris itu ... mengandungi ... Sebanyak sebelas bahasa yang berlainan yang dituturkan oleh murid-muridnya" (Cheeseman 1946: 6-7).
Pengamatan beliau penting dan relevan mengenai isu pendidikan bahasa dan kesannya terhadap keadaan ekonomi rakyat

Pengamatan lain
Tidak ada sebuah bahasa vernakular yang boleh menjadi bahasa pengantar
Tanggungjawab kerajaan terhadap bahasa vernakular dan pendatang tidaklah mudah ditentukan; masalah c apabila masyarakat pendatang mula menetap
c. Masyarakat Cina mengekalkan pandangan nasionalistik Cina, dan bekalan buku-buku teks sekolah dari negara Cina pada masa itu memperkukuh kecenderungan ini.

Pengamatan
Masyarakat bumiputera mundur ... Kerana masyarakat dagang dan pekerja pendatang telah membolot pekerjaan-pekerjaan yang lumayan di Semenanjung ... Orang-orang Melayu c miskin untuk masuk ke sekolah Inggeris" (Cheeseman, 1946: 160)

Kesimpulan Cheeseman
Cheeseman melihat tiga isu penting:
mundurnya pendidikan orang Melayu dalam bahasanya sendiri,
masalah penyatuan etnik, dan
masalah bahasa pengantar.

Laporan Barnes 1950
Selama 150 tahun, orang Melayu jauh di belakang kaum etnik lain di tanah airnya sendiri.
Jawatankuasa Barnes (yang dianggotai oleh orang Melayu dan pegawai pendidikan Inggeris) memperakukan kaum Melayu dibantu
Supaya mereka mereka dapat mengambil tempatnya dalam masyarakat Malaya yang berbilang kelompok etnik itu, ...
Barnes 1950 mengajukan suatu jenis sekolah rendah
Terbuka kepada semua rakyat.

Ciri Utama Sekolah Kebangsaan
Pendidikan rendah percuma bagi kanak2 berbilang kaum berumur antara 6 – 12 tahun
Menghasilkan kanak2 dwibahasa
Peringkat menengah dan tinggi dalam aliran Inggeris" (Barnes, 1950: 20).
Tujuan
Sekolah rendah satu jenis: Sekolah Kebangsaan, atau sekolah Melayu.

Mempersatu bangsa melalui bahasa
Pada darjah 3: bahasa Inggeris menggantikan bahasa Melayu,
Dwibahasa pada umur 12 th boleh menuturkan kedua-dua bahasa ..." (Barnes 1951).

Akibat
Anak Cina dan India menggugurkan bahasa ibundanya, dan masuk sekolah kebangsaan
Cadangan jadi lemah, apabila Cina, India dan juga Melayu mahu sekolah rendah mereka sendiri
Penolakan

Kaum Cina menolak, akan membunuh bahasa Cina.
Walaupun keutamaan diberi kepada bahasa Melayu, guru pelatih Maktab Perguruan Sultan Idris, menetangnya dan menunjuk perasaan.
Perakuan itu akan membunuh bahasa Melayu, hanya menghidupkan bahasa Inggeris (Straits Budget, 18 Nov. 1952).

Laporan Fenn- Wu 1951
Fenn-Wu berkata "kelompok yang mahu mengekalkan budayanya, dan ketaatannya terletak di luar, tidak akan dapat berkhidmat dengan taatnya untuk Malaya.
Walau bagaimanapun, mereka menentang sebarang penurunan taraf bahasa Cina ke peringkat lebih rendah, .. Ini akan mengakibatkan penghapusan bahasa dan budaya Cina di Malaya

Reaksi lain
Hasrat ini, bertentangan.
Mengecam ketaatan kepada negara Cina memanglah benar, tetapi memberi ketaatan kepada sebuah negara baru merupakan suatu hal lain.
Mereka membuat pengamatan:

Pendapat Fenn-Wu
Bahasa Cina, Inggeris, Melayu dan Tamil merupakan bahasa pertama atau kedua bagi ramai rakyat Malaya. Dan "telah pernah dihujahkan bahawa pemersatuan dapat dicapai walaupun wujud bahasa-bahasa yang berlainan ... Pada pihak lain pula, pernah dihujahkan, bagi mewujudkan pertalian kemasyarakatan, ekonomi dan politik, maka perlulah wujud sebuah bahasa perhubungan, bagi menimbulkan pemersatuan rakyat Malaya" (Fenn©Wu 1951)

Fenn-Wu mahu bahasa Inggeris
Yang mereka maksudkan bahasa perhubungan itu bukan bahasa Melayu. Kata mereka "... manusia yang menuturkan bahasa Inggeris telah menubuhkan negara-negara besar c di seberang laut. Jadi kami mencurigai kebijaksanaan Malaya bagi membina negara berdasarkan identiti sejarah dan politik yang berlainan daripada itu" (Fenn-Wu 1951).

Fenn-Wu menyimpulkan
Bahasa Melayu .. patut jadi bahasa rasmi dan diajar di sekolah, tetapi tidak meletakkan bahasa
Melayu pada taraf itu.
Memperakukan Inggeris sebagai bahasa perdagangan di Malaya dan di dunia, dan pengajarannya hendaklah ditingkatkan di sekolah-sekolah Cina.
Bahasa Cina itu, sebuah bahasa besar di dunia "... dan bangsa-bangsa lain juga harus mendapat manfaat mempelajarinya"

Pergeseran bahasa

Pergeseran Bahasa

Berbeza antara komuniti yg berlainan
Komuniti besar berkuasa, pergeseran
Faktor sosial: perbezaan sosial

Migrasi
Politik, pendidikan
Menyebarkan dan mempromosi bahasa lain
Dasar Bahasa
Peranan media

Penghapusan bahasa
Malapetaka, musnah, dijajah, koloni jajahan kuasa Eropah
Gaelik di Scotland, Wales, Eire
Reinicke (1969:70-71) 1848, ada 624 sekolah berbahasa Hawaii (19,644 murid), 7 sekolah Inggeris (200 murid)
1893 Ratu Liliuokalani digulingkan oleh peniaga dan pengusaha ladang Amerika yang berbahasa Inggeris, tinggal 28 sekolah berbahasa Hawaii (552 murid), sekolah Inggeris 140 (10,160 murid)
1902 sekolah berbahasa Hawaii pupus.

Perubahan bahasa
Semua bahasa berubah melalui zaman
Kita mengetahui perubahan ini dengan melihat perubahan pada komuniti bahasa
Melayu Singapura: Melayu, domain keluarga.

Inbu Khaldun
Minda tertawan
Kagum
Benci pada bahasa sendiri
Pengguna
India 30,000 Bangalore kerja bergaji tinggi kerana berbahasa Inggeris, migrasi
300 juta hanya USD 1 sehari

Pengekalan Bahasa
Bergantung pada keluarga
Bahasa Yahudi, berhasil
Bergaul semula dengan masyarakat pendatang baru
Dasar bahasa Melayu
Pentadbiran
Pendidikan

Matematik dan sains
Pekerjaan
Falasi

Friday, August 24, 2007

Profil penduduk dan bahasa

BAB 1


PROFIL BAHASA-BAHASA MASYARAKAT MALAYSIA


1.1 Pengenalan

Malaysia tidak serupa dengan jiran-jirannya. Penduduknya lebih heterogen kalau dibandingkan dengan Thailand, Filipina dan Indonesia. Umumnya da tiga kaum besar yang berlainan etnik, budaya dan agama hidup di negara ini, iaitu: Melayu, Cina dan India. Ini menyebabkan kita membuat generalisasi yang penduduk Malaysia menuturkan tiga bahasa sahaja, satu bagi setiap kaum: Melayu bertutur bahasa Melayu, Cina bertutur bahasa Cina dan India bertutur bahasa India. Walau bagaimanapun, sebagai yang akan terlihat di dalam perbincangan yang berikut, bahawa, keadaannya tidaklah semudah itu. Ada benarnya orang Melayu bertutur bahasa Melayu, tetapi keadaannya tidaklah demikian dengan orang Cina dan India.
Bahasa Melayu adalah lingua franca Malaysia. Bahasa Melayu itu dituturkan oleh kaum Melayu dan kaum lain untuk perhubungan di dalam dan di antara kaum. Walaupun kaum-kaum ini terpisah dari segi kebudayaan, geografi dan ekonomi, mereka masih perlu berhubung antara satu sama lain dalam aktiviti harian mereka. Generasi baru pula mempunyai peluang yang lebih besar untuk berhubungan melalui sistem pendidikan kebangsaan yang umum bagi semua kaum. Satu lagi perkembangan baru ialah bahawa kelas pertengahan yang kian menjadi penting semakin mempunyai peluang yang lebih besar untuk berhubungan dan bergaul baik di dalam atau di luar konteks pekerjaan. Walau bagaimanapun, kelas menengah ini lebih gemar menggunakan bahasa Inggeris daripada bahasa Melayu. Jadi kewujudan mereka mungkin tidak begitu membantu memesatkan perkembangan bahasa Melayu. Namun demikian, penggunaan bahasa Melayu itu semakin menunjukkan perkembangan yang sihat dari segi bilangan penutur dan perkembangan daerah. Kefasihan mereka bergantung pada keperluan mereka di dalam menggunakan bahasa Melayu dan juga umur mereka. Kaum bukan Melayu yang tergolong kepada generasi tua, mungkin mempunyai hubungan yang terhad dengan penutur-penutur bahasa Melayu. Kebanyakannya hanya mampu bertutur di dalam bahasa Melayu pasar atau kacukan yang sangat terhad. Tetapi generasi yang lebih muda telah belajar bahasa Melayu dengan lebih sistematis dan berkesan di sekolah-sekolah dan melalui pergaulan yang lebih meluas. Kefasihan bahasa Melayu mereka telah menjadi lebih tinggi. Mereka mampu menggunakan bahasa Melayu bukan saja untuk perhubungan dan pergaulan, tetapi juga untuk fungsi-fungsi rasmi.

Demi untuk mengatasi masalah inilah maka selepas pergaduhan kaum pada tahun 1969, maka istilah bahasa Malaysia telah timbul. Ia adalah berasaskan bahasa Melayu, dan ini berlaku secara spontan sebagai hasrat bersama rakyat Malaysia untuk membentuk satu identiti baru. Ini akan disentuh lagi dalam perbincangan berikutan. Istilah bahasa Malaysia itu akan digunakan seterusnya di dalam buku ini.

1.2 Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Vernakular

Setelah disentuh sedikit mengenai bahasa-bahasa penduduk Malaysia menurut kaumnya, bolehlah pula kita melihat keseluruhan bahasa masyarakat yang kompleks ini. Istilah kaum sengaja digunakan untuk menunjukkan keseragaman unsur-unsur lain seperti agama, adat yang wujud di dalam masyarakat tersebut. Sebenarnya kaum-kaum itu dibezakan menurut bahasanya sebab unsur-unsur lain itu walaupun sangat berbeza, tetapi tidaklah menjadi perbezaan penting. Telah dikatakan bahawa ramai orang memegang pandang umum iaitu setiap kaum itu memutuskan satu bahasa. tetapi pemerhatian yang lebih rapat terhadap setiap kaum akan mendedahkan keadaan yang sangat berbeza. Setiap kaum sebenarnya mempunyai subkaum, dan setiap satunya menuturkan bahasa yang berlainan. Dengan itu kita dapat mengatakan bahasa-bahasa yang dituturkan di Malaysia adalah seperti di bawah. Untuk pengetahuan lanjut lihatlah Asmah Hj. Omar 1975: 12-28, 1982, 1985.

Bahasa-Bahasa Malaysia Semenanjung

Bumiputera
Cina
India
Lain-Lain
Melayu (termasuk Melayu Indonesia)
Jakun
Semai
Negrito
Hokkien
Kanton
Hakka
Teochew
Hainan
Kwongsai
Hokchiu
Hengchua
Hokchia
Tamil
Telugu
Malayalam
Gujarati
Oriya
Marathi
Punjabi
Benggala
Hindi
Urdu
Thai
Inggeris
Arab
Portugis


Bahasa-Bahasa di Malaysia Timur: Sabah

Bumiputera
Cina
India
Lain-Lain
Dusun/Kadazan
(Rungus, Kadazan, Lotud)
Murut (Murut, Sumambua
Bajau
Illanun
Melayu (termasuk Melayu Indonesia)
Paitan
Suluk
Bisayah
Lun Dayeh
Hakka

Kanton
Hokkien

Teochew
Hainan

Tamil
Urdu
Inggeris


Bahasa-Bahasa di Malaysia Timur: Sarawak

Bumiputera
Cina
India
Lain-Lain
Iban
Melanau
Melayu (termasuk Melayu Indonesia)
Bisayah
Kadayan
Kayan
Kenyak
Kelabit
Narom
Penam
Bidayuh (Bedayah, Biatah)
Lun Bawang
Kanton
Foochow
Hakka
Henghua
Hokkien
Hainan
Teochew
Tamil
Inggeris


Perkara yang jelas daripada jadual-jadual di atas ialah bahawa bahasa-bahasa di Malaysia memang banyak. Walaupun demikian Malaysia telah berjaya memilih satu bahasa perantaraan untuk berhubungan, iaitu bahasa Melayu yang dinamai semula sebagai bahasa Malaysia, iaitu Bahasa Kebangsaan Malaysia. Pemakaian bahasa Inggeris tidak seluas yang difikirkan oleh ramai orang. Memang benar bahasa Inggeris menduduki tempat yang istimewa di Malaysia. Bahasa Inggeris telah menjadi bahasa rasmi di Malaysia sebelum merdeka dan selama sepuluh tahun selepas itu. Sebenarnya, masih ada pemakaiannya yang bertahan kuat di dalam sektor swasta dan beberapa jabatan kerajaan seperti kehakiman, perubatan, dan ketenteraan walaupun hingga ke hari ini, dan oleh itu pengekalan kelas menengah yang terus menggunakannya sebagai bahasa perhubungan umum dan sosial. Tetapi, penduduk umum tidaklah menuturkannya. Pendek kata tatkala Malaysia (Malaya) merdeka pada tahun 1957, bahasa Inggeris hanya dituturkan oleh 10% penduduk Malaysia (Angkatan Sasterawan 50: 1962). Peratusan ini mungkin tidak jauh berubah sebab penduduk Malaysia pun bertambah. Tetapi, kemungkinannya ialah, walaupun jumlah mungkin bertambah, tetapi peratusannya mungkin menurun. Walau bagaimanapun, bahasa Inggeris sangatlah penting di Malaysia sebagai bahasa perdagangan dan teknologi. Malah bahasa Inggeris amatlah penting sebagai bahasa penyalur kemodenan. Tetapi ia tidaklah dituturkan oleh semua orang. Mungkin inilah perbezaan penting di antara bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris.


1.3 Bahasa Bumiputera dan Bahasa Perhubungan Luas

Bahasa Malaysia adalah bahasa yang lebih luas tersebar dan dituturkan di antara kaum-kaum bumiputera. Ia adalah di antara lingua franca atau LWC (Language of Wider Communication) sama ada di Malaysia Barat atau Timur. Perasaan ini telah diwarisinya sejak berkembangan empayar Melayu Seriwijaya di sekitar tahun 600 SM. Catatan pelayaran atau perdagangan orang China dan Sepanyol telah membuktikan hal ini.
Tidak syak lagi bahawa bahasa Melayu adalah satu daripada bahasa terpenting di dunia; bahasa Melayu dituturkan oleh hampir 180 juta penutur di Asia Tenggara ini dan menjadi bahasa Kebangsaan empat negara, iaitu: Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam. Memanglah Indonesia mengandungi jumlah penutur yang teramai iaitu penduduknya lebih daripada 150 juta orang walaupun tidak semuanya menuturkan bahasa tersebut sebagai bahasa kandung. Malaysia pula mempunyai seramai 15 juta penduduk dan di samping itu penduduk Singapura dan Brunei Darussalam juga perlu diambil kira. Di sekitar dunia bahasa Melayu ini pula terdapat lebih kurang 3 juta penutur di Thailand Selatan, 2 juta di Filipina Selatan, dan jumlah-jumlah kecil di Kampuchea, Sri Langka, dan tidak harus dilupakan penduduk Pulau Cocos, walaupun kecil dari segi jumlah, tetapi besar ertinya dari segi penyebaran wilayah.
Walaupun demikian, bahasa Inggeris itu tidaklah semakin hapus, Cuma peringkat kefasihannya merosot bagi setengah-setengah kaum. Walau bagaimanapun, melalui dasar baru pelajaran yang termaktub dalam Dasar Ekonomi Baru telah mewajibkan bahasa Inggeris di sekolah-sekolah untuk memberi peluang yang lebih besar kepada ramai orang, tetapi penguasaannya terhad. Ia tidak lagi merupakan monopoli penduduk bandar dan yang kaya. Tetapi bahasa Inggeris itu tidaklah pula merebak ke luar bandar. Biasanya mereka yang datang dari luar bandar akan menetap di bandar kerana urusan tugas dan kemudahan lain.

Peringkat kemahiran dalam bahasa Inggeris itu berbeza-beza dari kemampuan yang menandingi penutur kandung, hingga kepada bahasa Inggeris campuran (Pidgin, Broken English). Memang benar bahasa Inggeris telah bertambah dari segi penuturnya, tetapi peluasan kawasannya tidak berlaku. Dan adalah wajar juga dikatakan peratusannya juga tidak bertambah. Bahasa Inggeris tidak pernah berkembang ke luar bandar.

Bahasa Arab pula digunakan di dalam bidang agama dan tidak pernah digunakan untuk bahasa perhubungan melainkan untuk kelompok yang terhad. Sebenarnya bilangan penuturnya pun tidak banyak. Tetapi bahasa Arab ini amat penting bagi orang Melayu yang beragama Islam kerana ia adalah bahasa agama. Semua orang Islam termasuk yang bukan Melayu perlu menguasai sedikit bahasa Arab dan mempelajari ayat-ayat al-Quran demi kepentingan agama Islam yang mereka anuti. Mereka biasanya boleh membaca tulisan Arab dengan ketepatan yang agak tinggi walaupun dengan tidak mengetahui maknanya. Walau bagaimanapun mereka tidak mempunyai kemahiran untuk bertutur dalam bahasa ini. Dengan meningkatnya keghairahan terhadap agama Islam, maka darjat bahasa tersebut di negara ini juga telah meningkat. Penubuhan Universiti Islam Antarabangsa pada tahun 1984 yang menggunakan bahasa Arab sebagai sebahagian daripada bahasa pengantarnya, akan menjadi suatu motivasi yang kuat untuk pihak tertentu mempelajari bahasa Arab.


1.4 Bilangan Penutur-Penutur Bahasa

Malaysia terdiri daripada Semenanjung Malaysia dan negeri Sabah dan Sarawak, kesemuanya seluas 130,000 batu persegi. Sabah dan Sarawak terletak di utara dan barat Pulau Borneo. Menurut banci tahun 1970, penduduknya adalah seperti tercatat dalam jadual pada halaman berikut.

Untuk melihat komposisi masyarakat ini dengan lebih jelas maka kita akan melihat penduduk-penduduk di Semenanjung, Sabah dan Sarawak secara berasingan.

Masyarakat-Masyarakat Menurut Bahasa di Malaysia

No.
Masyarakat
Bilangan
Peratus
1.
2.
3.
4.
5.
6.
7.
Melayu
Cina
India
Dayak (Iban&Melanau)
Kadazan (Dusun)
Masyarakat bumiputera lain
Masyarakat kaum lain-lain
4,886,942
3,555,879
942,944
386,260
184,512
350,174
145,628
46.8
34.1
9.0
3.7
1.8
4.0
1.4

Jumlah
10,452,309
100.00


1.4.1 Masyarakat Penutur-Penutur Bahasa di Semenanjung
Dalam banci 1970 penduduk Malaysia di Semenanjung berjumlah 8,810,348. Dari jumlah ini 53% adalah kaum Melayu, 35% Cina, 10% India dan Pakistan dan selebihnya terdiri daripada kaum-kaum minoriti lain. Ini dapat dilihat dalam jadual di bawah. Kaum-kaum lain yang kecil itu ialah Thai, Arab, Serani dan Orang Asli.


Masyarakat Bahasa di Semenanjung

No.
Masyarakat
Bilangan
Peratus
1.
2.
3.
4.
Melayu
Cina
India + Pakistan
Lain-lain
4,685,830
3,122,350
932,629
69,531
53.2
35.4
10.8
0.8

Jumlah
8,810,348
100.00

(i) Melayu

Daripada 4,685,838 orang Melayu di Semenanjung itu, 93% daripadanya adalah Melayu bumiputera dan 6.3% adalah kaum daripada Indonesia, dan 1.5% terdiri daripada orang-orang Asli seperti Jakun, Negrito, Senoi, (I.S. Carey: 1963).

Kelompok-Kelompok Masyarakat Melayu

No.
Masyarakat
Bilangan
Peratus
1.
2.
3.
Melayu
Indonesia
Bumiputera lain
4,392,203
222,698
70,937
97.3
4.8
1.5

Jumlah
4,685,838
100.00

Dari segi bahasa, orang-orang Melayu itu dapat dikatakan menuturkan bahasa Melayu yang agak seragam, iaitu bahasa Melayu, melainkan orang-orang Asli yang terdiri daripada banyak kelompok bahasa kecil yang lain-lain. Ini adalah cirinya yang paling penting berbeza daripada masyarakat Cina dan India yang setiap satunya menuturkan banyak bahasa yang berlainan.

(ii) Cina
Dari segi perangkaan kaum Cina adalah kaum kedua terbesar di kalangan penduduk Malaysia. Mereka tinggal kebanyakannya di kawasan perbandaran dan lombong. Kepercayaan umum menganggap kaum Cina ini menuturkan banyak dialek yang berlainan. Kelainan di antara satu dialek dengan yang lain itu adalah besar, sehinggakan dialek-dialek itu tidak difahami antara satu dengan lain. Ini merupakan ciri dialek-dialek Cina dari negara asal yang berbeza dari satu daerah ke daerah lain. Misalnya bahasa Cina di Beijing menggunakan sistem empat tona dan yang di Selatan menggunakan sistem sebelas tona. Kalau tidak kerana sistem tulisannya yang menggunakan ideogram yang sama, maka mereka tidak dapat memahami antara satu sama lain. Sebenarnya dari segi linguistik, dialek-dialek tersebut adalah bahasa-bahasa yang betul-betul berasingan. Ada empat golongan besar di antara kaum Cina di Semenanjung, yang lainnya adalah kumpulan kecil-kecil. Golongan Hokkien ialah yang terbesar dengan 34% dan Hakka 22%, Kanton 20% dan Teochew 12%. Golongan-golongan lain adalah kecil-kecil dan ini dapat dilihat dalam jadual berikut.
Ada satu kesalahfahaman umum, iaitu mereka menganggap kaum Cina itu terdiri dari satu kelompok saja. Sebenarnya, ini tidak berlaku. Mereka terpisah dan andaian yang mengatakan mereka menuturkan satu bahasa itu adalah tidak tepat. Golongan-golongan yang terpisah ini kerap mempunyai bahasa, budaya dan profesion yang berlainan. Bilangan mereka dapat dilihat di dalam jadual berikut:

Kelompok-Kelompok Bahasa Cina

No.
Masyarakat
Bilangan
Peratus
1.
2.
3.
4.
5.
6.
7.
8.
9.
10.
Hokkien
Hakka (Khek)
Kanton
Teochew
Hainan
Kwongsai
Hokchiu
Henghua
Hokchia
Kelompok-Kelompok lain
1,068,803
690,821
617,588
387,048
145,758
77,577
57,095
16,924
9,038
51,697
34.2
22.1
19.8
12.4
4.7
2.5
1.8
0.5
0.3
1.7

Jumlah
3,122,350
100.00

Ada satu lagi bahasa Cina yang tidak disebut setakat ini iaitu Mandarin. Bahasa Mandarin dituturkan oleh semua masyarakat Cina yang mengikuti sistem pendidikan Cina yang disampaikan melalui bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah Cina. Walau bagaimanapun, bahasa Mandarin jarang menjadi bahasa keluarga, walaupun ini telah mula menjadi satu hasrat dan kebiasaan di kalangan generasi muda, lebih-lebih lagi di kalangan kelas menengah.

(iii) India
Orang-orang India ialah kaum yang ketiga terbesar di antara penduduk Malaysia. Orang India juga tidak merupakan satu masyarakat yang homogen seperti yang kerap dianggap. Ada banyak kaum orang-orang India yang terpisah oleh banyak bahasa yang berlainan, malah lebih banyak daripada bahasa-bahasa Cina. Ini dapat dilihat di dalam jadual di bawah.

Kelompok-Kelompok Bahasa India

No.
Masyarakat
Bilangan
Peratus
1.
2.
3.
4.
5.
6.
7.
8.
9.
10.
11.
Tamil
Malayalam
Telugu
Hindi
Urdu
Benggali
Punjab
Singhalis
Gujerati
Marathi
Oriya
754,256
41,794




136,399
80.9
4.5




14.6

Jumlah
942,944
100.00

Di antara kaum India ini, golongan masyarakat Tamil adalah yang terbesar, iaitu 80% daripada jumlahnya. Kedua ialah kaum Malayalam 4.5% dan lainnya terdiri daripada orang-orang Pakistan dan Sri Langka. Di antara orang-orang Pakistan ini bahasa yang dituturkannya ialah Urdu, Hindi, dan Benggali dan masyarakat Sri Langka pula menuturkan bahasa Sinhalis dan Tamil. Di antara masyarakat India yang lain, terdapat bahasa Telugu, Gujerati, Marathi, Oriya, dan Punjabi. Setiap satunya adalah kecil bilangan penuturnya, tetapi jumlah kaum India seluruhnya agak besar juga.

(iv) Lain-Lain
Di samping tiga masyarakat pendata yang besar ini terdapat beberapa masyarakat minoriti yang lain. Setiap satunya menuturkan bahasa masing-masing. Pertama, ialah kaum Thai yang menuturkan bahasa Melayu dan tinggal di kawasan sempadan. Kedua, ada satu kumpulan kecil masyarakat keturunan Portugis di Melaka yang masih menuturkan suatu bahasa kacukan yang berasaskan bahasa Portugis dan Melayu. Ketiga, terdapat pula suatu kumpulan kecil Arab yang mengekalkan bahasanya, terutama sekali di Pulau Pinang (dan Singapura) dan di institusi-institusi yang mengajar bahasa Arab. Akhirnya, pemerintah penjajah Inggeris telah meninggalkan segolongan kecil masyarakat keturunan Inggeris dan Eropah yang biasa dikenali sebagai Senari, yang masih menggunakan bahasa Inggeris di kalangan keluarga masing-masing. Mereka kebanyakannya tinggal di bandar-bandar besar terutamanya Pulau Pinang.

1.4.2 Masyarakat Bahasa di Sabah
Banci terakhir Sabah 1970, menunjukkan bahawa Sabah mempunyai penduduk seramai 633,204 orang. Ini telah banyak bertambah sekarang, tetapi kadar peratusnya mungkin tidak banyak berubah. Daripada jumlah ini Kadazan (Dusun) merupakan yang terbesar dengan 28% daripada jumlah tersebut. Kaum bumiputera yang lain adalah juga banyak seperti: Murut, Bajau, Paitan, Suluk, Bisayah dan Illanun. Di samping itu terdapat juga masyarakat pendatang Filipina dan Indonesia. Keseluruhannya berjumlah 36%. Kaum Cina adalah yang kedua terbesar dengan 21% daripada jumlah tersebut. Kaum Melayu agak kecil seramai 3%. Selainnya ialah campuran masyarakat Eropah dan keturunannya. Ini dapat dilihat dalam jadual berikut.



Masyarakat Bahasa Sabah

No.
Masyarakat
Bilangan
Peratus
1.
2.
3.
4.
5.
Kadazan
Bumiputera lain
Cina
Melayu
Lain-lain
184,512
234,201
139,509
18,365
76,677
28.2
35.9
21.4
2.8
11.7

Jumlah
653,264
100.00

1.4.3 Masyarakat Bahasa di Sarawak

Banci tahun 1970 juga menunjukkan bahawa Sarawak mempunyai penduduk seramai 975,918 orang. Penduduk Sarawak terbahagi kepada masyarakat-masyarakat seperti: Iban, Dayak, Melanau, 40%, Cina 30%, dan Melayu 10%. Selebihnya ialah masyarakat bumiputera lain 10% dan kaum-kaum lain 10%. Ini dapat dilihat di dalam jadual di bawah.

Masyarakat Bahasa Sarawak

No.
Masyarakat
Bilangan
Peratus
1.
2.
3.
4.
5.
Dayak
Cina
Melayu
Bumiputera lain
Kaum-kaum lain
386,918
294,020
182,709
103,194
9,735
40
30
10
10
10

Jumlah
975,918
100.00


1.5 Pola Pemerolehan Bahasa

Kebanyakan orang Malaysia akan memperoleh kemahiran di dalam bahasa Melayu (bahasa Malaysia) sekurang-kurangnya dalam bentuk bahasa pasar. Orang-orang Melayu memperoleh sebagai bahasa kandung dan diperkukuh secara formal di sekolah. Walau bagaimanapun, bahasa Malaysia baku masih belum begitu berkembang lebih-lebih lagi dalam bentuk pertuturan. Bahasa Malaysia baku itu memang sudah wujud, cuma penguasaan oleh penutur-penutur bahasa Malaysia masih berkembang.
Masyarakat bukan Melayu memperoleh kemahiran bahasa Malaysia melalui dua cara. Pertama ialah melalui perhubungan dalam keperluan harian di dalam suatu masyarakat berbilang bahasa, dan biasanya bahasa Malaysia dipilih sebagai bahasa perantara. Oleh itu mereka terpaksalah mempunyai kemahiran yang mencukupi, untuk membolehkan mereka berhubungan dengan berkesan, sekurang-kurangnya dalam bentuk bahasa pasar. Kebiasaannya, mereka akan menggunakan struktur bahasa kandung masing-masing seperti Hokkien atau Tamil dan menggunakan kosa kata bahasa Malaysia, dan ada kalanya bercampur Inggeris (Abdullah Hassan, 1969).
Bahasa-bahasa lain yang dituturkan di Malaysia juga dikuasai dengan cara yang lebih kurang sama. Seseorang kanak-kanak akan memperoleh bahasa ibu bapa mereka dari keluarga masing-masing dan mempelajari lebih daripada satu atau dua bahasa lain secara formal lain di sekolah. Oleh yang demikian seseorang bukan Melayu itu akan mempelajari lebih daripada satu bahasa, iaitu: bahasa kandungnya dan bahasa Malaysia di sekolah, atau bahasa Mandarin dan bahasa Inggeris. Oleh itu, Malaysia mempunyai satu fenomena linguistik yang unik. Setiap orang Malaysia berkemungkinan menguasai lebih daripada satu bahasa, dan ada yang menguasai dua, tiga atau empat bahasa. Malah ini telah memberi Malaysia suatu keadaan yang sangat unik, dan menyebabkan fenomena pertukaran kod berlaku dengan berleluasa sebagai strategi perhubungan mereka.
Oleh keadaan beginilah, maka bahasa Malaysia itu terpilih, sebagai bahasa kebangsaan Malaysia, dan perlu dirancang dan dibina serta diperkembang dengan rapi. Setakat ini, perkembangannya agak sihat, dan buku ini akan memberi perhatian terhadap aspek-aspek perancangan bahasa Malaysia yang telah dijalankan itu dengan lebih terperinci.

Teori Perancangan Bahasa

SEJARAH PERANCANGAN BAHASA

Perancangan bahasa menjadi satu aktiviti penting bagi negara-negara yang ingin membentuk identiti baru. Aktiviti ini menjadi menonjol dengan usaha Einar Haugen yang telah membina Landsmal, sebuah dialek di Norway sehingga menjadi bahasa kebangsaan Norway. Banyak lagi usaha sedemikian dijalankan di negara-negara lain, lebih-lebih lagi di negara-negara yang baru mencapai kemerdekaan selepas Peperangan Dunia Kedua. Negera-negara seperti India, Nigeria, Kenya, Zambia, Indonesia, Filipina dan Malaysia mahu membina identiti baru selepas merdeka daripada penjajahan Inggeris.

Sebenarnya ini bukan satu usaha baru. Banyak negara lain yang menjalankan usaha demikian pada zaman sebelum itu. Pengekodan tatabahasa Yunani dijalankan pada zaman kerajaan Helenistik dan Iskandar Agung. Bahasa Sanskrit juga dikodifikasi kira-kira 2000 tahun sebelum Masehi dengan tujuan memantapkannya supaya tidak berubah demi kepentingan agama Hindu. Selepas Revolusi Perancis di Eropah, revolusi bahasa berlaku di Norway, Greece, Belgium, Rumania, Hungary, dan Bulgaria. Banyak usaha penyelarasan dan pembakuan bahasa berlaku. Selepas Peperangan Dunia Pertama, Finland, Estonia, Latvia, Lithuania, Iceland dan Eyre juga menjalankan perancangan terhadap bahasa masing-masing. Bahasa Rusia berkembang selepas Revolusi Rusia. Demikian juga, bahasa Turki menggantikan aksara Arab yang digunakannya dengan aksara Rumi dalam revolusi memodenkan bahasa Turki.

Pada tahun 1582, Duke Cosimo, selepas diyakinkan oleh para penulis, telah menubuhkan Accademica della Cusca, yang bertujuan membersihkan bahasa Itali daripada pencemaran dan mempertahankan kemurniannya. Kardina Richelieu pua di dalam usahanya memusatkan kuasa di Perancis, telah menubuhkan Acadēmie Francaise pada tahun 1653, bertujuan untuk membentuk rumusan yang lebih jelas mengenai bahasa dan tatabahasa. Institusi ini tidak merasmikan bahasa Perancis dan menyuburkannya, tetapi badan itu lebih berupa suatu simbol daripada betul-betul berkuasa. Ini dapat dilihat daripada hasilnya; sebuah kamus yang hanya terbit pada tahun 1964, dan ejaan Perancis hanya dirasmikan pada tahun 1835.

Selepas itu, Sepanyol, Sweden, dan Hungary menubuhkan akademi bahasa, masing-masing pada tahun 1713, 1739, dan 1830. Walau bagaimanapun mereka lebih memberatkan hal-hal ketepatan ejaan, samalah seperti aktiviti Acadēmie Francaise. Dan, tidaklah diketahui sejauh manakah akademi ini membantu pertumbuhan bahasa. Di negara yang tidak mempunyai akademi, ada juga kuasa individu yang wujud untuk menyelaraskan bahasa seperti yang dilakukan oleh Milton, Swift, Dryden dan Defoe untuk bahasa Inggeris dan Jerman. Adamtias Korais (1748-1863) pula, telah mencuba membentuk bahasa Yunani murni dengan menggunakan bahasa agama dan ilmu, dan menjauhkan peminjaman. Pada tahun 1814 Vuk Stefanuric Karadzic, menulis tatabahasa untuk bahasa Yugoslavia, dan pada tahun 1818 di menerbitkan sebuah kamus. Ivar Aasen, membuat perkara yang sama untuk bahasa Norway dengan menghasilkan sebuah tatabahasa pada tahun 1864 dan sebuah kamus pada tahun 1873.

Dengan usaha-usaha ini perancangan bahasa telah lahir. Manusia telah meletakkan nilai tertentu untuk bahasa dan merancangkan langkah-langkah untuk mebolehkan semua penutur menurutinya.

Pada zaman moden, dengan penduduk yang mempunyai ilmu yang bertambah, dan peringkat intelektual yang meningkat, bahasa yang baku yang mungkin tidak begitu penting untuk kesusasteraan, adalah semakin penting dan diperlukan untuk ilmu. Di Turki, Kamal Ataturk, dalam usahanya meningkatkan bahasa Turki, menukar ejaannya daripada Jawi ke Rumi, supaya ia setanding dengan bahasa lain di dunia. Di Czechoslovakia, suruhanjaya bahasa Greek dan Slovak telah giat berusaha untuk membakukan dan menyuburkan istilah. Dalam beberapa persidangan di kalangan mereka di antara 1945-50, sebuah tatabahasa, dan sebuah sistem ejaan telah dibentuk. Di semenanjung Scandinavia pula, setiap negara di semenanjung itu menubuhkan jawatankuasa istilah dalam usaha meningkatkan kerjasama kebahasaan. Seterusnya, di Israel, Jawatankuasa Bahasa Hebrew telah terus bekerja dan akhirnya ditukar menjadi sebuah akademi, dan telah berjaya merancangkan bahasa Israel moden sekarang. Daripada sebuah bahasa kuno yang mati, ia telah menjadi bahasa yang sudah hidup.

Jelas pada kita bahawa usaha-usaha ini, dilakukan demi meningkatkan keupayaan bahasa-bahasa tersebut supaya dapat mengungkapkan budaya ilmu yang semakin meningkat. Ini telah dilakukan dalam usaha perancangan kebudayaan yang lebih luas. Setiap masa ilmu dan budaya sesuatu bangsa itu berkembang dan memerlukan bahasa yang lebih mampu dan anjal untuk menampung perkembangan budaya tersebut.

Definisi Perancangan Bahasa

Istilah perancangan bahasa (language planning) itu mula digunakan oleh E. Haugen (1959) di dalam penulisannya apabila dia merancangkan bahasa Norway. Di dalam usaha tersebut. Haugen telah mendefinisikan perancangan bahasa sebagai merangkumi usaha-usaha yang dijalankan oleh pertubuhan atau jawatankuasa tertentu, mencakupi segala usaha yang dijalankan oleh pertubuhan tersebut untuk penyuburan bahasa dan melibatkan usaha-usaha pembinaan, pengubahsuaian dan pembakuan yang dilakukan kepada sesuatu bahasa yang berkenaan.

Sebenarnya telah ramai ahli bahasa yang pernah membincangkan perancangan bahasa ini, dan ada pula di antara mereka yang menggunakan istilah yang berlainan untuk memaksudkan aktiviti yang sama. R.A. Hall Jr. (1951) telah menggunakan istilah politik bahasa (glottopolitics) yang merujuk kepada penerapan ilmu linguistik kepada penerapan ilmu linguistik kepada dasar kerajaan untuk menentukan kaedah tertentu yang dipilih untuk mewujudkan keadaan dwibahasa di dalam kawasan jajahan yang mempunyai budaya yang berbeza. G.P. Springer (1956) menggunakan istilah penjuruteraan bahasa (language engineering) dan merujuk kepada usaha pengabjadan dan pembakuan bahasa yang belum baku di Soviet. Sutan Takdir Alisjahbana (1961) juga telah menggunakan istilah ‘penjuruteraan bahasa’ untuk merujuk kepada aktiviti yang dilakukan secara sedar bagi mengembangkan bahasa di dalam konteks sosial, budaya, dan perubahan teknologi yang lebih luas. Juga, ada sarjana lain yang pernah menggunakan istilah penjuruteraan bahasa untuk merujuk kepada aktiviti yang terancangkan melalui sekolah, gereja, radio, akhbar dan juga perancangan rasmi untuk mempengaruhi penggunaan bahasa. R. Noss (1967) menggunakan istilah pembangunan bahasa (language development) dan perancangan bahasa (language planning) di dalam membincangkan keadaan penggunaan bahasa di dalam pendidikan di Asia Tenggara. Istilah perancangan bahasa telah juga digunakan oleh j. Rubin dan B.H. Jernudd (1971) untuk merujuk kepada usaha satu-satu pertubuhan yang bertujuan untuk menjalankan perubahan kepada kod-kod atau pertuturan bahasa atau kepada kedua-duanya sekali. J.A. Fishman (1968) juga telah menggunakan istilah perancangan dan pembangunan bahasa untuk merujuk kepada langkah-langkah yang dirancang untuk mencari penyelesaian kepada masalah kebahasaan yang lazimnya dilaksanakan pada peringkat kebangsaan.

Di dalam kes bahasa Malaysia ini, istilah perancangan bahasa akan digunakan secara umum seperti yang dimaksudkan oleh E. Haugen. Di samping itu, menurut J.V. Neustupny (1974), pula, perancangan bahasa ini melibatkan dua aspek perancangan, iaitu: perancangan taraf dan perancangan bahan. Perancangan taraf adalah melibatkan segala aktiviti atau usaha yang dapat meningkatkan taraf sesuatu bahasa tersebut. Umumnya, bahasa (Melayu) Malaysia telah diberikan taraf sebagai Bahasa Kebangsaan Malaysia menurut artikel 152 Perlembagaan Malaysia. Selepas itu banyak lagi langkah lain yang dilakukan; seperti penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar dan pentadbiran, kempen bahasa kebangsaan, penentuan kelulusan bahasa Malaysia sebagai syarat untuk kelulusan di dalam peperiksaan Sijil Persekolahan Malaysia, dan keperluan kelulusan bahasa Malaysia sebagai syarat mendapat pekerjaan atau penetapan dalam jawatan. Perancangan bahan pula melibatkan aktiviti menyusun ejaan baru penentuan sebutan, pembentukan istilah, tatabahasa dan seterusnya. Aktiviti demikian itu adalah perancangan bahan, iaitu dilakukan terhadap bahasa sebagai bahan yang dirancangkan.

Model Perancangan Bahasa Haugen

Daripada pengalamannya di Norway, Haugen mengemukakan empat peringkat di dalam perancangan bahasa, iaitu: pemilihan, pengekodan, pelaksanaan dan peluasan.

1. Pemilihan. Peringkat ini melibatkan pemilihan satu bahasa atau beberapa buah bahasa atau norma yang akan dibina untuk tujuan tertentu, selalunya ia adalah untuk tujuan menjadikan bahasa tersebut mencapai taraf sebagai bahasa rasmi dan menjalankan tugas sebagai bahasa kebangsaan. Norma ialah sesuatu konsep abstrak yang dipilih atau dibentuk sebagai matlamat di dalam perancangan tersebut. Sesuatu bahasa baku itu adalah suatu norma yang dijadikan matlamat perancangan bahasa.

2. Pengekodan. Pengekodan melibatkan hal-hal dan usaha-usaha di dalam pembakuan bahasa. unsur-unsur seperti kata, istilah, tatabahasa dan ungkapan-ungkapan tertentu adalah kod-kod bahasa. Usaha pembakuan ialah pengenalpastian kod-kod yang banyak ini dan menentukan penggunaan satu daripada banyak kelainan kod tersebut, atau mewujudkan satu kod baru daripada beberapa dialek yang ada.

3. Pelaksanaan. Pelaksanaan melibatkan aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh sesuatu agensi, institusi atau individu tertentu di dalam penggunaan norma yang dipilih dan dikodkan tersebut.

4. Peluasan. Peringkat peluasan berkaitan dengan pembinaan dan pengembangan bahasa tersebut, dari segi bentuk dan fungsinya. Hal ini melibatkan proses pemodenan bahasa itu secara umum.

Model Perancangan Bahasa yang Lain

Di samping Haugen, ada beberapa orang sarjana lain yang mengkaji perancangan bahasa dan juga telah mengemukakan model perancangan bahasa. umumnya, semuanya agak serupa dengan sedikit perbezaan di antara masing-masing itu. Sarjana-sarjana ini sebenarnya telah membuat beberapa penambahan dan penyesuaian kepada model Haugen mengikut tafsiran mereka. J.V. Neustupnya (1974) telah menambah penyebaran dan penyuburan kepada perancangan Haugen itu. Penyuburan ini melibatkan usaha membuat ‘kesesuaian’, ‘ketetapan’ dan membina ‘gaya yang diterima’ di antara beberapa kelainan yang wujud di dalam bahasa itu. F.X. Karam (1974) pula telah menambah satu peringkat lain, iaitu penilaian ke dalam proses perancangan bahasa ini. Proses penilaian ini dianggap sama penting dengan penilaian di dalam sebarang perancangan lain, untuk memperbetul unsur-unsur yang tidak sesuai. Dan, seterusnya perancangan itu hendaklah mempunyai sumber kewangan yang secukupnya.

C.A. Ferguson (1968) mengemukakan tiga komponen di dalam usaha perancangan bahasa, iaitu pengabjadan, pembakuan dan pemodenan.

1. Pengabjadan. Pengabjadan ialah usaha supaya sesuatu bahasa itu mempunyai abjad atau sistem ejaan yang sempurna. Ini biasanya dikaitkan dengan bahasa yang belum mempunyai ejaan, atau usaha pembakuan atau pembaikan ejaan yang wujud.

2. Pembakuan. Pembakuan ialah proses menjadikan satu dialek atau bahasa sebagai bahasa yang baku berbanding dengan dialek-dialek lain dalam usaha meningkatkan penggunaan bahasa itu dalam bidang ilmiah dan pentadbiran, demi meningkatkan komunikasi.

3. Pemodenan. Pemodenan ialah usaha-usaha pengembangan kosa kata dan pembinaan bentuk-bentuk wacana tertentu, biasanya ilmiah. Pembinaan kosa kata ini melibatkan penciptaan istilah dan ungkapan-ungkapan tertentu untuk menampung keperluan ilmiah atau pentadbiran bahasa itu.

H. Kloss (1969) melihat perancangan bahasa sebagai mempunyai dimensi, iaitu perancangan taraf dan perancangan bahan.

1. Perancangan taraf. Perancangan taraf ialah usaha menentukan taraf sesuatu bahasa atau dialek berbanding dengan bahas atau dialek lain, biasanya memilih sesuatu dialek atau bahasa menjadi bahasa kebangsaan.

2. Perancangan bahan. Perancangan bahan melibatkan pembentukan istilah baru, pembakuan ejaan dan pembakuan tatabahasa, iaitu usaha-usaha yang menggunakan bahan sebagai yang diolah dan dibentuk.

Kloss juga mengemukakan satu unsur lagi, iaitu kewangan atau pembiayaan, yang
melibatkan aspek ekonomi dan pengurusan di dalam perancangan bahasa. sama seperti perancangan lain, unsur pembiayaan dan pengurusan adalah penting.
J.A. Fishman (1973) pula mengemukakan tentang:

1. Penentuan dasar bahasa, iaitu perancangan taraf.

2. Pengekodan dan peluasan, iaitu perancangan bahan.

3. Pelaksanaan dan penilaian, iaitu peluasan dan penyuburan.

P. S. Ray (1966) melihat perancangan bahasa dari sudut pembakuan. Pembakuan bahasa bermaksud penggunaan satu norma yang baku di dalam kawasan yang terdapat perbezaan penggunaan bahasa, sama ada perbezaan sosial ataupun daerah. Penerimaan satu bahasa sebagai bahasa baku akan menjadikan bahasa ini sebagai bahasa rasmi untuk digunakan sebagai bahasa pengantar di dalam sistem pendidikan dan sebagai bahasa pentadbiran dan perhubungan rasmi untuk urusan kerajaan.

F. X. Karam (1974) telah mengemukakan satu model perancangan bahasa yang dapat menjejaskan sesuatu pelaksanaan perancangan bahasa tersebut seperti berikut:

Penilaian
Perancangan
Pelaksanaan
Masyarakat pengguna

Pelaksanaan Perancangan Bahasa

Mengikut model ini, pelaksanaan perancangan bahasa pada peringkat kebangsaan adalah dilaksanakan oleh sebuah agensi perancangan bahasa kerajaan. Dalam konteks negara kita Malaysia, tugas ini didukung oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Agensi ini akan melaksanakan tiga buah tugas, iaitu: perancangan, pelaksanaan dan penilaian seperti dalam model di atas. Baginya, penilaian adalah sangat penting di dalam memastikan langkah-langkah yang dijalankan itu berjaya atau sebaliknya.

Jadi, dapat kita lihat bahawa perancangan bahasa melibatkan usaha mengumpulkan data daripada penyelidikan baik dari segi bahasa atau budaya bahasa dan membentuk rancangan yang mungkin dilakukan, dan membuat rancangan awal yang diperlukan dalam menentukan keputusan mengenai pemilihan dan pembentukan dasar bahasa. Usaha-usaha ini dilakukan setelah sebuah bahasa itu telah dipilih menjadi bahasa kebangsaan. Pelaksanaan melibatkan pengekodan norma dan usaha penyebaran kod-kod ini. Penilaian pula akan melibatkan penafsiran terhadap hasil dari kegiatan perancangan dan rancangan pelaksanaannya. Proses ini melibatkan perancangan dan pembinaan bahasa dan akan memberi maklum balas kepada agensi berkenaan mengenai aktiviti tersebut. Budaya sesuatu masyarakat bahasa akan berubah mengikut perkembangan dan keperluan masa. Ini akan menghasilkan perkembangan bahasa masyarakat tersebut. Perkara yang berlaku ialah satu kitaran baru di dalam proses perancangan bahasa akan bermula, iaitu penentuan norma, pengekodan dan penyebaran akan berlaku seperti model berikut:

Penyebaran
Pengenalpastian
norma awal
Pengekodan
Pengenalpastia norma
Masyarakat bahasa
Perubahan bahasa dan budaya

Perancangan Bahasa
Jenis Perancangan Bahasa

Ada beberapa aktiviti yang telah dijalankan di dalam perancangan dan pelaksanaan perancangan bahasa. untuk melihat aktiviti-aktiviti yang dilakukan, kita akan melihat beberapa contohnya. Karam juga telah menggolongkan beberapa jenis aktiviti perancangan bahasa tersebut seperti berikut:

1. Pembinaan satu dialek atau bahasa untuk menjadi bahasa kebangsaan seperti yang berlaku di Indonesia (Melayu), Filipina (Tagalog), dan Malaysia (Melayu) dan Norway (Landsmal).

2. Pembinaan semula bahasa kuno yang sudah luput dan menjadikannya bahasa kebangsaan seperti di Ireland (Gaelik) dan Israel (Hebrew).

3. Pembendungan, atau penyatuan rasa dan ketaatan yang bercanggah terhadap bahasa seperti di Norway dan India.

4. Perubahan yang dilakukan secara besar-besaran, dan biasanya ini melibatkan misalnya penukaran atau pembetulan abjad dan pengembangan dan pembaikan kosa kata (peristilahan) seperti kes Turki.

5. Aktiviti yang dikawal atau terancang yang hanya melibatkan pembentukan istilah seperti di Mesir, Jenpun dan Korea.

6. Aktiviti dan cadangan yang melibatkan pembaikan abjad seperti kes di China, Jepun dan India.

Kesimpulan

Proses perancangan bahasa ini adalah terbit daripada falsafah yang menganggap bahawa bahasa itu adalah lakuan manusia yang serupa dengan alat. Sesuatu alat boleh dirancangkan untuk diperbaiki, dan sesuatu alat itu boleh diperbaiki dari segi ejaannya, tatabahasanya, istilahnya, dan penggunaan bahasa itu secara umumnya untuk menjadi lebih efisien. Ini berpandukan kepada norma ideal yang telah dikenal pasti dan dikodkan. Negara Malaysia, memang terlibat secara langsung di dalam hal ini untuk lebih daripada tiga puluh tahun lalu. Sebenarnya usaha merancangkan bahasa Malaysia ini berlaku begitu pesat sekali sehingga menimbulkan banyak perubahan kepada bahasa Malaysia. Pendek kata, Malaysia terlibat di dalam semua peringkat perancangan bahasa, dan melakukan semua aktiviti yang dibincangkan di atas. Banyak kebaikan dan masalah yang turut timbul. Dalam hal ini Malaysia dapat menjadi satu model perancangan bahasa di dunia. Oleh itu proses-proses ini perlulah dicatatkan demi untuk memahami falsafah dan aktiviti yang dilakukan untuk memenuhi tujuan tersebut.